Saturday, August 18, 2018

'He blew his mind out in a bus'


Gambar hiasan sahaja.

Tajuk pos saya kali ini dipinjam dari ayat 'He blew his mind out in a car' iaitu sebahagian dari lirik lagu The Beatles 'A Day in the Life'

Pagi tadi saya memandu ke Kuala Klawang, Jelebu meraikan perkahwinan sepupu saya. Jarak umur saya dengan sepupu saya ini ialah 30 tahun dan sebenarnya masih ada sepupu saya yang lebih muda dari pengantin ini dalam masih belum berkahwin.

Saya cemas seketika apabila hendak mendaki Bukit Tangga. Kenderaan di depan saya berhenti dan kemudian begerak perlahan. Ini mengingatkan saya tiap kali saya melalui Bukit Putus bila hendak ke Kuala Pilah dan seterusnya di hujung-hujung minggu.

Syukurlah kenderaan berjalan lancar selepas itu dan kami bergerak perlahan tadi kerana memotong beberapa kenderaan berat yang semestinya bergerak perlahan bila mendaki bukit. Saya perhatikan banyak kenderaan di depan dan belakang saya sehinggalah saya sampai ke dewan di mana majlis berlangsung.

Baru saya sedar bilangan kenderaan banyak kerana ramai dari pemandu ingin mengelak dari kesesakan di Jalan Kuala Pilah - Seremban di hujung minggu. Itulah sekarang kita kena merancang perjalanan bila hendak berjalan jauh. 

Saya percaya ramai dari pemandu di depan dan belakang saya itu bukan sahaja hendak ke Jelebu, tetapi hendak ke negeri Pahang, sama seperti mereka yang menggunakan Jalan Seremban - Kuala Pilah. Mereka tidak kisah memandu jauh sedikit asalkan cepat sampai ke destinasi. 

Pemandu bas juga merancang perjalanan mereka. Saya bebarapa kali nampak bas ekpress dari Seremban ke selatan seperti ke Melaka dan Johor memasuki Plaza Tol di Rasah dan tidak di Senawang untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di Bandar Seremban lagi. Mereka tidak kisah membayar tol lebih asalkan tidak terperangkap dalam kesesakan. 

Tetapi tidak pemandu bas Rapid KL yang melanggar beberapa buah kereta beberapa malam dulu kerana kononnya ingin lari dari dikejar setelah dia melanggar sebuah gerai burger. Kalau dia merancang perjalanannya tentu dia tidak membawa bas secara menggila seperti saya lihat di dalam telefon bimbit saya. Dia patut tahu dia mesti terperangkap dengan kesesakan lalulintas.

Melainkan dia dipengaruh oleh dadah yang berada dalam badannya, seperti disahkan oleh pihak Polis. Maka jadilah 'He blew his mind out in a bus'. 

Dia bernasib baik, tidak seperti pemandu kereta yang diceritakan oleh John Lennon dalam lagu 'A Day in the Life' itu.  Pemandunya mati dalam kemalangan kerana tidak menyedari lampu tarfik hijau telah bertukar menjadi merah. Lagu itu berdasarkan peristiwa sebenar. 

Sekian.

No comments: