Tuesday, April 26, 2011

Bagaimana pula di luar sekolah?

Kedua-dua kereta diatas menjual makanan kepada kanak-kanak sekolah.

Saya tertarik dengan berita mengenai larangan beberapa jenis makanan dari dijual di kantin-kantin sekolah seperti di sini. Selepas ini sudah tentu beberapa perbincangan akan diadakan antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Kemudian pihak sekolah pula akan berbincang dengan pengusaha-pengusaha kantin.

Saya percaya salah satu perkara yang akan dibangkitkan ialah mengenai penjualan makanan di luar sekolah. Penjaja-penjaja yang menjual di luar kawasan sekolah seperti gambar-gambar di atas bebas dari peraturan larangan jualan makanan tersebut. Pihak sekolah langsung tidak mempunyai kuasa terhadap mereka. Pihak Kementerian Kesihatan pula tidak mempunyai kuasa penuh. Mereka  hanya boleh bertindak jika mana-mana penjual makanan melanggar Akta Makanan 1983, tidak lebih dari itu. Sebagai contoh jika seorang pegawai kesihatan mendapati seorang penjaja di luar sekolah menjual burger  iaitu satu bahan makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah, mereka tidak boleh buat apa-apa. 

Oleh itu siapa yang mempunyai kuasa penuh terhadap penjaja di luar kawasan sekolah? Jawapannya ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya dan Dewan Bandaraya. Setiap PBT mempunyai undang-undang tersendiri yang melarang penjualan apa-apa makanan di luar sekolah. Selain dari itu sebahagian pegawai PBT juga diberi kuasa untuk menguatkuasakan Akta Makanan 1983. 

Saya dulu pun bekerja di satu PBT dan salah satu tugas saya ialah mengawal penjualan makanan di dalam dan di luar sekolah. Saya pernah membuat tindakan drastik dengan memandu sendiri sebuah lori kecil yang menjual makanan di luar sekolah dan membawanya ke pejabat saya untuk disimpan. Walau pun tindakan tersebut boleh dianggap kejam, saya dapati ia amat berkesan dan penjaja yang saya rampas lorinya itu tidak nampak lagi menjual di luar mana-mana sekolah.

Tengah hari semalam saya lalu di satu sekolah menengah utama di bandar Port Dickson. Saya nampak satu lori kecil menjual makanan betul-betul di luar pagar sekolah tersebut. Saya ingin bertanya, apa yang MPPD buat?

Satu lagi punca di mana kanak-kanak sekolah yang tidak tahu apa-apa membeli makanan yang dilarang di kantin sekolah ialah van dan bas sekolah. Cuba lihat di dalam van atau bas sekolah, di belakang pemandu tergantung makanan jajan yang sungguh menarik kanak-kanak sekolah. PBT juga boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha kenderaan ke sekolah ini. Saya tidak tahu sama ada pihak Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) juga boleh mengambil tindakan. 

3 comments:

Anonymous said...

sdr Maarof

Satu write up yang baik. Didalam hal ini i.e. obis dikalangan murid sekolah, pihak kerajaan kena buat satu series (berterusan) mengilmukan dan kemudian penguatkuasaan.

Siapa-siapa yang perlu di educate atau di 'ajar'.

1. Penjual di kantin sekolah
2. Penjual di luar sekolah
3. Ibu bapa
4. Murid-murid
5. Pegawai2 PBT
6. Pegawai2 Kem. Kesihatan
7. Polis

Semua mesti tahu apa barang atau food items yang di bolehkan dan yang tidak.

Penguatkuasaan, jangan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Bila sudah tiga empat bulan, senyap aje... macam kempen keselamatan jalan raya.... kenapa pada musim cuti panjang atau hari perayaan sahaja.

Disamping itu, jika ada yang kena denda, kuatkuasakan. Jangan layan desakan parti politik (jika hukuman sudah dijatuhkan diatas kesalahan itu) jika menangani hal obis hendak berjaya.

Wallah hu aklam.

wasalam
MA

melayuangkat said...

Haji, pihak berkuasa patut bertindak jika ada pihak luar yang menjual makanan pada kanak kanak atau pelajar sekolah. Dan kita juga minta pihak kantin dan sekolah sediakan pemakanan yang berkhasiat untuk mereka tetapi selebihnya terpulang dengan didikan ibu bapa dari rumah. Jika mereka peka apa itu makanan berkhasiat tentu mereka tidak makan junk food tapi faham fahamlah namapun budak budak susah kita nak kawal sepenuhnya.

Al-Manar said...

Pandangan saya selain apa yang tuan perkatakan.

Saya berpendapat selalu sangat jabatan yang berkenaan membuat keputusan yang saya rasa sperti orang tidak mempunyai kaki terjejak kebumi nyata. Dikampung masalahnya ialah kanak kanak yang terlampau kurus kurang makanan asas yang memberi tenaga - bukan obis. Dikampung saya ada kanak kanak yang tanpa makanan dirumah selain roti yang dicicah dalam air teh dan pergi sekolah dengan duit seringgit. Pihak sekolah dengan ghairah membuat kelas tambahan dan koko hinggakan budak pulang pukul empat petang. Apakah sebenarnya masalah kanak kanak sekolah dikampong?