Saturday, February 26, 2011

Merlimau

Ada seorang kontraktor kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah di Seremban berasal dari Melaka. Sudah tentu dia berurusan dengan jabatan saya dahulu. Apabila kami diperkenalkan saya terus memberitahunya bahawa isteri saya orang Melaka juga, dari Merlimau. Komennya ialah "Bukan sebarang orang boleh berkahwin dengan orang Melemo (sebutan orang Melaka bagi Merlimau)". Jadi saya ini termasuk dalam golongan khas juga, agaknya.

Saya mula mendengar nama Merlimau semasa saya berumur 12 tahun apabila saya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim (SDAR). Ada dua orang kawan sekelas saya berasal dari Merlimau. Saya merasa gerun apabila masuk sekolah berasrama penuh dan terpaksa berpisah dengan keluarga. Tetapi saya perhatikan kedua-dua budak Merlimau tadi tidak gerun langsung. Mereka dengan senang sahaja bergaul dengan kawan-kawan, sedangkan saya di minggu-minggu pertama rasa hendak menangis sahaja.

Apabila saya ditakdirkan berkahwin dengan orang Merlimau baharu saya tahu sebabnya. Keadaan Merlimau jauh berbeza dengan kampung saya di Jelebu, Negeri Sembilan. Itulah sebabnya dua orang kawan saya tadi tidak merasa takut apabila berpindah ke Tanjong Malim, Perak. Itu juga sebabnya kawan baru saya itu berkata "Bukan sebarang orang boleh kahwin dengan orang Melemo". 

Tiba-tiba nama Merlimau disebut-sebut sekarang kerana satu Pilihanraya Kecil atau PRK akan diadakan di sana pada 6 Mac 2011. Ramai orang berkata melainkan para pengundi ingin kepada perubahan, keputusan pilihanraya ini sudah diketahui dari mula lagi. Perubahan di sini banyak maksdunya.

Saya tidak mahu menyebut secara khusus nama-nama parti yang akan bertanding. Semasa saya menulis ini pula pencalonan belum dibuka lagi. Besar kemungkinan cuma dua parti yang akan bertanding iaitu parti pemerintah dan satu parti pembangkang. Kemungkinan calon bebas masuk daun tetap ada.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau diwakili oleh parti pemerintah sejak pilihanraya pertama lagi. Dengan itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)nya diberikan peruntukan untuk membangunkan kawasannya. Peruntukan itu jugalah yang dinikmati oleh penduduk Merlimau selama ini. Oleh itu jika penduduk Merlimau inginkan peruntukan pembangunan ini diteruskan mereka akan mengundi parti pemerintah  seperti yang mereka lakukan semenjak sebelum merdeka lagi.

Parti mana yang menang tidak akan mengubah situasi di DUN Melaka. Parti yang memerintah tetap memerintah. Cuma jika parti pembangkang menang bilangan pakatan mereka akan bertambah. Tetapi penduduk Merlimau akan kehilangan peruntukan pembangunan kerana kawasan mereka kawasan pembangkang. Mungkin parti pembangkang yang bertanding menjanjikan habuan dari bentuk lain. Tidak payahlah saya huraikan apa bentuk habuan itu.

Oleh itu terpulanglah kepada pengundi Merlimau untuk sama ada untuk mengekalkan keadaan semasa atau membuat perubahan.  

2 comments:

DAlina said...

"Bukan sebarang orang boleh kahwin dengan orang Melemo".
knp dgn org Mlimau,pakngah?

maarofkassim said...

Dalina, itu kena tanya dengan orang Melaka.