Semalam Sabtu 11 Mac 2017 saya pergi ke majlis kenduri kahwin anak lelaki kepada dua pupu isteri saya Salmah di Serendah, Selangor. Kebetulan rumahnya cuma 24 km dari rumah anak perempuan saya Ina di Sg. Buloh. Saya dan Salmah serta anak bongsu kami Anis tidur di rumah Ina pada hari Jumaat sebelumnya. Kami ajak Ina turut sama walau pun dia keberatan pada awalnya kerana suaminya Nazeem tidak dapat turut sama kerana ada kerja.
Majlis diadakan di rumah banglo yang dijadikan 'homestay' oleh dua pupu Salmah di pinggir Banjaran Gunung Besar. Khemah-khemah didirikan di atas jalan di aras bawah rumah berkenaan. Semasa kami datang pengantin sedang besanding di dalam rumah dan tidak nampak oleh para tetamu di khemah-khemah di bawah. Cuma terdengar juruacara menyebut 'Dipersilakan ibu dan ayah kepada pengantin perempuan untuk......" dan sebagainya. Oleh itu saya tidak tahu menahu pada awalnya siapa ibu dan ayah pengantin perempuan.
Setelah selesai makan yang agak mewah juga saya membawa berjalan cucu bongsu saya Hadif, anak kepada Ina yang baru berumur 2 tahun. Hadif yang biasanya tidak duduk diam agak berdisiplin kali ini. Kami pun pergi hampir ke rumah di mana majlis persandingan telah selesai dijalankan. Melihat tangga batu di sebelah rumah itu, Hadif pun menarik saya menaikinya. Sampai sahaja ke paras rumah, Hadif pun berlari di halaman yang berumput hijau.
Kemudian saya ternampak Nizam, menantu kepada pasangan jiran sebelah kami di Paroi Jaya dulu yang sudah meninggal dunia berpuluh tahun lamanya. Kebetulan Nizam yang berasal dari Perak ialah sepupu kepada Ramli, suami kepada sepupu saya Ramlah.
Saya terus bertanya kepada Nizam mengapa dia berada di situ. Jawapannya dia datang dengan rombongan pengantin perempuan. Saya tanya lagi apa hubungan pengantin perempuan dengannya. Jawabnya pengantin perempuan ialah anak perempuan kepada Tarmizi, abang iparnya. Tarmizi ialah anak kedua kepada arwah pasangan jiran kami itu. Saya sudah lama tidak nampak Tarmizi sejak kematian ibu bapanya.
Setelah berjumpa dengan Tarmizi dan isteri, saya pun turun mencari isteri saya Salmah dan anak-anak yang sudah bersedia untuk meninggalkan majlis. Saya ceritakan siapa yang saya jumpa. Dipendekkan cerita terjadilah peluk memeluk diantara isteri dan anak-anak perempuan saya Ina dan Anis dengan anak-anak arwah jiran kami yang bertahun-tahun tidak berjumpa.
Tarmizi dan adik beradiknya sama-sama membesar dengan anak-anak saya dulu. Mereka jarang-jarang balik ke rumah di mana mereka dibesarkan selepas berumah tangga di tambah lagi setelah kematian ibu bapa mereka. Saya sendiri pun sudah berpindah dari Paroi Jaya lebih sepuluh tahun yang lalu.
Kalaulah kami datang awal sedikit tentu kami sudah ternampak mereka semasa mereka sama-sama mengiringi kedua mempelai. Kedudukan rumah di mana persandingan diadakan juga menghalang kami bertemu mereka pada awalnya. Tetapi naluri ingin tahu cucu saya Hadif telah membuat saya sama-sama naik tangga bersama-samanya.
Sehingga sekarang saya asyik terfikir "Kalaulah aku tidak naik tangga itu, mungkin aku tidak tahu yang menantu kepada dua pupu Salmah itu ialah cucu kepada arwah jiran-jiran kami dulu".
Sekian.
No comments:
Post a Comment