Wednesday, September 7, 2016

Yang dikejar tak dapat, yang lain datang menggolek.


41 Down meninggalkan Platform 4 Stesen Pulau Sebang (Tampin) dan saya beberapa saat selepas saya sampai di Platform 1. Satu minit kemudian ETS 9203 pula sampai di Platform 2.

Saya terasa hampa apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memutuskan hanya tren berkuasa elaktrik akan lalu di laluan Padang Besar - Gemas. Tren penunpang berkepala lokomotif akan hanya melalui laluan Tumpat - Gemas - Woodlands (Singapura). Ini bermakna tren-tren kesukaan saya seperti Ekpress Rakyat dan Ekspress Peninsula sudah tiada lagi.

Kemudian KTMB membuat keputusan yang saya anggap bijak dengan menyambung laluan Ekspress Selatan (ES) yang sebelum ini berkhidmat antara JB Sentral dengan Gemas, ke Pulau Sebang (Tampin). Orang KTMB dan peminat keretapi memanggil tren ini 40 Up dan 41 Down.    

Koc-koc ES ini pula buatan Jepun. Adakah ia hadiah dari kerajaan Jepun saya kurang pasti. Kerana pernah menaiki keretapi di Jepun pada tahun 2004, tidak hairanlah jika saya teruja sangat untuk menaiki ES ini. Setelah melihat jadual-jadual semasa KTM Komuter, ETS dan ES saya ambil keputusan untuk menaikinya pada hari Rabu 7 September 2016.

Jadual rancangan saya adalah seperti berikut:
  1. 1.53 petang naik KTM Komuter di Seremban.
  2. 2.33 petang sampai di Pulau Sebang (Tampin).
  3. 3.00 petang menaiki 41 Down.
  4. 3.40 petang sampai di Gemas
  5. 4.00 petang menaiki ETS 9204 di Gemas
  6. 4.55 petang sampai di Seremban. 

Semua berjalan baik pada mulanya. Komuter dari Batu Caves sampai ke Seremban tepat pukul 1.53 petang. Kemudian ia bergerak ke Selatan dengan penumpang tidak sampai sepuluh orang.

Apabila memasuki Daerah Rembau Komuter tiba-tiba berhenti. Kemudian ia berjalan perlahan dengan kelajuan saya agak di bawah 50 km sejam. Saya pun meninjau ke bilik pemandu dan melihat pemandu tengah menggunakan telefon sambil memandu. Lampu signal semuanya merah tetapi dia rempuh juga. Saya perhatikan Komuter yang berselisih dengan kami pun perlahan juga. Saya mula merasa bimbang sama ada dapat menaiki 41 Down.

Saya bimbang juga jika Komuter ini akan berhenti terus di stesen Rembau. Tetapi jika setakat berhenti menurun dan mengambil penumpang saya harap ia akan kembali laju. Sekali lagi saya hampa apabila dia tetap perlahan, sehinggalah beberapa km dari stesen Pulau Sebang (Tampin) bila ia kembali laju. Saya berharap 41 Down akan menunggu saya.

Bila sahaja sampai di Platform 1 Pulau Sebang (Tampin) tepat pukul 3.00 petang, saya nampak 41 Down ada di Platform 4. Tetapi saya sedar dia sedang bergerak sebelum saya turun lagi, Saya hanya dapat mengambil gambar-gambarnya seperti di atas. Syukur juga saya belum membeli tiket untuk laluannya.

Saya fikir tak ada pilihan lagi bagi saya melainkan balik sahaja ke Seremban dengan Komuter yang sama. Sedang saya hendak menuju ke kaunter tiket saya nampak satu tren ETS sedang masuk ke Platform 2. Inilah ETS 9203 dari Padang Besar menuju Gemas. Sepatutnya ia tiba di Pulau Sebang (Tampin) pada pukul 2.46 petang. Adakah ia melalui masalah yang sama sepanjang laluan dalam Daerah Rembau?

Tiba-tiba saya terfikir hendak meneruskan niat saya ke Gemas, dengan atau tanpa 41 Down. Saya bertanya seorang pegawai KTMB yang turun bersama ETS itu beberapa minit kah dia akan berhenti kerana saya hendak membeli tiket. Dia menjawab tren akan bergerak sakarang juga. Saya ceritakan ketinggalan 41 Down kerana Komuter dari Seremban lewat sampai. Dia terus menyuruh saya naik ETS tersebut.

Saya perhatikan seorang budak lelaki Melayu pun menaiki ETS itu. Seperti saya dia juga ketinggalan 41 Down. Dia hendak ke Seganat dan seperti saya telah berkira menyambung perjalanan dari Komuter. Saya kata padanya jangan risau, ETS ini akan memotong 41 Down dan dia boleh menunggunya di stesen Gemas.
 
Seperti dijangka ETS memotong 41 Down beberapa km selepas meninggalkan Pula Sebang (Tampin). Saya sudah bersedia untuk membeli tiket dalam ETS itu, tetapi tidak ada pegawai KTMB yang meminta kami berbuat demikian. Ini bermakna saya menaiki ETS secara percuma dari Pulau Sebang (Tampin) ke Gemas. Budak tadi lagi gembira kerana pertama kali naik ETS dan percuma pula tu. 

Sampai sahaja di Gemas kami terus membeli tiket masing-masing dan berpisah. Budak tadi menunggu 41 Down yang tiba beberapa minit kemudian dan saya pula balik ke Seremban dengan ETS yang sama.

Di perjalanan balik tidak ada pula masalah laluan sepanjang Daerah Rembau seperti sebelumnya. Mungkin jika ada pegawai KTMB yang membaca pos ini boleh menjelaskannya.

Saya tiba kembali di stesen Seremban tepat seperti jangkaan iaitu pukul 4.55 petang.  Di sini saya ingin mengucapkan beribu terima kasih kepada pegawai KTMB yang menggunakan akal dan membenarkan kami naik ETS dengan percuma dari Pulau Sebang (Tampin) ke Gemas.

Sekian.

No comments: