Thursday, June 6, 2013

Bila satu kawasan ada empat orang YB.



Melainkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, setiap kawasan dalam negara ini mempunyai dua orang wakil rakyat atau lebih senang dipanggil YB sahaja, iaitu singkatan untuk Yang Berhormat. Dua YB itu ialah pertama Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN dan kedua Ahli Parlimen. Wilayah-wilayah Persekutuan yang saya sebutkan tadi mempunyai seorang YB sahaja dalam bentuk Ahli Parlimen.

Tetapi percaya atau tidak, beberapa kawasan dalam Negeri Sembilan di antara Pilihanraya Umum (PRU) 12 tahun 2008 dengan PRU 13 baru-baru ini mempunyai empat orang YB. 

Seperti yang saya kata tadi, sepatutnya tiap-tiap kawasan seperti di Negeri Sembilan mempunyai dua orang YB sahaja. Jadi mana datangnya dua orang lagi YB itu? Berikut ialah ceritanya:-

Semua orang tahu Negeri Sembilan diperintah oleh Barisan Nasional atau BN selama ini. Tetapi pada PRU 12 walau pun BN menang, majoritinya berkurangan. Maka timbullah idea untuk menubuhkan apa yang dinamakan Pusat Khidmat BN di tiap-tiap kawasan Dewan Undangan Negeri atau DUN yang dimenangi oleh parti bukan BN. 

Sebenarnya perkara Pusat Khidmat parti ini bukan baru, kerana salah satu parti komponen BN iaitu MCA telah lama menjalankannya diseluruh negara. Salah seorang yang dikenali mengendalikan Pusat Khidmat MCA ini ialah Michael Chong di Kuala Lumpur.

Tetapi Pusat Khidmat BN di Negeri Sembilan itu berlainan sedikit dengan Pusat Khidmat MCA itu. Dipendekkan cerita Pusat Khidmat BN ini ada sedikit kuasa. Secara tidak langsung juga Pusat Khidmat MCA di Negeri Sembilan menjadi Pusat Khidmat BN dan terpaksa menerima 'kuasa' itu. 

'Kuasa' yang saya maksudkan ialah tiap-tiap pegawai yang menjaga Pusat Khidmat BN ini dijemput sama menghadiri Mesyurat Jawatankuasa Tindakan Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah atau DO. Jadi mereka sama-sama membuat apa-apa keputusan Jawatankuasa tersebut. Di lain perkataan dia juga seolah-olah seorang wakil rakyat, cuma tidak layak dipanggil YB.

Disamping itu pegawai yang menjaga Pusat Khidmat BN ini juga boleh menandatangani borang-borang tertentu, contohnya borang sokongan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Disamping itu mereka juga boleh membuat dan menandatangani surat-surat sokongan yang dikemukakan kepada jabatan-jabatan kerajaan di Negeri Sembilan. 

Tetapi ada juga kes-kes di mana tanda tangan mereka tidak laku. Ini terjadi kerana ada dokumen yang hanya boleh ditandatangani oleh seorang YB yang sah. Untuk tujuan ini diterjunkan seorang yang dipanggil 'ADUN angkat' untuk mana-mana Pusat Khidmat BN ini. 'ADUN angkat' ini ialah seorang ADUN BN dari kawasan lain yang diperlukan untuk menandatangani borang-borang di mana mereka sahaja yang boleh menandatanganinya. Pegawai yang menjaga Pusat Khidmat BN tidak boleh.    

Di sinilah contoh dimana saya katakan terdapat empat orang YB yang menjaga satu tempat. Pertama ADUN dari parti-parti PAS, PKR atau DAP yang sah dipilih untuk kawasan tersebut. Kedua Ahli Parlimen untuk kawasan tersebut, tidak kira dari parti mana. Ketiga ADUN angkat dan keempat ADUN tipu, iaitu pegawai yang menjaga Pusat Khidmat BN tersebut.

Tetapi selepas tamat PRU 13 saya perhatikan Pusat-pusat Khidmat BN ini ditutup dan tidak beroperasi lagi. Di tinjauan terakhir saya dapati semua papan tanda sudah diturunkan. Agaknya pihak-pihak berkenaan baru sedar keujudan Pusat Khidmat BN di kawasan yang dikuasai oleh bukan wakil rakyat dari mereka tidak menolong untuk menambah undi kepada mereka. Cuma 'mengabihkan bogheh' kata orang Negeri Sembilan.

Berilah peluang kepada YB sebenar dan dipilih dalam pilihanraya untuk menjalankan tugas. Tak payahlah ada ADUN angkat atau ADUN tipu. 

No comments: