Saturday, February 12, 2011

Jam, oh jam - Bahagian 1.

Ada saya terbaca seorang itu boleh dinilai peribadinya melalui jam yang dipakainya. Oleh itu apabila saya berkenal dengan seseorang saya sering meneliti jam tangannya. Ada saya perhatikan seorang itu memakai jam yang mahal tetapi waktunya lari sampai lima minit dari waktu sebenar. Ada pula yang memakai jam yang murah sahaja tetapi waktunya tepat. Diantara kedua-dua jenis manusia ini saya lebih menghormati manusia yang kedua.

Saya membuat penilaian ini terhadap lelaki sahaja. Saya tidak menilai perempuan melalui jam tangan yang dipakainya atau yang tidak dipakai langsung. Sebab pertama, isteri saya Salmah memang tidak suka memakai jam tangan. Semasa kami mengerjakan Haji dulu saya membelikannya satu jam tangan, tetapi apabila balik ke Malaysia saya tidak nampak lagi jam tersebut. Mungkin salah seorang anak saya telah mengambilnya. Sebab kedua, apa pula kata perempuan yang di hadapan saya jika saya asyik meneliti jam tangannya, jika ada.

Dulu ada seorang peniaga berbangsa India dari Kuala Lumpur sering berjumpa saya di pejabat kerana urusan perniagaan cawangannya di Seremban. Saya perhatikan setiap kali datang dia memakai jam tangan yang berlainan. Satu yang menarik lagi ialah waktu di jamnya tepat kerana sudah menjadi lumrah saya memastikan waktu di jam tangan saya tepat sampai ke saatnya. Dia terperanjat apabila saya bertanyakan mengapa dia sering menukar jam kerana belum ada orang lain yang sedar terhadap kegemarannya ini. Dia terus berkata mempunyai 30 buah jam tangan dan ia memakai jam yang berlainan pada tiap hari. Oleh itu setiap jam hanya dipakai sekali dalam sebulan.

Di lawatan seterusnya dia menghadiahkan saya sebuah jam tangan. Untuk tidak menghampakannya saya terima hadiahnya walau pun ia boleh dianggap sebagai rasuah. Untuk membersihkan fikiran, saya telah menghadiahkan pula jam itu kepada seorang saudara saya. 

Untuk mengikut perangai kenalan saya itu saya pun menambahkan bilangan jam saya kepada 10 peratus dari jumlah jam yang dipunyainya. Di lain perkataan saya menambah jam kepunyaan saya dari satu menjadi tiga. Di bawah ialah jam-jam saya, tetapi sebenarnya ketiga-tiganya mempunyai masalah.


Ini jam kegemaran saya jenama Seiko. Ia juga mempunyai jam jangka (stop watch) dan boleh memberitahu kelajuan kenderaan melalui tachymeter. Ia berjalan dengan baik dan tepat. Tetapi jika diperhatikan betul-betul ia mempunyai dua masalah. Pertama jarum pendeknya atau 'hour hand' lari sedikit akibat jam ini terhempas. Bila terhempas kali kedua jarum saatnya pula tercabut. Jika diperhati betul-betul jarum inia tersangkut di antara nombor 85 dengan 90. Selain itu ia masih berfungsi dengan baik.


.

Ini jam kedua saya jenama Alba. Juga tepat seperti Seiko, tetapi berat sedikit. Juga mempunyai jam jangka tetapi tiada tachymeter. Masalahnya jelas iaitu cermin sudah retak kerana terhempas juga.



Ini pula jam ketiga saya, Casio G-Shock yang saya pakai untuk tahan lasak. Ia mempunyai bacaan digital dan juga analog. Jam inilah yang saya bawa ke Arab Saudi semasa mengerjakan Haji dulu kerana sekali gus ia boleh menunjukkan waktu-waktu di sana dan Malaysia. Saya terpaksa menggunakan khidmat satu kedai jam di Madinah untuk menentukan jarum analog menunjukkan waktu di Arab Saudi. Semasa di atas pesawat dalam perjalanan pulang saya diberi tugas mengubah waktu di jam-jam jemaah kita kepada waktu Malaysia seperti di bacaan digital di jam ini.

Tetapi ia mempunyai masalah sekarang kerana bacaan digitalnya putus-putus. Jika dihantar ke kedai jam sudah tentu jawapannya "Beli jam baru lagi jimat dari membaikinya". Tetapi jarum analognya masih berjalan dengan baik, cuma tidak ada jarum saat.

Bersambung......

No comments: