Monday, November 3, 2014

Saya harap bahasa mereka tidak melambangkan bangsa.


Saya sentiasa membawa satu kamera ke mana-mana saya pergi. Walau pun sekarang sudah ada apa yang dipanggil 'smart phone' atau telefon pintar yang mempunyai kamera saya jarang-jarang menggunakannya. Ini kerana bagaimana saya ingin melihat gambar-gambar yang berkualiti begitu juga saya ingin menghasilkan gambar-gambar yang berkualiti.

Semalam saya nampak notis di atas yang terang-terang salah bahasa di salah satu Laluan Persekutuan yang sentiasa sibuk di Negeri Sembilan. Saya pun mengenepikan kereta saya dan mengambil gambar di atas dari dalam kereta. Apabila saya balik ke rumah dan dengan sedikit suntingan saya pun poskan gambar itu di dua kumpulan dalam satu laman sosial.

Reaksi kepada pos saya itu amat memeranjatkan saya. Dalam satu kumpulan sahaja pos saya itu mendapat  235 'likes' dan 137 komen dalam tempoh kurang dari 24 jam. Kebanyakan komen dalah positif tetapi ada juga komen yang negatif dan mengutuk saya. Komen-komen yang negatif inilah yang saya hendak terangkan di sini seperti berikut:
  1. Ada yang menuduh saya ingin merosakkan perniagaan orang yang meletakkan notis itu. Bagaimana saya boleh merosakkannya saya tidak tahu.
  2. Ada yang menuduh saya tidak ada kerja lain. Mungkin ada betulnya kerana saya sekarang menganggur.
  3. Ada yang menuduh saya sepatutnya malu. Jika saya malu kenapa beratus yang 'like' pos saya itu?
  4. Ada yang berkata asal orang faham sudahlah. Dia memberi contoh bila kita menulis 'sms' di telefon bahasa kita bukan betul pun. 'Sms' itu beberapa orang sahaja yang membacanya. Tetapi notis ini dibaca oleh beribu orang yang lalu lalang. Cuba bayangkan bahasa 'sms' digunakan di papan-papan iklan sekeliling Stadium Nasional semasa pertandingan akhir "Oppo Piala Malaysia' baru-baru ini?
Memang benar saya dulu bersekolah Inggeris dan saya mahu melihat orang-orang sekeliling saya menggunakan bahasa itu dengan betul bila bercakap atau menulis. Tetapi kita sebagai orang Melayu tentu juga marah jika orang asing bercakap atau menulis bahasa kita secara tidak betul. 

Cuma saya harap bahasa-bahasa mereka yang mengutuk saya itu tidak melambangkan bangsa.

1 comment:

Mohd Noor said...

Bang Maarof,

Huruf N ada terjatuh kat dalam rumput tu