Thursday, August 9, 2018

Syukurlah kami masih berkawan.





Seperti pemunya telefon bimbit pintar yang lain, saya mempunyai program apa yang dipanggil WhatsApp. Saya juga menjadi ahli beberapa kumpulan WhatsApp ini. Antara kumpulan yang saya masuki ialah kumpulan murid-murid tua sekolah saya. 

Itu pun ada beberapa kategori dalam kumpulan ini. Ada kumpulan yang ahli-ahlinya terdiri dari kami yang sekarang tinggal di Negeri Sembilan, tidak kira kami berasal dari mana. Ada satu lagi kumpulan pula ahli-ahlinya berasal dari Negeri Sembilan tetapi tinggal merata-rata. Saya menjadi ahli kedua-dua kumpulan ini kerana memenuhi dua-dua kriteria.

Semasa kempen Pilihanraya Umum Ke-14 atau PRU 14 beberapa bulan dulu kedua-dua kumpulan aktif dengan cerita-cerita politik. Ada yang menyokong kerajaan di masa itu dan sebaliknya. Tiba-tiba sebilangan ahli-ahli kumpulan yang terdiri dari kami yang tinggal di Negeri Sembilan tetapi berasal dari merata tempat itu keluar dari kumpulan. Ini kerana mereka tidak tahan dengan cerita-cerita politik. 

Saya tidak keluar tetapi bimbang dengan akibatnya. Ini kerana selain dari kami berhubung melalui WhatsApp kami juga sering berjumpa dalam perjumpaan yang dipanggil sessi teh tarik. Saya telah menyatakan kebimbangan saya kepada pentadbir kumpulan yang kami panggil Bob. Bob meminta saya jangan bimbang dan akan menyelesaikannya.

Beberapa minggu selepas PRU 14 di mana terjadi perubahan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan dan di dalam bulan Ramadan, Bob telah memasukkan kembali mereka yang mengeluarkan diri mereka itu. Tidak ada pula antara kami yang keluar selepas itu.

Minggu lepas Bob memanggil kami untuk berjumpa di sessi teh tarik seterusnya. Panggilan dibuat kurang dari 48 jam dari sessi sebenar. Sekali lagi saya merasa bimbang kerana beberapa orang yang biasanya datang untuk sessi-sessi sebelumnya menyatakan tidak dapat hadir. Saya jangkakan jumlah yang akan hadir tidak akan sampai sepuluh orang.

Tetapi saya terkejut di hari sebenar kerana sejumlah lima belas orang dari kami datang untuk sessi tersebut, iaitu pertama kali diadakan setelah PRU 14. Ini sebenarnya melebihi dari jumlah yang biasa datang. Jika dicampur dengan mereka yang biasa datang, jumlahnya tentu lebih dari itu. 

Saya merasa lega kerana sikap setiakawan kami masih ada.   

No comments: