Saturday, February 23, 2013

Seperti anjing dengan kucing


Banyak perangai kita orang Melayu dikiaskan dengan binatang, atau lebih manis disebut haiwan. Contohnya jika kita memberi satu barang yang berharga kepada seorang yang tidak tahu menghargainya samalah memberi bunga kepada beruk. Seorang yang suka menghebahkan kegiatannya walaupun sekecil mana diibaratkan seperti seekor ayam bertelur riuh sekampung.

Tetapi ada juga kiasan yang salah. Contohnya seorang perogol sering disebut berperangai seperti binatang. Sedangkan binatang jantan tidak merogol betina mereka. 

Baru-baru ini seorang tokoh politik menyamakan pemberian dan penerimaan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M sebagai seorang gembala menaburkan padi dan jerami kepada ayam dan lembu peliharaannya supaya haiwan peliharaannya itu datang dekat. 

Maka timbullah suara-suara membantah kenyataan tokoh politik itu. Sedangkan dia cuma memberi satu kiasan yang agak tepat. Perbezaannya ialah ayam dan lembu tidak boleh mengundi.

Kenapa bila kita dikiaskan dengan beruk atau ayam seperti di perenggan satu di atas kita tidak marah? Saya sebagai seorang yang juga menerima BR1M tidak terasa apa-apa pun kerana sedar itu cuma satu kiasan. Cuma saya tidak mengambil padi dan jerami itu semasa ia ditaburkan. 

Saya tidak mengambil wang BR1M di tempat yang dijanjikan. Saya mengambil baucar BR1M di Pejabat Daerah, kemudian sama masukkan padi dan jerami saya ke dalam bank untuk di makan apabila perlu. Selepas ini tidak semestinya saya akan mengundi gembala yang menaburkan saya padi dan jerami itu.   

Dalam kehebohan kita membantah diri kita disamakan dengan haiwan kita tidak sedar yang kita selama ini berperangai seperti dua makhluk berkaki empat. Walau pun kita sama-sama pergi ke surau dan masjid dan sama-sama pergi ke kenduri kendara, sebenarnya kita tidak berhenti dari berseteru atau bergaduh. Kita berseteru dan bergaduh hanya kerana perbezaan politik.

Kita berperangai seperti anjing dengan kucing.   

2 comments:

akmar said...

Well said pak ngah!

muddassir said...

There are two kind of people in this world.the good and the bad.......