Saturday, December 13, 2014

Mengapa dia memilih jalan yang lebih jauh?

Entah kenapa saya seolah-olah tak idea untuk menulis apa-apa di bulan Disember 2014 ini. Tetapi saya harap pos saya kali ini tidak membosankan sesiapa.

Sejak saya remaja lagi ramai orang salah sangka terhadap saya. Semasa saya bersekolah menengah di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal di seluruh Malaysia ramai kawan-kawan saya menyangka saya dari keluarga kaya. Jawapannya tidak dan saya bersusah payah menyatakan saya datang dari satu keluarga miskin di daerah paling mundur di Negeri Sembilan. 

Begitu juga apabila saya mula bekerja. Ramai kawan-kawan saya ingat saya datang dari keluarga kaya. Bila saya nafikan ramai yang tidak percaya. Saya juga sempat bertanya mengapa mereka menganggap begitu. Jawapannya dari air muka saya, sehingga ada yang bertanya adakah saya mengamalkan apa-apa ilmu sehingga mempunyai air muka sebegini. Saya nyatakan tidak mengamalkan apa-apa ilmu melainkan saya suka membaca segala ilmu yang terdapat dalam dunia.

Saya fikir sangkaan salah orang itu akan berakhir apabila saya bersara. Contohnya walau pun saya bekerja selepas bersara saya berpakaian biasa sahaja. Hari-hari saya pergi kerja dengan memakai selipar dan baju T mengelebeh keluar. Kadang-kadang saya tidak bercukur untuk beberapa hari. Tetapi anggapan saya itu terbukti salah dua hari yang lepas,

Dua kali seminggu saya akan singgah ke pasar raya yang terletak dalam satu konpleks perniagaan beberapa ratus meter dari pejabat saya untuk mengintai jika ada tawaran barang-barang murah untuk kegunaan rumah dan pejabat saya. Dua hari yang lepas saya datang beberapa minit sebelum kompleks itu itu dibuka. Untuk membuang masa saya pun masuk ke kedai 7-Eleven di depan pasar raya itu sambil mendapatkan satu akhbar percuma.

Apabila saja saya keluar dari kedai 7-Eleven itu seorang lelaki Melayu berumur lebih kurang 45 tahun, bercukur rapi, berkasut, berseluar jeans dan memakai baju T masuk ke dalam (tucked in) terus meminta saya wang dua ringgit. Katanya dia mahu makan di restoran sebelah kedai 7-Eleven itu. 

Saya hairan bagaimana orang yang lebih bergaya dari saya ini tidak mempunyai wang untuk minum pagi. Saya menjawab tidak mempunyai wang dan menyuruhnya meminta makanan pecuma dari restoran itu. 

Tanpa memperdulikannya saya terus masuk ke kompleks perniagaan yang baru dibuka dan kemudian ke pasar raya. Betul, ada tawaran barang murah pada hari itu berupa minuman jus buah-buahan dan saya terus membelinya untuk disimpan di peti sejuk pejabat.

Setelah membayar di kaunter dan keluar dari pasar raya saya terperanjat mendapati lelaki tadi menunggu saya di ruang legar kompleks perniagaan itu. Sekali lagi dia meminta wang dari saya. Baru saya sedar rupa-rupanya dia mengekor saya masuk kompleks perniagaan tadi dan memerhati saya masuk ke pasar raya. Kemudian dia menunggu saya keluar di ruang legar. Sekali lagi saya jawab saya tidak mempunyai wang.

Kemudian saya pun berjalan cepat menuju ke skuter saya yang saya letak di hadapan kompleks. Lelaki tadi mengikut saya keluar. Dia berjalan kaki arah ke Bandar Seremban. Oleh kerana jalan-jalan di kompleks itu jalan sehala semuanya saya terpaksa memotong lelaki itu, jika tidak saya akan memandu melanggar arus.

Bimbang dia akan melihat ke mana saya menuju, saya menunggang skuter saya ke arah lain dari pejabat saya. Tetapi dari cermin skuter saya nampak dia berjalan ke arah rumah-rumah kedai di mana pejabat saya berada. Jika ia hendak ke Bandar Seremban atau ke stesen bas jalan itu tentu jauh dari biasa.

Setelah mengikut jalan jauh dan yakin saya telah hilang dari pandangannya saya pun terus ke pejabat. Setelah meletak skuter dan naik tangga ke pejabat baru saya sedar sebenarnya saya telah membuat tindakan bodoh. Dengan dia berjalan kaki ke arah bangunan pejabat saya dengan laluan yang biasa saya tempoh sedangkan saya menunggang skuter jauh kononnya untuk lari darinya dia boleh nampak di mana saya meletak skuter dan ke bangunan mana saya masuk.

Saya terfikir jika turun kembali saya mungkin terserempak dengannya sambil mendedahkan di bangunan mana saya bekerja (atau tinggal). Saya terus membuka pejabat (dengan tiga kunci) sambil berdoa dia tidak tiba-tiba menerpa saya. Selepas itu saya mengunci pejabat kembali dan terus ke tingkap untuk meninjaunya. 

Dia berjalan kaki di depan pejabat saya arah ke Bandar Seremban dengan tidak memandang ke bangunan pejabat saya. Seperti saya kata tadi dia boleh mengikut jalan singkat jika hendak ke Bandar Seremban, tetapi dia memilih jalan jauh. 

Mengapa dia memilih begitu saya tidak tahu.

1 comment:

Anonymous said...

Tuhan mungkin mendtgkn dia kpd tuan utk berkongsi rezeki yg sedikit itu menjadi sedekah yg byk