Monday, July 11, 2011

Tahniah Polis Di Raja Malaysia (PDRM)






Beberapa hari lepas saya menonton persembahan tatu oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Sebenarnya tatu itu juga disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sejak berpindah dari Paroi ke Sikamat itulah pertama kali saya masuk ke stadium itu semula. Jika tidak stadium yang terletak hanya 200 meter dari rumah lama saya itu menjadi rumah kedua saya. Boleh dikatakan setiap petang saya berjogging di trek stadium, jika stadium tidak digunakan. 

Sungguh terhibur kami melihat gelagat anggota PDRM dan ATM. Selain dari adegan pertama di mana aggota PDRM membebaskan tebusan menggunakan dua helikopter adegan-adegan seterusnya tidak kena mengena  dengan tugas harian mereka. Ditunjukkan bakat PDRM dan ATM di bidang muzik, lawak jenaka dan 'stunt' menaiki motosikal dan kuda. Stadium penuh sesak sehingga ada yang duduk di atas trek. Akhirnya semua penonton terhibur sehingga cucu saya Fahim bercerita mengenai tatu ini tiap-tiap hari selepas itu.  

Semasa tatu itu berjalan setiap dari puluhan ribu penonton menyintai dan menyanjung polis. Tidak terdengar langsung ejekan 'boo' dan sebagainya yang sering terdengar di stadium itu semasa perlawanan bolesepak. Tetapi dalam hati saya bertanya berapa ramaikah penonton di stadium ini sedar dalam beberapa hari lagi polis yang mereka cinta dan sanjung sekarang akan dibenci pula. Mungkinkan helikopter yang hanya berlakun tadi akan terlibat dalam aksi sebenar? Adakah trak-trak polis yang tersusun rapi di luar stadium itu akan dibaling batu?

Arwah ayah saya dulu seorang anggota polis. Dia berasal dari Assam Jawa, Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Sebelum berkahwin dengan ibu saya dia pernah berkahwin beberapa kali tanpa dikurniakan anak. Entah macam mana bila dia berkahwin dengan ibu saya yang semasa itu seorang janda beranak satu dia dikurniakan empat orang anak, termasuk saya. Tetapi semasa saya dilahirkan dia telah berhenti dari menjadi polis, oleh itu saya tidak pernah mengalami tinggal di berek polis.

Semasa saya bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu saya sering mendapat bantuan polis terutama semasa operasi. Ada operasi terbatal kerana polis tidak dapat hadir sama. Pernah di satu operasi boss saya diarah mengetuainya oleh bossnya sendiri kerana kali ini ia agak sensitif. Jika di operasi lain saya dibantu oleh dua tiga orang anggota biasa, kali ini boss saya dibantu oleh sepasukan polis yang diketuai oleh seorang berpangkat ASP. Malangnya semasa operasi boss tidak mendengar nasihat polis dan dia kena pukul. 

Sudah kena pukul baru boss saya dengar nasihat polis dan pergi ke hospital. Syukur juga dia tidak cedera teruk. Malangnya boss saya ini orang yang lurus dan tidak pandai berlakun, oleh itu tidak ada gambarnya terbaring di hospital dan sebagainya. Walau bagaimana pun dia sempat memarahi saya kerana tidak melindunginya. Saya jawab 'Kenapa tak dengar nasihat polis? Saya dah bertahun-tahun buat operasi tak pernah kena pukul pun, kena maki tu biasalah'. Itu jugalah kali pertama dan terakhir boss saya mengetuai operasi. 

Itulah satu contoh polis boleh menghidu satu-satu yang tidak diingini boleh berlaku kerana mereka sudah dilatih di bidang itu. Semasa polis berpangkat ASP itu menasihatkan boss saya dia menunjukkan beberapa benda disekeliling kami yang boleh dijadikan senjata jika berlaku kekecohan nanti. Syukurlah boss saya dipukul dengan kayu sahaja. Kehadiran polis juga menghalang apa-apa kejadian yang tidak diingini dari terjadi, jika tidak mungkin saya tidak dapat menulis di blog ini. 

Satu Malaysia dan mungkin satu dunia sudah mengetahui apa yang berlaku di tengah bandar Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 yang lalu. Ramai rakyat Malaysia menyalahkan polis kerana menyusahkan mereka. Rakyat menyumpah kerana sekatan jalanraya olih polis menyebabkan kesesakan. Mereka kata polis diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu dan sebagainya. Tetapi mereka tidak tahu jika polis tidak berbuat demikian mungkin keadaan akan menjadi huru hara. Bila ini terjadi pihak pertama yang disalahkan ialah polis juga.

Saya ke Melaka pada 9 dan 10 Julai 2011 kerana menghadiri tiga kenduri, oleh itu tidak sempat menonton tv untuk melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Saya cuma mengikutinya di internet. Tetapi saya tertarik kepada gambar di mana mereka yang ditahan polis diberi makanan secara 'buffet'. Mengikut seorang pegawai polis, mereka yang ditahan diberi makanan yang lebih baik dari anggota polis sendiri. Mereka juga diberi kemudahan bersolat di dalam khemah yang lebih baik dari khemah jemaah Haji di Arafah. Saya juga melihat gambar tahanan yang sedang dibebaskan bersalaman dengan anggota polis. Cuma saya teringat adegan dalam filem 'Nasib Do Re Mi' di mana Do Re Mi enggan keluar hospital sesudah sembuh kerana di hospital mereka dapat tempat tinggal dan makan percuma. Saya berharap janganlah mereka yang dilepaskan dari tahanan itu berfikiran begitu.

Sama seperti kebolehan mereka beraksi di pertunjukan tatu, anggota polis Malaysia ialah manusia biasa juga. Mereka bukanlah robot seperti jangkaan ramai orang. Semasa balik ke Seremban pada petang 10 Julai 2011 saya berselisih dengan trak-trak polis arah ke selatan. Sudah tentu mereka dalam perjalanan pulang ke Melaka dan Johor dari Kuala Lumpur setelah menjalankan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan negara. Tiba masanya mereka kembali bersama keluarga pula.

Sekarang Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia kembali aman. Tahniah PDRM kerana membolehkannya.


1 comment:

mshah said...

Brother Maarof,
Sekatan jalan raya tidak menghalang mereka yang benar benar bertekad untuk menyertai demonstrasi BERSIH tetapi hanya menyusahkan orang ramai.Macam nak pergi tengok football final, jam macam mana pun peminat sejati akan pergi juga. Tak de excuse malah membuatkan lebih seronok dan mencabar untuk menonton pertandingan tersebut. Ni macam budak budak lah, mana yang tak bagi buat, itulah yang mereka nak sangat buat. Jalan raya yang tiada kenderaan akan menggalakkan penunjuk perasaan berhimpun, seperti pesta pula. Kedua pehak bermain dengan api, bahaya, bila besar menjadi lawan.