Buaian dalam MRT. Foto dari Facebook Nana Abd Rashid.
Baru dua hari lepas saya naik MRT dari stesen Kajang ke stesen Muzium Negara. Dari Seremban ke Kajang saya naik KTM Komuter. Biasalah di tren Komuter walau pun sudah disediakan dua koc khas untuk wanita, masih ada lelaki yang secara sengaja atau tidak naik ke koc-koc itu.
Tetapi bagaimana pula di koc-koc di hadapan dan belakang yang terbuka kepala semua? Masih ada saya perhatikan wanita-wanita solo menaiknya. Jadi kita tidak boleh menyalahkan lelaki (kebanyakannya warga asing) yang menaiki koc-koc wanita itu.
Baru tadi saya terbaca ada ibu (mungkin dengan bapa) menggantung buaian dalam koc tren MRT. Untuk berlaku adil, saya perhatikan (seperti gambar di atas) tren itu tidak ramai orang. Mungkin ini gambar lama. Sebab di waktu ini, seperti yang saya alami dua hari lepas, MRT penuh. Tidak mungkin ibu itu dapat menggantung buaian jika MRT penuh.
Saya sudah menaiki keretapi sejak berumur 12 tahun. Di masa itu tidak ada keretapi ekspres seperti sekarang. Yang ada ialah apa yang dipanggil keretapi mel. Tiket-tiket juga terbuka dan tempat duduk tidak bernombor. Asalkan penumpang naik ke koc kelas tiketnya, sama ada kelas 1, 2 atau 3 sudah cukup syarat. Sekarang keretapi mel cuma terdapat di laluan Tumpat - Johor Bahru (maaf jika saya salah). Laluan Padang Besar - Gemas bukan sahaja tidak dilalui keretapi mel, keretapi ekspres pun sudah tiada sebab sudah diganti dengan apa yang dipanggil Electric Train Service atau ETS.
Apa yang saya hendak ceritakan di sini ialah di zaman keretapi mel dulu pemandangan seperti di atas adalah perkara biasa. Biasanya satu keluarga akan menaiki keretapi mel untuk perjalanan jauh, contohnya dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Jika keluarga itu mempunya anak yang sedang berada dalam umur buaian, adalah lebih selesa jika buaian digantung dalam koc untuk mereka.
Keretapi mel yang berbuai ke kiri dan kanan akan menyebabkan kanak-kanak dalam buaian tidur nyenyak. Pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) pun tidak menghalang perbuatan menggantung buaian dalam koc-koc mereka. Juga saya tidak terbaca apa-apa berita melibatkan kemalangan kanak-kanak dalam buaian di keretapi mel.
Tetapi keadaan sangat bebeza dengan MRT. Dengan kuasa letrik, MRT lebih laju. 'Pick-up'nya juga cepat dan jarak untuk brek berhenti juga pendek. Jika penumpang yang berdiri tanpa berpegang ke mana-mana boleh terhumban semasa tren MRT mula bergerak atau berhenti, bayangkan kanak-kanak dalam buaian. Mereka juga boleh terhumban jika penjaganya leka.
Tidak tahulah saya jika ibu atau bapa kanak-kanak dalam gambar itu mendapat idea dari keretapi mel, sebab seperti saya katakan masih terdapat keretapi mel di laluan Tumpat - Johor Bahru. Jika itulah jawapannya nasihat saya ialah 'Ini MRT, bukan keretapi mel'.
No comments:
Post a Comment