Tuesday, January 12, 2016

Duka selepas suka.

Dengan kawan-kawan sekolah di Kajang pada 3 Januari 2016.


Allahyarham Borhan Bulat dengan isteri dan anak datang ke majlis kahwin anak saya  pada 8 September 2012 

Di masa saya kecil dulu nenek saya sering menegur kami adik beradik bila kami terlalu suka sehingga ketawa berdekah-dekah. 'Jangan suko bona, nanti luko' katanya. Perkataan 'duka' tidak ada dalam perbendaharaan katanya.

Saya amatlah suka pada 3 Januari 2016 yang lepas. Pertama saya mencapai umur 66 tahun di hari itu. Kedua saya berjumpa dengan kawan-kawan sekolah saya di Kg. Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Kami dijamu minum pagi dan makan buah-buhan oleh seorang senior, Professor Hamid Mahmud yang menetap di situ, walau pun beliau berasal dari Kelantan.

Tidak hairanlah ramai kawan-kawan saya yang berasal dari Kelantan datang ke rumah Prof. Hamid. Seperti Prof. Hamid mereka sekarang menetap di Lembah Kelang. Selepas minum pagi kami diminta memetik rambutan dan pulasan di dusun Prof. di belakang rumahnya. Kami yang datang dengan keluarga berjumlah lebih 50 orang tidak termakan buah-buahan hari itu, apa tah lagi keluarga Prof. Hamid.

Tetapi dua hari selepas itu saya menerima berita sedih iaitu seorang kawan sekelas saya Hj. Borhan Bulat meninggal dunia di rumahnya di Jasin, Melaka. Nasihat nenek saya itu telah menampakkan kebenarannya.

Saya mula kenal dengan Borhan pada tahun 1962 semasa kami berumur 12 tahun. Kami antara budak-budak kampung yang terpilih memasuki satu sekolah asrama penuh, Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim, Perak. Sekarang sekolah itu telah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

SDAR di masa itu tidaklah seperti SDAR sekarang. Di Tanjong Malim tidak ramai guru berijazah mengajar kami. Kemudahan lain seperti perpustakaan, makmal dan bengkel juga kurang. Tiap-tiap tahun ada sahaja antara kami yang gagal peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE).

Di masa itu juga ada peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Ada murid yang dapat keputusan MCE yang baik tetapi gagal dalam peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Ini bermakna persekolahan mereka terhenti. Ada pula yang lulus peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam walau pun keputusan MCE mereka tidaklah cemerlang.

Saya dan Borhan menerima nasib yang berbeza selepas Tingkatan Lima. Saya gagal dalam peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam, walau pun keputusan MCE saya agak baik. Oleh itu saya terpaksa mencari kerja. Borhan pula berjaya ke Tingkatan Enam.

Allah telah menemukan saya dan Borhan semula di Kelantan pada tahun 1972. Saya ke sana setelah tamat latihan sebagai seorang Inspektor Kesihatan dan ditempatkan di Pasir Puteh. Borhan pula ditempatkan di Machang setelah tamat kursus perguruan.

Di masa itu menjadi dasar Kementerian-kementerian Kesihatan dan Pelajaran menghantar pegawai-pegawainya yang terpilih dan baru sahaja tamat latihan untuk bertugas di pantai timur. Saya dan Borhan adalah antara pegawai yang terpilih itu dan sehingga hari ini saya bangga menjadi sebahagian dari mereka yang terpilih untuk melaksanakan dasar kerajaan itu.

Saya sendiri mencari Borhan di Machang. Di masa itu jalan antara Pasir Puteh dengan Machang tidaklah sebaik sekarang. Di sana saya mendapat tahu walau pun Borhan berjaya masuk ke Tingkatan Enam sebelumnya, beliau gagal masuk ke universiti. Beliau sendiri mencurahkan kepada saya perasaan gagalnya itu.

Saya cuma setahun di Kelantan kerana berjaya mendapat kerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tetapi Borhan berada di sana untuk beberapa tahun sebelum bertukar ke Melaka, negeri tumpah darahnya. Walau pun kami tinggal berjiran negeri dan saya pula berkahwin dengan orang Melaka kami tidak lagi berjumpa selepas itu kerana sibuk dengan tugas dan keluarga.

Saya hanya berjumpa Borhan kembali pada tahun 2009 apabila kami sama-sama sudah pencen walau pun di masa itu saya diminta bertugas semula oleh MPS. Saya ke rumahnya di Jasin semasa perkahwinan anak lelakinya.

Selepas itu kami telah berjumpa beberapa kali semasa perjumpaan kawan-kawan sekolah dan di majlis kahwin anak saya sendiri.  

Al Fatihah untuk sahabatku Hj. Borhan bin Bulat.

No comments: