Sunday, May 27, 2012

Mana air ku?


Apabila saya membeli satu telefon bimbit jenis 'tablet' saya ditanya sama ada saya ingin membelinya untuk bermain 'games' atau tujuan lain. Saya ditanya begitu kerana saya diberi pilihan antara 'tablet' yang mempunyai skrin 7 inci atau 10 inci. Oleh kerana saya tidak ingin bermain 'games' saya memilih yang berskrin 7 inci sahaja.

Saya gunakan istilah telefon (bimbit) untuk alat ini kerana istilah yang diberi oleh syarikat pengeluar ialah 'phone'. Tetapi ia lebih dari itu. 'Tablet' ini ialah rangkuman sebuah komputer, telefon bimbit, kamera, television, radio, peta, kompas, buku dan Al Quran antara yang lain. Ya, saya membaca Al Quran termasuk surah Yasin dan Tahlil melalui alat ini. 

Tetapi bila cucu-cucu saya datang ke rumah saya terpaksa mengalah. Mereka menggunakan 'tablet' saya untuk bermain 'games' yang mereka muat turun atau 'download' sendiri. Antara 'games' yang mereka suka main ialah burung marah atau 'angry birds' dan permain lumba kereta dan motosikal. Selepas mereka pulang saya pun cuba bermain games yang mereka muat turunkan, tetapi tidak ada yang menarik hati saya, sehingga saya ternampak permainan seperti gambar di atas.

Permainan yang saya maksudkan ialah 'Where's My Water?' atau 'Mana Air Ku?'. Permainan ini mengenai dua ekor buaya jenis 'alligator' yang memerlukan air. Buaya baik bernama 'Swampy' yang memerlukan air untuk mandi. Buaya jahat pula bernama 'Cranky' yang memerlukan asid untuk dicampukan kedalam makanannya. Cara bermain ialah untuk menyampaikan air kepada Swampy dan asid kepada Cranky. Tetapi kedua-dua buaya ini tidak bersemuka dalam 'game' ini. 

Di samping itu Swampy dan Cranky mempunyai kawan-kawan itik yang memerlukan air dan asid juga. Itik Swampy akan mati jika terkena asid (biasalah), tetapi itik Cranky pula akan mati jika terkena air (pelik juga ya). 

Untuk menyampaikan air dan asid pemain terpaksa melalui beberapa halangan. Di sinilah ciri-ciri sains iaitu fizik, kimia dan biologi digunakan. Tidak kurang juga kaedah paip air atau 'plumbing'. 

Oleh kerana suka sangat kepada permainan ini, saya tidak berpuas hati dengan yang dimuat turun oleh cucu saya. Saya mendapatkan pula versi berbayar dengan harga harga US 0.99 cents bersamaan RM 3.04 sahaja. 

No comments: