Thursday, August 20, 2015

Sekurang-kurangnya saya tidak ketinggalan naik pangkat.

Pegawai-pegawai kerajaan memang sentiasa menghadapi urusan naik pangkat. Alhamdulillah saya berjaya dalam setiap urusan naik pangkat yang saya tempuhi semasa kerja dulu melainkan yang terakhir. Kali itu saya 'berlawan' dengan seorang kawan saya satu demi satu.  

Semasa berbual dengan seorang pemandu yang sedang memandu saya dalam kenderaan pejabat dia menyatakan keyakinannya yang saya akan berjaya. Bila saya tanya kenapa dia yakin, dia menjawab saya mempunyai kelebihan celik komputer dibandingkan dengan 'lawan' saya itu.

Saya terus menjawab sebenarnya itulah masalah yang saya hadapi. Saya nyatakan boss saya juga buta komputer sama seperti 'lawan' saya itu. Ini bermakna mereka berkongsi sesuatu perkara yang sama walau pun apa yang mereka kongsi berbentuk negatif. 

Tekaan saya benar kerana 'lawan' saya itu dinaikkan pangkat. Kelebihan saya celik komputer sebenarnya merugikan saya.

Saya fikir episod celik komputer yang merugikan itu habis di situ saja, tetapi sebenarnya tidak. Apabila bersara saya ditawarkan menjadi Setiausaha kepada satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO di mana Yang Di Pertuanya kenal akan saya dan kebolehan saya. Arahan pertamanya kepada saya ialah mencipta email untuk persatuan. Katanya Presiden kami di Ibu Pejabat telah beberapa kali mengarahkan setiap cawangan persatuan mempunyai email. 

Oleh kerana saya sendiri mempunyai beberapa email peribadi, mencipta satu email untuk persatuan adalah perkara ringan sahaja. Sejak itu saya pun berhubung dengan Ibu Pejabat, Jabatan-Jabatan Kerajaan dan orang biasa menggunakan email persatuan yang saya cipta. Tetapi untuk mencukupkan syarat, surat-surat rasmi tetap dipos melalui Pos Malaysia dan juga difax.

Sehingga butir-butir untuk persatuan saya untuk dimasukkan ke buku persidangan tahunan pun saya hantar melalui email. Tetapi alangkan terperanjatnya saya di persidangan tahun lepas bila mendapati segala butir yang saya hantar melalui email itu tidak masuk dalam buku tersebut. Yang masuk ialah satu muka yang saya hantar melalui fax.

Baru saya sedar tidak guna kalau kita menghantar apa-apa melalui email jika penerima tidak membuka kotak emailnya.   

Saya fikir episod itu juga sudah berakhir, rupa-rupanya tidak. Di persidangan tahun ini yang baru sahaja selesai beberapa hari sudah, saya diminta menghantar beratus gambar dari koleksi Yang Di Pertua saya dan saya sendiri ke satu email peribadi seorang ahli jawatankuasa cawangan persatuan di Kuala Lumpur untuk dicetak dan dipamerkan. Kuala Lumpur dipilih kerana mencetak gambar saiz besar di sana lebih murah dari di Seremban. Kebetulan persidangan tahun ini diadakan di Kuala Lumpur.

Saya pun menghantar gambar-gambar tersebut melalui email. Di percubaan pertama saya diarah menggunakan program 'dropbox' untuk menghantar jumlah gambar yang banyak. Oleh kerana komputer saya di pejabat mempunyai program ini saya tidak bermasaalah menghantar gambar-gambar tersebut. Tetapi untuk penghantaran peringkat kedua dan seterusnya saya tidak gunakan 'dropbox'. 

Apabila tiada apa-apa mesej menyatakan email saya tidak diterima saya anggap gambar-gambar yang saya hantar diterima dengan baik. Juga sudah menjadi tabiat saya apabila mengantar apa-apa email untuk menekan butang 'Sent' untuk memastikan ia betul-betul telah diterima.

Tetapi saya dan Yang Di Pertua yang tiba awal di persidangan untuk memasang gambar-gambar terperanjatnya mendapati gambar-gambar yang saya hantar menggunakan 'dropbox' tidak dicetak. Jawapannya ialah penerima email tidak boleh membuka 'dropbox'nya. Mungkin programnya sudah ketinggalan zaman, perlu dinaik taraf dan beliau tidak tahu bagaimana hendak berbuat demikian. Jika dia tidak memunyai 'dropbox' sudah tentu emai saya ditendang.

Syukurlah Yang Di Pertua mempunya kenalan di Kuala Lumpur dan melaluinya mencetak beberapa gambar yang ketinggalan tersebut. Syukur juga saya membawa komputer bimbit (yang memang saya bawa ke mana-mana) ke sana dalam mana gambar-gambar asal disimpan.

Episod-episod di atas menunjukkan kelebihan saya dibandingkan dengan orang lain dari segi celik komputer sebenarnya membawa impak negatif kepada saya. 

Tetapi sekurang-kurang saya tidak ketinggalan 'naik pangkat' seperti yang saya alami semasa kerja dulu.

No comments: