Saturday, August 8, 2015

Orang lain suka kompaun, saya suka saman - Bahagian 1.

Beberapa hari sebelum bulan Ramadan atau bulan puasa dulu saya duduk minum dengan kawan baik saya seorang berbangsa China. Tempatnya restoran Mamak berhampiran rumah saya. Meja sebelah kami pula diduduki oleh seorang pasangan China berumur lebih kurang 50 tahun lebih. 

Saya perhatikan lelaki China itu yang saya rasa pernah jumpa merenung saya. Bila saya cuba membalas renungannya dengan tersenyum, tidak ada reaksi apa-apa darinya. Dia kemudian berkata sesuatu kepada pasangannya yang saya percaya ialah isterinya. Isterinya juga memandang serious kepada saya.

Kemudian kawan saya berbahasa Inggeris kepada saya 'Kau ada saman orang sebelah ini ke mahmakah ke?' Saya jawab 'Aku banyak saman orang ke mahkamah, mana aku ingat satu-satu?' Sudah tentu kawan saya tadi terdengar perbualan pasangan sebelah kami dan faham kerana mereka semua berbangsa China.

Menyaman orang ke mahkamah ialah antara kerja saya dulu di Majlis Perbandaran Seremban (MPS), sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Saya rasa dengan menyeret mereka yang melanggar peraturan-peraturaan PBT ke mahkamah lebih berkesan dari mengeluarkan kompaun kepada mereka.    
Di mesyuarat bulanan jabatan saya kami diminta mengemukan statistik berapa kompaun dan saman mahkamah yang dikeluarkan. Di statistik kompaun angka sayalah yang biasanya paling rendah. Tetapi saya mengalahkan kawan-kawan saya di statistik saman mahkamah, walau pun jika dicampurkan angka kompaun dengan saman tiap-tiap seorang, statistik saya kalah dengan mereka.

Boss saya pula lebih suka pegawai-pegawainya mengkompaun dari menyaman. Ini kerana orang yang dikompaun akan berjumpanya untuk merayu dikurangkan bayaran kompaun sedangkan dalam kes-kes saman mahkamah dia tidak boleh buat apa-apa. 

Mungkin kawan-kawan saya akan jadi lebih popular kepada boss kerana banyaknya kompaun yang dikeluarkan, tetapi saya tetap dengan pendirian saya iaitu saman mahkamah lebih berkesan dari kompaun. Ini kerana beberapa faktor seperti berikut:
  1. Orang yang kena saman kena pergi ke mahkamah tepat pada tarikh dan masa yang ditetapkan dan ini mungkin menjejaskan mereka yang berniaga kerana bagi mereka masa adalah wang. Sedangkan jika dikompaun mereka boleh datang bila-bila masa ke pejabat kami dan boleh menghantar wakil.
  2. Denda yang dikenakan oleh Yang Arif Majisteret sudah tentu melebehi bayaran kompaun.
  3. Jika mereka tidak datang ke mahkamah waran tangkap akan dikeluarkan dan mereka akan ditangkap oleh polis. 
  4. Jika yang dituduh hendak mendapatkan khimat peguam, bayarannya bukan sedikit.
  5. Jika mereka melakukan kesalahan kedua dan seterusnya denda akan dinaikkan. (Saya pastikan pegawai pendakwa jabatan saya memberitahu Yang Arif kes-kes mereka yang degil seperti ini).
Mungkin inilah agaknya sebab pasangan yang makan sebelah meja saya itu memandang serious kepada saya. Tetapi jika saya hanya mengeluarkan kompaun kepadanya mungkin dia akan mentertawakan saya.

Bersambung.......

No comments: