Aku tidak pernah ambil tahu mengenai Hari Valentine. Oleh itu jauh sekali aku meraikannya. Tetapi sekarang baharu aku sedar Hari Valentine juga memainkan peranan dalam hidupku. Hidupku telah berubah di Hari Valentine 1962. Untuk mengetahuinya sila baca posku sebelumnya walau pun ia ditulis dalam Bahasa Inggeris.
Di hari Valentine tahun 1962 iaitu tepat setengah abad yang lalu aku mendaftar untuk memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak. Sekolah itu sekarang sudah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban. Setelah mendaftar aku dihantar ke sebuah asrama yang bernama Rumah Laksamana iaitu satu dari tiga asrama di SDAR di masa itu. Dua lagi ialah Rumah Temenggong dan Rumah Bendahara.
Semasa aku mendaftar dua lagi asrama sedang rancak dibina. Ia akan menjadi Rumah Sultan dan Rumah Shahbandar. Nama-nama rumah itu juga digunakan di SDAR hingga sekarang melainkan Rumah Sultan telah ditiadakan. Agaknya ada yang sedar bahawa seorang Sultan bersemayam di istana dan bukan tinggal di rumah. Jauh lagi tinggal di asrama.
Selesai mendaftar dan dimasukkan ke asrama tiba pula masa untuk masuk ke kelas di hari esoknya iaitu 15 Februari 1962 iaitu tepat 50 tahun yang lalu. Rupa-rupanya kelas ku terletak dalam bangunan asrama ku sendiri. Tiap-tiap asrama mempunyai lapan bilik dan diberi nombor 1 hingga 8. Bilik 1 hingga 4 di tingkat atas dan Bilik 5 hingga 8 di tingkat bawah. Bilik ku ialah Bilik 4 Rumah Laksamana di tingkat atas. Oleh itu untuk ke kelas aku cuma berjalan beberapa meter ke tingkat bawah.
Kelasku ialah kelas A. Kelas A dab B menggunakan bilik-bilik yang sepatutnya menjadi bilik 7 dan 8 Rumah Laksamana. Tetapi kerana kekurangan kelas, bilik-bilik asrama tersebut dijadikan kelas-kelas kami. Penghuni bilik 7 dan 8 Rumah Laksamana dipindahkan ke satu bangunan sementara berhampiran Sungai Bernam yang memisahkan Negeri Perak dengan Negeri Selangor. Selain dari menjadi bilik 7 dan 8 Rumah Laksamana bangunan itu diberi jolokan Riverside Hostel atau asrama tepi sungai.
Seperti aku sebut, di masa itu dua bangunan asrama baru sedang dibina. Sebuah bangunan dewan, gimnasium dan satu blok bangunan kelas juga dalam pembinaan di masa itu. Apabila semuanya siap di tahun itu juga kami tinggal selesa sedikit. Dari tiga asrama sudah menjadi lima. Bilik asrama juga tidak menjadi kelas lagi. Riverside Hostel dijadikan kantin sekolah dan bilik sakit yang kami panggil Sick Bay.
Sebenarnya kemasukan kumpulan aku ke SDAR untuk tahun itu lewat sedikit. Kami sepatutnya masuk semasa pembukaan sekolah pada bulan Januari 1962. Aku tidak tahu apa sebab kelewatan ini. Oleh itu aku dan kawan-kawanku telah belajar beberapa minggu di sekolah-sekolah menengah di tempat asal kami. Aku sendiri telah belajar di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) di bandar Kuala Klawang, Jelebu untuk beberapa hari sahaja. Terpaksalah aku bangun pagi awal-awal, kemudian berjalan kaki lebih kurang satu kilometer ke perhentian bas kampung ku. Dari situ aku menaiki bas ke bandar Kuala Klawang yang berada sejauh 16 kilometer pula.
Oleh itu bayangkanlah seronoknya aku bila mendapati kelasku berada beberapa meter sahaja dari bilik penginapanku. Ini berbanding dengan 17 kilometer jika aku tidak berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh ini. Bermulalah sejarahku bergaul dengan kawan-kawan setingkatan dan sekelas yang akan bersama-samaku selama enam tahun. SDAR dulu ialah sebuah sekolah aliran Inggeris, oleh itu untuk tahun pertama kami dimasukkan ke kelas peralihan atau 'Remove Class'.
Kejutan pertamaku ialah mendengar kawan-kawan yang menggunakan bahasa negeri mereka. Aku tidak mempunyai masalah bercakap dengan kawan-kawan dari Melaka dan Johor tetapi dengan mereka yang dari Kelantan aku terpaksa berusaha lebih sedikit. Di bilik asramaku juga ada senior yang berasal dari Kelantan. Tetapi pengalaman ini banyak menolongku apabila dihantar bertugas ke Kelantan sepuluh tahun kemudiannya.
Aku sendiri tidak mempunyai masalah bertukar dari bertutur dalam loghat Negeri Sembilan ke bahasa bandar. Tapi aku perhatikan ada juga seorang dua kawan-kawanku dari Negeri Sembilan menghadapi masalah dalam hal ini.
Aku merasa hairan juga dengan beberapa orang kawan-kawn baruku yang tidak langsung menunjukkan perasaan takut atau gelisah bila berada di tempat baru. Sedangkan aku masih teringatkan ibu, adik-adik dan kawan-kawan sekampung. Agaknya kerana aku berasal dari kampung dan daerah yang 'ulu' di Negeri Sembilan. Tetapi syukurlah di hari ini tidak ada tempat yang boleh dipanggil 'ulu' di Negeri Sembilan.
Oleh itu bila orang menyebut mengenai Hari Valentine sekurang-kurang aku boleh berkata hidupku mula berubah di Hari Valentine 50 tahun yang lalu.
1 comment:
lama tu.saya pun tak lahir lagi.hehe.
Post a Comment