Cicada di Fukuoka, Jepun pada tahun 2004.
Cicada di Seremban, Malaysia pada tahun 2013.
Semasa saya di Fukuoka, Jepun pada musim panas tahun 2004 saya dikejutkan pada mulanya dengan nyanyian yang datang dari tiap-tiap pokok di situ. Bila melihat dari dekat baru saya sedar nyanyian itu datangnya dari serangga besar yang kita panggil riang-riang dan disebut cicada dalam bahasa Inggeris. Beratus, mungkin beribu cicada melekap di batang, dahan dan ranting setiap pokok di situ. Kalau dikira seluruh bandar Fukuoka mungkin berjuta jumlahnya. Mereka riang menyanyi untuk mencari teman mengawan.
Cicada tinggal bertahun-tahun di dalam tanah sebagai 'nymph' dan timbul sebagai dewasa untuk tempoh dua minggu sahaja sebelum mati. Yang menyanyi ialah cicada jantan untuk menarik si betina dan oleh kerana masa yang diberikan untuknya terlalu singkat, itu sebabnya ia menyanyi 24 jam dalam sehari.
Di Jepun juga saya diberitahu kehadiran cicada melambangkan keadaa alam sekitar tempat itu. Lebih banyak cicada yang timbul, lebih baik alam sekitarnya. Tidak payah kita cari cicada ini, cukup dengan mendengar keriangan mereka sahaja.
Semasa kecil di kampung dulu saya sering terdengar nyanyian cicada ini. Malangnya sekarang tiada lagi. Malah hendak terjumpa seekor cicada pun susah. Secara tidak langsung ini melambangkan kualiti alam sekitar kita sudah berkurangan selari dengan keriangan cicada yang hilang.
Dari itu saya dikejutkan beberapa malam sudah melihat seekor cicada hinggap di wayar lampu di luar rumah saya. Agaknya cicada yang ini betina kerana ia tidak menyanyi. Tetapi tidak terdengar pula bunyi keriangan kawan-kawan mereka, jika ada. Malangnya cicada ini timbul apabila jerubu melanda negara kita.
Walau bagaimana pun saya harap kehadiran cicada ini akan membawa keadaan alam sekitar yang lebih baik untuk kita.
No comments:
Post a Comment