Friday, June 12, 2015

Persatuan ala Mafia rebut tapak berniaga bukan perkara baru.


Peniaga bergaduh di kawasan Dewan Perbandaran Seremban.

Saya langsung tidak terkejut membaca berita mengenai pergaduhan antara peniaga yang berebut tapak berniaga di bulan Ramadan yang berlaku di Dewan Perbandaran Seremban. Dulu saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban dan sudah masak dengan hal perebutan tapak berniaga di antara peniaga kecil Melayu bukan sahaja untuk jualan bulan Ramadan.

Kami sering memanggil persatuan-persatuan yang mengaku mewakili peniaga-peniaga sebegini untuk berbincang. Kadang-kadang bilik mesyuarat bukan menjadi tempat menyelesaikan masalah, tetapi tempat melepaskan geram terhadap persatuan lawan. Contohnya mereka memanggil diri masing-masing sebagai 'kau dan aku' sahaja. Syukurlah boss kami (dengan bantuan pegawai seperti saya) dapat mengawal keadaan, jika tidak di situ saja mereka berlengan.

Jadi jika di bilik mesyuarat pun mereka bercakaran kenapa tidak di luar sana? Sebenarnya persatuan-persatuan yang mewakili peniaga-peniaga kecil itu berjalan tidak ubah seperti kumpulan Mafia. Perebutan kawasan perniagaan tidak ubah seperti kumpulan Mafia berebut kawasan perlindungan.

Pegawai-pegawai persatuan menerima hasil kutipan berkala bukan sahaja dari peniaga-peniaga di bawah persatuan mereka, tetapi juga dari bukan-bukan ahli dan juga pendatang asing. Kebanyakan 'pegawai-pegawai' ini pula tidak berniaga. Apa perlu berniaga jika mereka boleh mendapat wang perlindungan ala Mafia?

Kita sering membaca mengenai pendatang asing atau PATI menjalankan perniagaan. Sebenarnya persatuan-persatuan ala Mafia inilah salah satu puncanya. Kami di PBT sering memberitahu mereka supaya tidak membenarkan pendatang asing berniaga. Tetapi tiap kali kami membuat serbuan ada saja peniaga pendatang asing yang kami jumpa. Jawapan persatuan ala Mafia ini ialah mereka tidak mempunya kuasa menghalang pendatang asing berniaga. Buat apa menghalang jika peniaga-peniaga berkenaan boleh membayar wang perlindungan lebih?
  
Melihat nama-nama persatuan yang disiarkan di akhbar-akhbar dan media sosial yang terlibat dengan pergaduhan itu, saya rasa sudah ketinggalan, Kerana inilah pertama kali saya mengetahui ujudnya persatuan-persatuan tersebut. Oleh kerana saya sendiri sekarang terlibat dengan tiga badan bukan kerajaan atau NGO saya tak tahu sama ada persatuan-persatuan mereka itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan atau tidak.

Sekian.

No comments: