Friday, February 17, 2012

Dari 'winnable' kepada 'loosable'.


Beberapa tahun yang lalu seorang jiran di depan rumah saya berbangsa Serani dan beragama Kristian telah menghadiahkan kepada keluarga saya satu bungkusan 'jelly' yang dibelinya dari luar negara. Setelah meneliti ramuan 'jelly' tersebut saya mendapati antaranya ialah 'gelatin'. Tidak disebut pula 'gelatin' itu dari sumber apa. Oleh kerana mencurigai 'gelatin' itu mungkin datang dari sumber-sumber yang tidak halal saya memberitahu isteri saya yang kita tidak boleh memakan 'jelly' tersebut. Jika kami pulangkan kembali buah tangan itu mungkin menyinggung pemberinya. Hendak dibuang sayang. Oleh itu saya serahkan sahaja ia kepada seorang kawan saya berbangsa Cina bukan Islam.

Beberapa tahun dulu juga saya melihat di TV seorang ahli gusti membawa sebuah gitar elektrik yang mahal ke dalam gelanggang. Tiba-tiba dia menghempaskan gitar itu sehingga berkecai. Kemudian dia mengambil  mikrofon dan menjerit "That's what I think of Rock and Roll" atau "Itulah pandangan saya terhadap Rock and Roll". Tujuannya ialah mengejek dan mencabar seorang musuhnya yang menggunakan tema Rock and Roll. Musuhnya ini selalunya masuk ke gelanggang memakai pakaian seperti Elvis Presley dan memegang gitar sebelum bertarung. Saya berfikir 'Jika benci sangat terhadap Rock and Roll berikan saja gitar itu kepada sesiapa yang memerlukannya'.

Itulah dua contoh di mana satu-satu barang yang tidak berguna atau berharga bagi seseorang itu, berguna atau berharga pula bagi orang lain. Oleh itu saya terkejut apabila membaca seorang yang sepatutnya dipanggil Yang Berhormat telah membuang satu buku ke dalam bakul sampah. Sila lihat gambar di atas dan baca cerita rengkasnya di bawah gambar itu. Cerita lanjut boleh dicari dalam internet, kalau rajin.

Bukan senang untuk menerbitkan sebuah buku, apa-apa buku pun. Kajian demi kajian perlu dibuat. Saya baharu sahaja selesai membaca sebuah buku di mana diceritakan seorang itu sanggup mencolek dan membunuh untuk menghalang isi sebuah buku harian atau diary disiarakan di akhbar dan internet. Oleh itu membuang sebuah buku ke dalam bakul sampah cuma kerana ia diterbitkan oleh musuh kita dan kita tidak setuju dengan apa yang ditulis adalah satu perbuatan bodoh. Saya terkejut juga bila ada pula pihak yang mencadangkan supaya tindakan bodoh 'bakul sampahkan' buku itu diikut oleh orang lain. 

Pilihanraya dah dekat dan perkataan calon 'winnable' atau 'boleh menang' sering disebut. Tapi bagi saya sesiapa yang mengikuti perbuatan bodoh 'bakul sampahkan' apa-apa buku akan menjadikan dirinnya seorang calon 'loosable' atau 'boleh kalah'.

No comments: