Tidak adil rasanya jika saya tidk menulis apa-apa mengenai keputusan Pilihanraya ke-14 (PRU 14) yang baru sahaja selesai. Saya tidak mahu komen terhadap keputusannya yang semua orang tahu. Saya cuma hendak memberi pandangan dari sudut lain, iaitu persahabatan atau 'friendship'.
Kata orang kita memilih kawan atau "we choose friends'. Kita tidak boleh dipaksa untuk berkawan dengan sesiapa. Saya nyatakan di sini bahawa kawan terbaik atau 'best friend' saya ialah seorang yang lain bangsa dan agama dari saya. Yang sama antara kami ialah kami lelaki. Dia berbangsa Cina dan saya akan sebut kawan saya ini sebagai W sahaja.
Saya mula berkawan dengan W berpuluh tahun dulu semasa saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. W mempunyai sebuah kedai aksesori kereta. Yang agak lain dari yang lain ialah W meletakkan perkataan Melayu pada nama syarikat perniagaannya. Perkataan itu juga boleh jadi nama lelaki Melayu.
Saya pun tidak tahu mengapa saya memilih W sebagai kawan terbaik saya. Mungkin kerana kami berkomunkasi dalam Bahasa Inggeris. Dari apa yang saya nampak W juga menganggap saya sebagai kawan terbaiknya. Ramai orang menyangka kami berkawan kerana kepentingan masing-masing. Mereka berkata bila saya bersara W tidak akan pandang muka saya.
Kawan-kawan saya di pejabat semua tahu akan hubungan saya dengan W. Sehingga boss saya juga pernah menegur tentang persahabatan kami. Dia bimbang orang akan memandang serong terhadap kami dan meminta saya memutuskannya. Saya terus jawab kawan saya berniaga aksesori kereta. Tetapi tengoklah kalau kereta saya mempunyai apa-apa aksesori? Kalau dia syak ada unsur-unsur negatif antara kami dia bebas untuk menghantar orang mengekor kami atau 'tap' perbualan telefon kami.
Jelas sangkaan ramai bahawa selepas bersara hubungan saya dengan W akan terputus, tidak terjadi. Persahabatan kami diteruskan seperti biasa. Dengan takdir Allah dan tanpa rancangan awal, kami masing-masing membeli dan berpindah ke rumah baru yang yang jaraknya cuma satu kilometer antara satu sama lain. Ini berbanding dengan jarak lebih kurang lapan kilometer sebelumnya. Senanglah kami untuk berjumpa selepas W menutup kedainya.
Semasa mula-mula saya berkunjung ke rumah baru W anjing jirannya akan menyalak saya. (W tidak menyimpan anjing). Lama kelamaan anjing itu tidak menyalak lagi dan cuma berbunyi 'yelp' bila saya menegurnya.
W bertanya bagaimana ini berlaku? Saya jawab anjing mempunyai deria atau 'sense' tidak seperti manusia. Pada mulanya dia menyangka saya musuhnya, sebab itu dia menyalak. Dia tidak perlu memandang muka saya, menghidu bau saya sudah cukup. Lama kelamaan dia tau bahawa bau saya bukan bau musuh. Sebab itu dia tidak menyalak lagi.
Tiap kali kami ke mana-mana restoran atau gerai untuk makan dan minum tentu ada jelingan terhadap kami. Mereka hairan bagaimana si Melayu dan si Cina ini boleh berkawan baik. Memang ada ternampak orang Melayu dan Cina duduk semeja. Tetapi biasanya yang Melayu itu pegawai kerajaan dan yang Cina peniaga. Mereka duduk semeja kerana masing-masing punya kepentingan.
Seperti biasa kami berceloteh dalam Bahasa Inggeris. Pernah satu kali seorang lelaki Cina memandang kami dengan serious dan bercakap sesuatu dengan isterinya. W yang faham apa yang dicakapkan terus menterjemah. Katanya saya pernah mendakwa lelaki itu di mahkamah. Saya jawab saya tidak boleh ingat setiap orang yang saya dakwa di mahkamah.
Bila keputusan PRU 14 diumumkan sudah tentu saya dan W berbincang mengenainya. Bila W bertanya apa pendapat saya mengenainya jawapan saya senang sahaja seperti berikut:-
"Mulai sekarang bila kita duduk makan dan minum semeja saya harap tidak ada lagi apa-apa jelingan serong terhadap kami. Mulai sekarang juga saya harap semua bangsa di Malaysia boleh berkawan tanpa ragu-ragu dan syak wasangka".
Sekian.
No comments:
Post a Comment