Sunday, June 14, 2015

Siapa yang SAMSENG sebenarnya?

Saya menulis ini ekoran pos saya sebelum ini mengenai persatuan ala Mafia yang ujud melindung peniaga-peniaga kecil Melayu bukan sahaja untuk bazaar Ramadan tetapi untuk perniagaan yang dilabel sebagai EXPO dan sebagainya. 

Saya amat tersinggung apabila jabatan lama saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS di mana saya cari makan selama 37 tahun dilabel sebagai Majlis Perbandaran Samseng kerana kononnya mengganggu perniagaan mereka yang telah berjalan begitu lama. Ini bermakna saya juga seorang bekas SAMSENG. Oleh itu saya terpanggil untuk mempertahankan diri saya dan jabatan lama saya.

Saya merujuk kepada peniaga-peniaga ditempat yang dipanggil Uptown Senawang, satu kawasan di dalam bidang kuasa Majlis Perbandaran Seremban. Penganjur mengaku mereka telah berniaga selama tiga tahun tanpa gangguan. Tetapi tidak ada saya jumpa penganjur mengatakan mereka telah mendapat kelulusan rasmi dari sesiapa atau jabatan mana membenarkan mereka mendirikan struktur dan berniaga di situ. 

Di dalam hal ini jabatan atau pihak berkuasa yang berhak membenarkan mereka berniaga, sama ada secara sah atau tidak adalah Majlis Perbandaran Seremban atau MPS (S untuk Seremban, bukan Senawang dan jauh sekali Samseng). Sepatutmya penganjur berterima kasih kepada MPS kerana selama ini membenarkan mereka mendirikan struktur, menghalang tempat awam dan berniaga di situ tanpa tindakan apa-apa. Walau pun dengan berdiam diri MPS sebenarnya telah melanggar undang-undang sendiri.    

Biasalah bila timbul masalah (seperti yang dilaporkan di media massa dan media sosial) pihak berkuasa akan dipersalahkan. Golongan yang terasa tertindas akan merujuk kepada parti-parti politik. Tetapi tahukah mereka bahawa peraturan-peraturan yang digunapakai oleh setiap badan kerajaan termasuk PBT seperti MPS diluluskan di Dewan Undangan Negeri dan Dewan-Dewan Rakyat dan Negara oleh orang-orang politik.

Di dalam kes ini MPS bertindak di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan yang diluluskan oleh orang-orang politik di Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan. Undang-Undang Kecil itu pula ialah anak kepada Akta Kerajaan Tempatan yang diluskan oleh orang-orang politik juga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.  

Berbalik kepada Uptown Senawang tadi, Bagaimana mereka telah berniaga begitu lama tanpa diganggu? Jawapannya mereka membayar duit perlindungan kepada penganjur. Duit perlindungan atau 'protection money' atau lebih tepat 'extortion money' adalah budaya SAMSENG seperti kumpulan Mafia di Sicily dan Amerika Syarikat. 

Sepatutnya orang ramai berterima kasih kepada pihak berkuasa seperti MPS yang hendak memberhentikan budaya Mafia dan SAMSENG di kalangan peniaga-peniaga kecil. 

Jadi siapa yang SAMSENG sebenarnya?

No comments: