Dato' Ishak Ismail merasmikan Mesyuarat Agung kami.
Dato' Sahak menyerahkan cenderamata untuknya kepada perempuan paling tua dalam majlis.
Dua malam yang lepas saya dikejutkan dengan berita pemergian ke Rahmatullah Dato' Ishak bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan. Allahyarham diberitakan rebah semasa Jamuan Hari Raya di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
Oleh kerana saya bukan orang politik, saya tidak rapat langsung dengan Allahyarham (selepas ini saya sebut sebagai Dato' Sahak, kerana beliau lebih dikenali dengan panggilan itu).Tetapi kerana kedudukannya sebagai ADUN yang saya rasa cukup lama ditambah lagi pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Seremban untuk tempoh yang lama juga, mustahil jika saya mengaku tidak mengenalinya.
Dato' Sahak lantang membidas bukan sahaja lawan-lawan yang bukan satu parti dengannya, tetapi juga kawan-kawan satu parti dengannya. Contohnya dia tidak segan-segan membidas ketua partinya di peringkat negeri iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan.
Saya pernah duduk semeja dengannya di Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Seremban di mana saya diarah mewakili jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Di situ Dato' Sahak tidak teragak-agak membidas jabatan-jabatan kerajaan yang didapatinya tidak menjalankan kerja memuaskan hatinya. Mujurlan MPS tidak sama-sama dibidasnya, mungkin kerana kawasan DUNnya terletak diluar bidang kuasa kami.
Di mesyuarat itu juga Dato' Sahak tanpa segan dan malu menggunakan loghat Negeri Sembilan sepenuhnya.
Tetapi kelantangannya ada membuat orang tersipu juga. Pernah di Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Dato' Sahak menceritakan pengalamannya dengan Dato' Seri Najib Tun Razak. Antara ayat yang disebutnya ialah "Saya tak mahu Perdana Menteri yang tak ada telur" (dalam lohat Negeri Sembilan).
Empat bulan lepas saya sekali lagi duduk semeja dengan Dato' Sahak. Bukan setakat semeja, tetapi betul-betul disebelahnya seperti gambar di atas. Selepas itu sekali lagi kami duduk bersebelahan di meja makan.
Dato' Sahak dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Angkatan Senifoto Negeri (ASFON), Negeri Sembilan di mana saya menjadi Setiausaha. Biasalah, selapas perasmian kami pun memberikan satu cenderamata kepada perasmi.
Selepas menerima cenderamata berupa sebakul buah-buahan, Dato' Sahak telah meminta perempuan yang paling tua dalam majlis untuk datang ke hadapan. Rupa-rupanya dia hendak menyerahkan cenderamata itu kepada perempuan bertuah itu. Mengikut Dato' Sahak itulah yang biasa dilakukannya di majlis-majlis di mana beliau diberi cenderamata.
Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Dato' Sahak.
No comments:
Post a Comment