Baru-baru ini saya terbaca cerita di mana beberapa orang posmen telah ditangkap polis kerana mencuri kad-kad kredit di pejabat pos dan menukarkan cipnya. Selepas itu mereka kononnya menampalkan cip asal kepada kad kredit lain dan berbelanja sakan. Dari mula lagi saya tidak percaya posmen tersebut merancang itu semua. Mesti ada orang luar yang menjadi dalang atau 'mastermind' dalam sindiket penipuan ini.
Tekaan saya tepat bila saya membaca akhbar pada hari ini. Sahlah jangkaan saya bahawa posmen itu digunakan oleh pihak lain. Mereka cuma dibayar RM50 atau RM100 untuk setiap kad kredit yang mereka curi. Sedangkan ahli-ahli sindiket untung beribu-ribu ringgit. Ini mengingatkan apa yang terjadi kepada seorang kawan kerja saya beberapa tahun yang lalu.
Di hari pertama saya bekerja semula setelah bercuti menunaikan Haji saya dapati ada seorang Ketua Kerani perempuan dari jabatan lain di dalam bilik ketua jabatan atau boss saya. Saya hendak berjumpa boss saya untuk dua tujuan, pertama memberitahunya saya sudah selesai mengerjakan Haji dan kedua untuk melapor diri setelah kontrak kerja saya diperbaharui.
Rupa-rupanya Ketua Kerani di hadapan boss saya itu menggantikan Ketua Kerani yang lama (lelaki) yang bertukar ke jabatan lain. Sudah menjadi kebiasaan di jabatan saya apabila seorang kakitangan bertukar ke jabatan lain satu jamuan akan diadakan. Saya pun hairan kenapa tidak ada siapa yang menyebut mengenai jamuan untuk Ketua Kerani yang telah berpindah. Kawan-kawan saya semuanya berdalih apabila saya tanyakan soalan ini.
Akhirnya boss saya sendiri menyatakan kenapa Ketua Kerani yang lama ditukarkan. Dia disyaki terlibat dengan satu sindiket pengeluaran lesen palsu. Dia kemudian dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang kerja. Dengan itu juga hilanglah wang ganjaran yang patut diperolehinya apabila bersara yang berjumlah berpuluh ribu ringgit. Juga dia tidak menerima apa-apa wang saraan setelah dibuang kerja.
Saya terduduk memikirkan kenapa ini boleh berlaku. Kenapa bodoh sangat kawan saya ini. Saya cuba menaliponnya beberapa kali, tetapi tidak dijawabnya. Akhirnya setelah beberapa bulan saya terserempak dengannya dan dia menceritakan segala-galanya. Dia tidak menjawab panggilan saya kerana merasa malu yang amat sangat.
Dia mengaku kesalahannya dan mengikutnya dia hanya hendak menolong seorang yang terdesak. Dia langsung tidak menduga perkara itu akan terbongkar. Saya tidak dapat berkata apa-apa selain dari memeluknya. Syukur juga isterinya bekerja dengan kerajaan, tetapi apa yang pasti hidupnya selepas itu tidak seperti dulu lagi. Baik juga jabatan tidak melaporkan perkara itu kepada SPRM, jika tidak tentu panjang ceritanya.
Kawan saya mungkin dibayar cuma beberapa ratus ringgit, tetapi orang yang merancang mungkin untung atas angin beribu ringgit. Saya tidak sampai hati untuk bertanya berapa jumlah sebenar yang diterimanya. Kerana saya tidak terfikir akan menanya soalan begitu rupa kepadanya sejak saya mengenalinya. Tapi apakan daya, kerana cuma beberapa ringgit kawan saya itu telah kerugian beratus ribu ringgit jika dicampur jumlah ganjaran dan pencen bulanan yang patut diterimanya.
Itu jugalah nasib yang mungkin diterima oleh posmen yang mencuri kad-kad kredit dalam jagaan mereka dan menyerahkannya kepada ahli-ahli sindiket penipuan itu. Teringat saya satu pesanan dalam bahasa Inggeris 'Don't be penny wise, but pound foolish'.
No comments:
Post a Comment