Thursday, July 8, 2010

Kenapa karpet lambat dipasang.

Mengukur lantai surau untuk dipasang karpet.


Karpet dipesan belum sampai. Karpet dari surau lama terpaksa digunakan.


Karpet lama dengan sejadah di atasnya bersedia menerima jemaah surau.


Karpet baru dipasang.


Surau baru karpet pun baru.

Saya minta maaf jika pos saya ini menyinggung atau mengecilkan hati sesiapa. Sebenarnya saya tidak sepenuhnya pasti sama ada apa yang saya ceritakan ini tepat atau tidak. Saya telah bertanya dengan beberapa ahli jawatankuasa surau tetapi maklumlah mereka, seperti saya juga, tidak mahu mengaibkan sesiapa. Walau bagaimana pun tujuan saya menulisnya ialah untuk kita sama-sama belajar darinya.

Segala-galanya telah siap sedia untuk kami mula menggunakan surau baru kami pada 1 Julai 2010. Penyewaan dengan tuan rumah surau lama telah ditamatkan. Lantai surau baru sudah disamak. Bekalan elektrik telah masuk pada 30 Jun 2010. Yang tinggal hanya sistem pembesar suara dan karpet.

Saya berada di Nilai dari tengah hari 1 Julai 2010 kerana menghadiri Kursus Pembanci. Saya menerima panggilan telefon dari Setiausaha Surau Ustaz Shamsuri mengenai pemesangan sistem pembesar surau. Telah menjadi tugas saya secara sukarela mengambil gambar-gambar pembinaan surau ini. Gambar-gambar yang sesuai diambil oleh Cik Gu Saiful untuk dimasukkan ke dalam blog surau.

Saya nyatakan kepada Ustaz Shamsuri tidak dapat mengambil gambar-gambar pemasangan pembesar suara. Selepas itu saya tidak lagi menerima apa-apa panggilan darinya.

Dalam perjalanan balik ke rumah saya terus singgah di surau. Bacaan ayat-ayat suci Al Qur'an berkumandang dari sistem pembesar suara yang baru. Ahli-ahli jawatankuasa dan yang tidak berkuasa sama-sama membuat persiapan akhir. Tetapi yang ketara ialah karpet baru belum dipasang.

Beberapa orang jemaah memasang karpet lama yang diambil dari surau lama. Di atasnya diletakkan sejadah, juga dari surau lama. Agaknya jika kami tidak mempunyai surau sebelum ini terpaksalah sejadah dipungut dari rumah ke rumah untuk kegunaan sementara surau.

Saya bertanya kepada Ustaz Shamsuri bila karpet baru nak sampai? Waktu Maghrib cuma satu jam lagi. Dengan muka risau Ustaz menjawab mengikut syarikat karpet di Kuala Lumpur karpet sudah dibawa keluar. Tetapi pembawa karpet tidak dapat dikesan. Telefon bimbit pembawa pula ditutup.

Di antara solat Maghrib dengan Isya' pada 2 Julai 2010 Ustaz Shamsuri memberitahu saya syarikat karpet berjanji menghantar dan memasang karpet pada malam itu juga.

Selepas jemaah semua balik dari solat Isya' saya memandang sekali sekala ke surau dari rumah. Beruntung juga saya oleh kerana surau baru ini boleh dilihat jelas dari rumah saya. Tiba-tiba apabila pasukan Brazil sedang menentang Belanda di Piala Dunia saya lihat ada aktiviti di surau dan saya pun terus ke sana untuk mengambil satu dua gambar pemasangan karpet baru,

Saya tidak dapat tinggal lama kerana perlawanan bolasepak itu tidak kurang juga tarikannya. Walau bagaimana pun moderator blog surau kami Cik Gu Saiful ada mengambil gambar-gambar pemasangan karpet seperti  di sini..

Pemasangan karpet siap sebelum Subuh 3 Julai 2010. Saya merupakan antara jemaah pertama menggunakan karpet baru itu. Sebelum itu Belanda telah mengalahkan Brazil dan Uruguay mengalahkan Ghana.

Inilah cerita yang saya dapat dengar mengapa karpet lambat dipasang. Tuan punya kedai karpet di Kuala Lumpur telah mengarahkan seorang (atau lebih) pekerjanya untuk menghantar karpet yang telah sedia dijahit mengikut ukuran. Pekerjanya diberi wang RM300.00 untuk menyewa sebuah lori untuk membawa karpet ke Seremban.

Pekerja ini berfikir buat apa susah-susah sewa lori. Boleh bawa dengan keretanya sendiri. Oleh itu karpet dipotongnya pendek-pendek untuk dimasukkan ke dalam kereta. Sama ada dia berhajat untuk membuat lebih dari satu perjananan tidak dapat dipastikan.

Tetapi kemudian dia dapati tidak dapat mengisi semua karpet dalam kereta dan tak mungkin dapat memasang karpet di surau kami dalam tempoh yang dijanjikan iaitu sebelum Maghrib 1 Julai 2010.

Dia yang panik terus menutup telefon bimbitnya. Ketuanya yang putus hubungan dengannya terus terfikir yang pekerjanya telah melarikan karpetnya beserta wang sebanyak RM300.00. Lapoan Polis telah dibuat.

Pada esoknya 2 Julai 2010 rahsia telah terbongkar. Tetapi kerana menjaga reputasi syarikat karpet kami tetap dihantar. Kali ini dengan lori syarikat sendiri. Dengar kabarnya lori terpaksa membuat dua perjalanan. Kami juga mendapat bonus kerana akibat percubaan potong memotong oleh pekerja berkenaan kami mendapat karpet lebih.

Saya tidak pasti sama ada syarikat karpet ini rugi atau untung akibat 'kehilangan' sementara karpet tadi. Juga sama ada apa-apa tindakan dikenakan terhadap pekerja syarikat yang terlibat. Yang pentingnya karpet untuk surau baru kami terpasang juga.

No comments: