Monday, April 18, 2011

Ada yang masih tidak tahu peraturan pilihanraya

Saya terbaca ada sedikit kekecohan di tempat penjumlahan undi Pilihanraya Negeri Sarawak semalam (16 April 2011) seperti diceritakan di sini.

Peraturan pilihanraya negara kita telah diubah di mana tempat mengundi adalah juga tempat pengiraan kertas undi. Jika ada kiraan semula ia hendaklah dilakukan di tempat mengundi tadi dan bukan di tempat penjumlahan undi. Kiraan semula pula hanya boleh dilakukan juga perbezaan undi atau majoriti tidak melebihi 4% jumlah undi (sila betulkan jika saya kurang tepat).

Contohnya di satu saluran di mana 500 kertas undi di keluarkan dan pecahan undi seperti berikut:

Calon A  =     255
Calon B  =     240
Jumlah     =    495
Undi Rosak =    5
Majoriti   =       15

Dalam kes ini kiraan semula boleh dibuat kerana majoriti 15 undi bersamaan 3.03% dari jumlah undi 495. Tetapi kiraan semula hanya boleh dibuat jika ada permintaan dari mana-mana ajen calon atau atas arahan Ketua Tempat Mengundi sendiri.

Dalam Pilihanraya Umum ke-12 dulu untuk kerusi Parlimen di saluran di mana saya menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) majoritinya kurang dari 4%. Nasib baik ajen kepada calon yang mendapat undi yang kurang tidak ada untuk membuat permohonan kira semula. Saya juga tidak mahu membuang masa meminta Kerani-kerani Undi saya mengira semula.

Setelah pengiraan kertas undi tamat data-data dimasukkan ke Borang SPR 14 dan satu salinan diberi kepada tiap-tiap ajen calon. Kertas undi yang sudah dikira di masukkan ke dalam sampul khas dan di meterai. Satu salinan Borang SPR 14 dimasukkan juga ke dalam satu sampul khas lain yang dimeterai oleh KTM untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya. Seorang anggota Polis mengiringi KTM dalam perjalanan dari tempat mengundi ke tempat penjumlahan undi. 

Selain menyerahkan Borang SPR 14 KTM juga menyerahkan Kotak Undi yang didalamnya termasuk sampul surat mengandungi kertas undi sudah digunakan. Tugas KTM selesai sebaik sahaja dia menyerahkan Borang SPR 14 dan kotak undi kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya. 

Di tempat penjumlahan undi data-data dari Borang SPR 14 dimasukkan pula ke dalam satu borang lain dan dengan kemudahan ICT sekarang borang ini ditayang ke satu layar besar untuk tontonan umum. Sudah tentu juga program seperti 'excell' dan 'powerpoint' digunakan. Dari tayangan umum boleh dilihat jumlah undi sentiasa berubah setiap kali data-data dari Borang SPR 14 dimasukkan.

Apabila semua borang SPR 14 diterima dan data-data dimasukkan ke borang khas yang juga ditonton umum jumlah terakhir itulah yang menentukan siapa yang menang dan kalah dalam pilihanraya untuk kawasan tersebut. Kalau ada sesiapa yang meminta kiraan semula ini bermakna mereka tidak percaya kepada program 'excell' dan 'powerpoint'. Soal jumlah majoriti kurang dari 4% juga tidak boleh digunakan di sini.

Di tempat penjumlahan undi tiada siapa yang boleh meminta sampul-sampul yang mengandungi kertas undi dibuka semula dan undi dikira semula. Oleh itu sesiapa yang berbuat demikian tidak tahu akan peraturan pilihanraya. Sampul-sampul yang mengandungi kertas undi hanya boleh dibuka atas arahan mahkamah jika ada bantahan.

Sekian.

No comments: