Wednesday, December 22, 2021

DI MANA SAYA DI BANJIR BESAR 50 TAHUN YANG LALU

Saya (paling kiri) dengan kawan-kawan sekerja di tahun 1971


"KAU INGAT LAGI?"

Berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, seorang kawan saya bertanya ingatkah saya akan banjir besar pada tahun 1971? Dia dah lupa kataya. Saya pula ingat-ingat lupa. Walau bagaimana pun berikut ialah pengalaman saya semasa banjir besar itu.


MASUK KELAS SEMULA

Tahun 1971 bermula bila saya berpindah dari Seremban ke Kuala Lumpur. Dalam hujan renyai-renyai saya menaiki bas dari Seremban ke Institut Kesihatan Umum, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Saya membawa satu  beg besar kerana saya akan masuk asrama semula. Bagi saya yang bersekolah menengah di satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), menjenjeng beg ke dalam bas bukanlah satu perkara yang hendak dimalukan. Pengalaman tinggal di asrama jangan sebutlah.

Saya ke Kuala Lumpur untuk menerima latihan intensif selama hampir setahun setelah bekerja sambil berlatih praktikal secara santai selama dua tahun. Dari perhentian bas di Jalan Bangsar saya berjalan kaki sejauh 400 meter menaiki bukit ke asrama. Asrama ini dulu adalah wad Hospital Bangsar. Kawan yang bertanya saya itu sama-sama menjalani latihan dengan saya. Oh ya, kami bekerja sebagai Inspektor Kesihatan. Walau bagaimana pun kawan saya itu kemudian masuk Universiti untuk menjadi seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). 


"ANY VOLUNTEERS?"  

Dari kelas saya nampak dari jauh keadaan banjir di Kg. Abdullah Hukum, Bangsar. Itulah pandangan banjir pertama kali dalam hidup saya, dari itu saya bertekad untuk menghampiri kampung itu bila keadaan mengizinkan.

Di hari pertama kelas, pensyarah-pensyarah menceritakan mengenai banjir yang menimpa Kuala Lumpur. Tiba-tiba datang seorang pegawai Institut ke dalam kelas dan meminta sesuatu. Katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta beberapa sukarela untuk mengendali telefon di Kementerian selepas waktu pejabat nanti. 

Saya yang memikirkan inilah pengalaman yang tidak boleh dilepaskan terus mengangkat tangan dan nama saya terus dicatitkan. Kemudian barulah kawan-kawan saya pula mengangkat tangan.  


KE KKM

Lebih kurang jam 11.30 malam itu sebuah van Institut datang mengambil saya di lobi Institut untuk membawa saya ke KKM. Rupa-rupanya saya ada pasangan iaitu seorang Staff Nurse yang juga sama-sama berlatih di Institut itu. 

Giliran kami ialah untuk tempoh 12.00 malam sehingga 8.00 pagi esok bila pejabat dibuka semula. Sebelum itu satu lagi pasangan juga dari Institut kami menjadi sukarelawan telefon di situ.


PUBLIC HEALTH NURSE (PHN)

Sebelum saya meneruskan cerita mengendali telefon di satu Kementerian, saya ingin menceritakan serba sedikit tentang 'pasangan' saya. Dia ialah seorang Jururawat terlatih atau Staff Nurse yang juga memegang Sijil Perbidanan (Midwifery Certificate). Sekarang dia menjalani kursus Public Health Nursing selama setahun. Bila lulus dia akan dipanggil Public Health Nurse (PHN). 

Ini bermakna dia sudah bekerja sekurang-kurangnya lima tahun, sedangkan saya baru bekerja dua tahun. Jika dia gagal dalam peperiksaan akhir nanti, dia tetap menjadi Staff Nurse, sedangkan nasib saya belum tentu lagi. Dari itu saya kena 'repect' pasangan saya ini.



"HAVE YOU HANDLED A TELEPHONE BEFORE?"

Itulah soalan pertama yang diajukan oleh seorang pegawai KKM bila kami masuk ke bangunan Kementerian itu di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Kami pun dibawa ke bilik operator telefon. 

Kami pun diajar bagaimana mengendalikan 'switch-board' telefon KKM. Kami diajar 'switch' mana hendak dipetik bila panggilan telefon tiba. Kami juga diajar untuk 'memutar' nombor-nombor yang diminta oleh pegawai-pegawai KKM yang kebanyakannya berkumpul di Bilik Gerakan mereka.  


"ARE YOU MARRIED?"

Itulah soalan bodoh pertama saya tanyakan kepada pasangan saya. Ini kerana apabila sudah bekerja sekurang-kurangnya lima tahun, kebanyakan Staff Nurse yang datang berlatih di Institut Kesihatan Umum sudah bermahtangga, sedangkan kebanyakan kami Inspektor Kesihatan masih bujang.

Pasangan saya belum berkahwin rupanya. Dia dari Sabah dan beragama Kristian. Di antara panggilan-panggilan telefon dari luar dan dalam, kami sempat juga berborak, kebanyakannya berkenaan kerja. Sudah tentu pengalamannya lebih luas dari saya. 


PONTENG KELAS

Tepat jam 8.00 pagi esoknya kami menyerahkan tugas kepada operator rasmi KKM dan van Institut membawa kami balik ke asrama masing-masing. Saya dibenarkan ponteng kelas kerana berjaga di malam sebelumnya. Hujan masih renyai-renyai

Bila hujan berhenti sepenuhnya pada petang hari itu, saya pun berjalan kaki lebih kurang 1 km ke Kg. Abdullah Hukum yang saya nampak dilanda banjir dari kelas saya. Itulah pengalaman pertama saya melihat keadaan banjir dari dekat. 

Kebetulan kampung itu terletak sebelah laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke Pelabuhan Kelang. Saya perhatikan sebuah keretapi barang berada statik di atas landasan. Saya perhatikan juga orang-orang kampung meletakkan barang-barang berharga mereka di dalam koc-koc keretapi. Saya tidak pasti sama ada itu sudah diaturkan oleh pihak-pihak berkuasa.


THE LONG JOURNEY HOME

Saya tidak perlu balik kampung. Tetapi naluri ingin tahu saya membuat saya bertekad untuk melihat situasi banjir di Negeri Sembilan. Saya tahu laluan Seremban - Jelebu terputus kerana  tanah runtuh di Bukit Tangga. Laluan Seremban - Kuala Pilah juga terputus kerana tanah runtuh di Bukit Putus. Oleh itu saya terpaksa pergi ke Tampin dahulu jika hendak balik kampung ke Jelebu.

Di satu pagi Sabtu beberapa minggu selepas banjir besar tahun 1971 dan bila tak ada kelas, saya memulakan 'The Long Journey Home' saya. Perjalanan saya adalah seperti berikut:


  1. Naik bas SERI JAYA dari Jalan Bangsar ke Lebuh Foch (Foch Avenue), kemudian berjalan kaki ke Stesen Bas Pudu.
  2. Naik bas FOH HUP dari Jalan Pudu ke Seremban.
  3. Naik bas SOUTHERN dari Seremban ke Tampin.
  4. Naik bas ENG GIAP dari Tampin ke Kuala Pilah
  5. Naik bas LIM dari Kuala Pilah ke Simpang Pertang, Jelebu
  6. Naik bas LIM dari Simpang Pertang ke kampung saya, Kg. Petaseh, Jelebu.
Esoknya saya balik ke Kuala Lumpur melalui laluan yang sama. 


PENUTUP

Selepas pengalaman banjir tahun 1971, hidup saya kembali normal. Jalan Seremban - Jelebu yang putus disambung semula, walau pun tidak sepantas beberapa hari yang lalu. Saya kemudian menumpukan perhatian untuk lulus periksa dan bersosial jauh sekali.

Saya jarang-jarang menonton tv walau pun sempat menonton perlawanan tinju antara Muhammad Ali dengan Joe Frazier. Walau bagaimana pun saya meneruskan hobi saya menonton filem di panggung Rialto di BB Park, Bukit Bintang dan satu panggung di Brickfields yang saya lupa namanya.  
,
Di hujung tahun 1971 saya ditempatkan di Kelantan. Keretapi yang saya naiki untuk ke sana berjalan perlahan kerana banjir. Saya masih ingat keretapi berhenti lama di Kuala Lipis, Pahang. 

Di hujung tahun 1972 banjir melanda semua Jajahan di Kelantan melainkan Jajahan-Jajahan jagaan saya iaitu Pasir Puteh - Bachok. Untuk melihat banjir sebenar, saya pergi ke Jertih, Terengganu. 

Saya kembali bertugas di Seremban, kali ini dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada tahun 1973 sehingga saya bersara pada tahun 2010. Tidak ada banjir besar yang saya alami dalam tempoh itu.


Sekian.

No comments: