Wednesday, July 28, 2010

Faktor dorongan ke masjid dan surau.

Hari Sabtu lepas surau taman saya mengadakan Majlis Isra' Mi'raj seperti gambar-gambar ini. Penceramah jemputan ada menceritakan pengalamannya bersolat di surau dan masjid yang sangat kurang jemaahnya. Pernah beliau bersolat di satu masjid di mana terdapat hanya tiga orang jemaah, iaitu imam, bilal dan beliau sendiri.

Ini mengingatkan pengalaman saya sendiri baru-baru ini. Saya sekarang sibuk dengan kerja-kerja banci. Walau pun saya seorang Penyelia Banci saya menolong Pembanci-pembanci saya dengan membuat sendiri kerja-kerja pembancian. Pada dua hujung minggu yang lepas saya mengerjakan solat Zohor berjemaah di surau satu taman yang boleh dikatakan elit. Tamannya yang elit, bukan suraunya.

Hari-hari hujung minggu merupakan waktu paling baik untuk kerja-kerja banci kerana kebanyakan penghuni  berada di rumah. Yang menghairankan saya ialah perkara ini tidak diterjemahkan dengan bentuk solat berjemaah di surau yang saya sebutkan. Rata-rata di empat solat Zohor yang saya kerjakan di surau ini kehadirannya kurang dari sepuluh orang untuk tiap-tiap solat.

Apabila melihat kepada borang atau dokumen banci untuk taman ini saya sedar bahawa separuh dari jawapannya ada dalam tangan saya. Lebih tepat lagi dalam beg banci saya. 

Dari pengalaman saya jemaah selesa datang ke surau dengan berjalan kaki, menaiki motosikal atau skuter. Saya masih ingat lagi boss saya dahulu mengajak saya ke satu kedai motosikal untuk membeli sebuah motosikal. "Moto ni bukan untuk apo, sonang se poi sughau," katanya.

Dokumen banci ada menanyakan mengenai pemilikan kereta, motosikal atau skuter. Tapi bagi taman elit yang saya banci ini saya dapati pemilikan motosikal dan skuter amat sedikit dibezakan dengan pemilikan kereta. Ada yang mempunyai sampai lima kereta tetapi tidak ada motosikal atau basikal.

Mereka boleh datang ke surau dengan kereta, jika mahu. Tetapi mungkin terpaksa berjalan sedikit kerana tidak ada ruang untuk meletak kereta di dalam kawasan surau. 

Terus terang saya nyatakan dalam empat kali solat Zohor semasa membanci di taman ini hanya seorang penduduknya yang datang ke surau ini. Ini kerana rumahnya terletak lebih kurang 100 meter dari surau dan beliau datang berjalan kaki.

Yang lapan atau sembilan orang jemaah itu siapa dan dari mana? Jawapannya ialah saya dan penduduk  taman lain yang bertentangan dengan taman ini. Mungkin mereka datang ke surau ini kerana taman mereka belum mempunyai surau.


Mereka termasuk imam datang dengan motosikal dan meletakkannya di belakang surau dan masuk melalui satu pintu pagar kecil. Pintu pagar utama terletak di hadapan surau untuk penduduk taman ini.
 
Lokasi surau juga memain peranan. Surau yang saya maksudkan ini terletak di pinggir taman dan tidak di tengah-tengah taman seperti surau saya. Tetapi dengan terletak di pinggir ia bertentangan dengan satu taman lain. Seperti yang saya katakan tadi jemaah dari taman sebelah  inilah yang meramaikan surau ini, sekurang-kurangnya semasa solat Zohor.

Saya fikir pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran perlu perihatin apabila meluluskan pelan asal taman-taman perumahan. Tidaklah memadai dengan adanya tapak untuk masjid atau surau sahaja. Lokasinya perlu dititikberatkan.

Walau bagaimana pun semua itu terpulang kepada hati masing-masing. Jika di Makkah dan Madinah kita sanggup berjalan kaki beratus meter hanya untuk ke Masjid kenapa tidak boleh berbuat demikian di sini?  

No comments: