Ocean bermakna lautan. Walau pun di Seremban tidak ada lautan tetapi ada satu tempat yang dipanggil 'Ocean'. Kisahnya bagini: Pasaraya Ocean ialah penyewa utama pertama untuk kompleks perniagaan Seremban Centre Point di Jalan Dato' Siamang Gagap, Seremban. Oleh kerana agak susah hendak menyebut 'Seremban Centre Point' orang ramai memanggil kompleks itu keseluruhannya sebagai 'Ocean' sahaja.
Nama 'Ocean' kekal sehingga sekarang walau pun pasaraya itu sudah ditutup dan sekarang diambil alih oleh Pasaraya The Store. Tak mungkin orang Seremban memanggil kompleks itu sebagai 'The Store' kerana sudah terdapat dua lagi pasaraya 'The Store' di tengah-tengah bandar Seremban.
Sama juga situasi dengan kompleks perniagaan Seremban Parade di Jalan Dato' Bandar Tunggal, Seremban. Penyewa utamanya dari mula hingga sekarang ialah Syarikat Parkson , sebuah 'Departmental Store'. Oleh itu kompleks ini lebih dikenali sebagai 'Parkson' walau pun terdapat satu lagi 'Departmental Store' Parkson di kompleks Terminal 1, Seremban.
Kesihan Seremban Centre Point dan Seremban Parade kerana orang yang tahu sahaja menggunakan nama mereka sebenar.
Semalam kereta Waja saya buat hal lagi. Seperti minggu lepas saya dalam perjalanan menghantar anak bongsu saya Anis balik ke Politeknik, Port Dickson. Sudah dua minggu berturut-turut dia balik ke rumah pada hujung minggu.
Enjin kereta saya tiba-tiba panas di atas Lingkaran Tengah Seremban berhampiran dengan Bengkel JKR Rahang Kecil. Saya pun menalipon mekanik saya Yap yang membaiki kereta saya pada minggu lepas. Saya tahu Yap tinggal hanya beberapa kilometer dari Lingkaran Tengah ini. Apabila saya katakan pada Yap kedudukan saya dia faham tapi mengatakan setahunya tempat di mana saya tersadai itu dikenali sebagai 'Bidara Highway'.
Setelah berbincang dengan isteri saya Salmah kami bercadang pada mulanya untuk menghantar Anis dengan teksi sahaja. Saya pun menalipon teksi. Seorang perempuan Melayu menjawab. Bila saya nyatakan lokasi saya sebagai 'Lingkaran Tengah Seremban' dia terus bertanya 'Adakah Lingkaran Tengah di Seremban? Tak pernah dengar pun.'
Dia pun memberikan telepon kepada kawannya juga seorang perempuan Melayu yang juga tidak sedar wujudnya 'Lingkaran Tengah Seremban' atau nama Inggerisnya 'Seremban Ring Road'. Bila saya menerangkan secara terperinci barulah dia jawab 'Oh, Bidara Highway ke?' sama seperti Yap tadi.
Walau bagaimana pun saya rasa kedua-dua perempuan Melayu ini selain perlu mengetahui nama-nama jalan di Seremban perlu juga diberi kursus untuk berbudi bahasa. Malu saya sebagai anak Negeri Sembilan kerana Menteri Kabinet yang menjaga 'Budi Bahasa' ialah Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, orang Jelebu macam saya.
Kenapa 'Bidara Highway'? Lingkaran Tengah Seremban dibina berperingkat-peringkat. Peringkat pertama ialah Jalan Rasah dari persimpangan Jalan Bukit Tembok sehingga Lebuh Raya Utara Selatan. Hakikatnya Jalan Rasah sekarang sudah menjadi sebahagian dari Lingkaran Tengah Seremban.
Peringkat kedua ialah Jalan Haji Said dari bulatan Taman Bunga (yang juga dikenali sebagai Bulatan Menteri Besar) hingga ke bulatan Sikamat kemudian menyusur ke Jalan Dato' Siamang Gagap iaitu jalan di hadapan Seremban Centre Point. Oleh itu Jalan Haji Said dan Jalan Dato' Siamang Gagap juga ialah sebahagian dari Lingkaran Tengah Seremban sama seperti Jalan Rasah.
Peringkat ketiga pula ialah satu jalan baru menghubungi Jalan Dato' Muda Linggi dengan Jalan Tampin. Jalan ini memecahkan kawasan Dusun Nyior kepada dua. Jalan ini jugalah yang dikenali sebagai 'Bidara Highway'. Kenapa Bidara? Kerana dipenghujungnya berhampiran dengan Jalan Tampin terdapat satu taman perumahan bernama Taman Bidara.
'Bidara Highway' sekarang sudah disambung dengan peringkat keempat Lingkaran Tengah Seremban merentasi Jalan Tampin, Jalan Tampin Lama, Jalan Rasah, Jalan Taman Bukit Chedang, membelah Taman Permai dan berakhir di Persimpangan Empat Taman AST.
Panggilan 'Bidara Highway' memang tidak tepat dulu atau sekarang . Jalan asalnya (sebelum disambung dengan peringkat keempat) cuma sejauh 1.5 km sahaja. Mana ada 'highway' sepanjang 1.5 km? Sekarang ia telah disambung dengan peringkat keempat. Adakah ia akan dipanggil 'Bidara - AST Highway'? Kalau bagitu nama 'Dusun Nyiior - AST Highway' lebih tepat.
Saya tidak salahkan orang ramai kerana memberi nama-nama yang salah ini. Kesalahan terletak kepada pihak berkuasa. Dalam kes 'Bidara Highway saya salahkan Jabatan Kerja Raya kerana tidak meletakkan nama kepada 'Lingkaran Tengah Seremban'. Memang tidak ternampak oleh saya papan tanda tertulis 'LINGKARAN TENGAH SEREMBAN' sepanjang Lingkaran Tengah Seremban. Sedangkan semasa saya masih bekerja dulu nama itulah yang selalu disebut-sebut semasa mesyuarat Jawatankuasa Lalulintas Majlis Perbandaran Seremban. Nama itu jugalah yang tertulis semasa surat menyurat dan sebagainya.
Kalau di Melaka saya ternampak beberapa papan tanda tertulis 'LEBUHRAYA AMJ' sepanjang Lebuhraya AMJ kenapa keadaan yang sama tidak terdapat di Seremban atau Negeri Sembilan?
Bercakap mengenai Negeri Sembilan baru-baru ini ada kawan saya menasihati supaya tidak menyebut NS untuk Negeri Sembilan. Sebut sahaja N Sembilan, N9, NC Milan atau N Nine. Kerana NS berbunyi 'AN ASS' yang bermaksud seekor kaldai.
Saya tidak menggunkan khidmat teksi untuk menghantar Anis ke PD. Saya suruh anak sulung saya Halimi untuk menghantarnya. Atas nasihat Yap saya bawa kereta Waja balik ke rumah. Radiator kena servis katanya. Di saat ini radiator kereta itu sudah dibuka dan dibawa untuk disevis oleh seorang pakar radiator.
2 comments:
Salam Hj,
Saya suka Lake Gardens Seremban walaupun banyak telah berubah dari yang asal semasa saya membesar di Seremban lewat 60an ke pertengahan 70an dulu..
Rindu Seremban yang dulu....Teringat arwah Mak.
waduh susah betul nak membaca blog tuan. Harap dapat ubah skin blog tuan
Post a Comment