Memanggil diri mereka 'The Red Warriors' tetapi memakai jersi berwarna 'pink'.
Masanya di hujung tahun 1970an kalau tak salah. Dua pasukan bolasepak negeri turun ke padang untuk satu perlawanan Piala Malaysia. Tiba-tiba didapati kedua-duanya memakai jersi berwarna sama, merah kalau tak salah.
Mengikut peraturan perlawanan pasukan tuan rumah (home team) kena tukar jersi warna lain. Mula-mulanya mereka bertegas tidak mahu tukar dengan mengatakan itulah warna jersi mereka di tempat sendiri. Pasukan pelawat pula merujuk kepada peraturan perlawanan sambil berkata tidak ada hitam putih menentukan warna mana-mana pasukan baik di tempat sendiri atau di tempat lawan.
Akhirnya pasukan tuan rumah mengalah, tetapi menunjukkan ego mereka dengan tidak menanggalkan jersi yang sudah dipakai. Mereka mengenakan jersi kedua dengan warna lain di atas jersi yang sudah sedia dipakai. Ini bermakna mereka memakai baju dua lapis.
(Tulisan saya di atas terbuka kepada pembetulan jika fakta salah)
Itu semasa pasukan kebangsaan kita digeruni di Asia walau pun pentadbiran pasukan-pasukan negeri dan kelab tidaklah kemas seperti sekarang. Di hari ini lain pula ceritanya. Walau pun pasukan kebangsaan jatuh merudum 'ranking'nya, pentadbiran pasukan-pasukan negeri dan kelab pula agak kemas sehingga ada pasukan kelab telah memenangi pertandingan antarabanngsa seperti pasukan JDT memenangi Piala Kelab AFC baru-baru ini.
Saya kata begitu kerana hari ini tidak ada lagi kekeliruan mengenai jersi mana-mana pasukan terutama bila pasukan itu main di tempat sendiri. Sudah tentu pasukan pelawat tidak akan membawa jersi yang sama warna dengan pasukan tuan rumah.
Saya sudah lama tidak mengikuti bolasepak tanah air sejak prestasi pasukan kebangsaan merudum. Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu pasukan negeri saya Negeri Sembilan memakai warna kuning di tempat sendiri. Tetapi syukur juga mereka tidak menamakan pasukan mereka 'The Yellow.....(apa-apalah)' kerana perkataan Inggeris 'yellow' boleh memberi makna negatif.
Ini membawa saya kepada pasukan yang menggelar diri mereka 'The Red Warriors' atau Pahlawan Merah. Itulah panggilan kepada pasukan bolasepak negeri Kelantan. Saya tahu orang Kelantan fanatik terhadap pasukan mereka kerana saya pernah tinggal di negeri itu semasa bujang.
Sekarang usahawan glamour yang dipanggil Dr. Vida ingin menaja pasukan 'The Red Warriors'. Tetapi Dr. Vida memberi beberapa syarat, antaranya jersi pertama atau jersi di tempat sendiri hendaklah berwarna merah jambu atau 'pink'.
Saya tidaklah berperasangka terhadap apa-apa warna walau pun saya tidak akan memakai pakaian berwarna 'pink'. Tetapi memakai jersi warna 'pink dengan mengekalkan nama 'The Red Warriors' adalah janggal.
Oleh itu saya cadangkan pasukan bolasepak Kelantan dipanggil 'The Pink Warriors'.
No comments:
Post a Comment