Thursday, May 10, 2012

Bila peraturan berat sebelah.


Pagi tadi pertama kali saya menaiki KTM Komuter baru enam koc. Oleh kerana saya sampai ke platform 1 stesen Seremban hanya beberapa minit sebelum tren berlepas saya terus melompat ke koc kedua dari hadapan, itu pun setelah sempat mengambil gambar di atas.

Setelah tren bergerak saya perhatikan banyak tempat duduk yang kosong di koc di belakang iaitu koc ketiga  saya pun berpindah ke situ. Setelah beberapa minit baru saya sedar yang koc itu ialah untuk wanita sahaja. Tetapi dari semua wanita di situ tiada seorang pun yang menegur saya. Jika untuk tren komuter tiga koc wanita dikhaskan di koc tengah, untuk tren enam koc ini mereka ditempatkan di koc ketiga dan keempat, iaitu di tengah-tengah juga. 

Apabila tren berhenti di stesen Kajang dan ramai lelaki asing memasuki koc perempuan ini barulah beberapa perempuan di situ menegur mereka supaya berpindah ke koc lain. Tetapi saya masih duduk di koc wanita tadi. Akhirnya datang seorang polis wanita yang meminta saya berpindah ke koc di hadapan iaitu koc asal saya naiki tadi. Kerana saya sudah berjanji untuk mematuhi arahan polis, saya pun berpindah. Tetapi kali ini saya tidak dapat duduk oleh kerana semua tempat duduk sudah penuh.

Apa yang saya hendak bangkitkan di sini ialah lelaki tidak dibenarkan masuk ke koc wanita, tetapi wanita pula tidak dilarang untuk masuk ke koc biasa. Jika wanita berkenaan ialah sebahagian dari satu keluarga atau bersama pasangan lelaki tak apa juga. Tetapi ada saya perhatikan ramai juga wanita perseorangan atau solo yang duduk atau berdiri di koc biasa ini. Terjadilah keadaan di mana mereka yang berada dalam koc khas wanita (sudah tentu semuanya wanita) duduk selesa sedangkan mereka yang berada di koc biasa bersesak juga. Polis wanita tadi tidak pula menegur mana-mana  wanita yang solo yang berada dalam koc biasa untuk berpindah ke koc wanita.  

Pujian patut diberi kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana mengenalkan tren enam koc ini. Kesesakan yang selalu berlaku beberapa bulan yang lalu sudah berkurangan. Tetapi jika KTM menghendaki tiada lelaki berada dalam koc-koc khas untuk wanita, wanita-wanita yang solo juga sepatutnya dilarang untuk berada dalam koc biasa.    

Sekian.

No comments: