Sunday, February 14, 2016

Perginya seorang kawan dan guru.

Allahyarham Halim berdiri nombor dua dari kiri di penghujung  tahun 1990an.


Subuh Rabu yang lepas bersamaan 10 Februari 2016 saya dikejutkan dengan berita pemergian ke Rahmatullah seorang rakan sekerja saya di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Beliau ialah Abdul Halim bin Malek, seorang Penolong Pengarah di MPS. Beliau meninggal di usia 51 tahun, akibat serangan sakit jantung,

Halim masuk ke MPS berpuluh tahun selepas saya dan pernah bekerja di bawah saya. Tetapi kerana masih muda dia telah melanjutkan pelajaran separuh masa di satu universiti tempatan dan mendapat ijazah. Akhirnya salepas persaraan saya beliau telah dilantik sebagai seorang Penolong Pengarah, Ini juga bermakna saya tidak sempat bekeja di bawahnya.

Tetapi ini tidak bermakna Halim tidak sempat mengajar saya. Walau pun saya telah celik komputer untuk sekian lama, masih ada yang saya ketinggalan. Contohnya semasa saya hendak berlatih di Fukuoka, Japan pada tahun 2004, saya dikehendaki membuat persembahan multimedia di sana, satu bidang yang asing bagi saya, Halimlah yang menyediakan persembahan saya dan mengajar saya menayangkannya untuk tontonan orang Jepun.

Di Jepun juga saya didedahkan lagi dengan keperluan semasa menggunakan komputer. Contohnya sebelum itu saya tidak tahu menahu tentang menghantar gambar melalui komputer walau pun saya sudah memiliki kamera digital. 

Di Jepun jugalah saya mencipta dan menghantar email pertama saya. Apa yang terjadi kepada saya selepas iatu ialah satu sejarah, contohnya saya mempunyai blog sendiri seperti ini. Segala-galanya itu mungkin tidak terjadi jika saya tidak meminta Allahyarham Halim mengajar saja lebih sepuluh tahun yang lalu.

Sekarang kawan dan guru saya itu sudah tiada lagi. Cuma saya dapat mengucapkan Al Fatihah kepada Allahyarham Abdul Halim bin Malek.    

No comments: