Sunday, September 25, 2016

Akibat kerja bodoh

Kadang-kadang saya buat kerja bodoh dan menyesal kemudiannya. Kerja bodoh saya yang terakhir masih terasa akibatnya semasa saya mula menulis pos ini.

Ia bermula hari Isnin 19 September 2016 yang lepas. Saya senantiasa menyimpan air minuman berbotol dalam peti sejuk di pejabat. Air ini untuk mengisi kehausan saya dan juga untuk menjamu ahli-ahli persatuan dan kawan-kawan saya yang berkunjung.

Kali ini air minuman itu ialah air cincau. Di minggu sebelumnya saya sudah terasa ia masam sedikit. Kemudian saya tidak ke pejabat selama lima hari kerana mengikut kawan-kawan sama sekolah ke Terengganu. Di hari Isnin itu sekali lagi saya meneguk air cincau berbotol itu. Tetapi kali ini rasanya tersangat masam.

Sepatutnya saya berhenti di tegukan pertama. Tetapi saya hanya berhenti setelah habis setengah gelas. Setelah itu saya buang sahaja baki yang ada dalam botol.

Esoknya Selasa 20 September saya bermesyuarat Jawatankuasa di pejabat yang sama. Baik juga baki air cincau masam sudah tiada dalam peti sejuk. Jika tidak mungkin ada kawan-kawan saya yang meneguknya. Saya masih tidak terasa apa-apa.

Hari esoknya pula Rabu 21 September 2016 saya tidak ke pejabat kerana urusan tanah isteri di Melaka. Saya masih tidak terasa apa-apa sehinggalah apabila saya beberapa kilometer sahaja dari Seremban dalam perjalanan balik. Perut saya mula memulas.

Saya terus buang air besar sebaik sahaja sampai ke rumah. Yang keluar betul-betul air yang besar atau dalam bahasa Inggeris dipanggil 'watery stool'. Dari latihan saya di bidang kesihatan saya tahu inilah akibat saya meminum air cincau masam itu yang sudah menjadi air cincau beracun.

Pada malamnya pula saya tiba-tiba batuk tak henti-henti. Malang betul nasib saya bila dua kuman atau 'phatogens' yang berlainan tiba-tiba menyerang saya serentak.

Esoknya Khamis 22 September 2016 saya terus ke Klinik Kesihatan Sikamat di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban untuk berjumpa doktor. Saya terus ke pejabat setelah diberi ubat. Saya sempat di pejabat selama satu jam sahaja kerana tidak tahan menderita demam.

Akibat demam itu saya telah terlepas dua program yang saya ingin sangat hadir. Pertama ialah program Persediaan Bersara yang dianjurkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, dimana persatuan saya diminta menghantar dua atau tiga orang penceramah. Walau pun Yang Di Pertua saya dan Naibnya sudah bersetuju memberi ceramah, saya ingin juga melihat dan merekodnya. Tetapi keadaan badan saya yang lemah tidak mengizinkan.

Kedua ialah program Konsert Kembara Gamelan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) di Auditoriumnya di Jalan Sungai Ujung, Seremban.     

Akhirnya hati saya agak terhibur bila melihat konsert Deep Purple di TV.

No comments: