Thursday, October 13, 2016

Antara konsert rock dengan kuliah agama.


Saya suka melihat konsert rock di TV. Walau pun di kuliah-kuliah agama yang saya lihat dan dengar sering kali penceramah melarang kita melihat program-program hiburan termasuk konsert rock, saya tetap berdegil. 

Saya fikir setelah berumur 'enam siri' dan melihat program-program hiburan termasuk konsert rock berpuluh tahun lamanya, belum ada unsur-unsur negatif yang mempengaruhi saya. Saya sebut konsert rock yang kebanyakannya konsert di luar negara kerana program hiburan tempatan seperti Juara Lagu dan Akademi Fantasia saya tak main.

Saya lihat konsert rock untuk hiburan semata-mata. Walau pun saya tergulung dari gulungan warga emas Malaysia yang fasih berbahasa Inggeris dan memahami setiap lirik lagu-lagu rock, saya langsung tidak peduli kepada mesej yang diberi oleh rockers tersebut. 

Saya cuma menghayati (serta menghafal hampir keseluruhan) lirik kumpulan The Beatles yang kebanyakannya memberi mesej mengenai kasih sayang atau 'love'. Selepas The Beatles berpecah saya mendengar dan melihat lagu-lagu rock Inggeris semata-mata untuk hiburan. 

Tetapi bila saya mendengar kuliah atau ceramah agama saya datang untuk menghayatinya. Ada orang mendengar kuliah agama kerana penceramahnya suka melawak atau menyanyi. Bagi saya kalau nak dengar orang melawak tengok saja program lawak di TV. Kalau nak dengar oang menyanyi pula, tengok saja program nyanyian di TV. Tak payahlah nak tengok ustaz melawak atau menyanyi.

Seperti saya kata, saya mendengar kuliah atau ceramah agama untuk menghayatinya, bukan untuk mendengar lawak atau nyanyian. Tetapi bagaimana saya dapat menghayati ceramah atau kuliah itu jika terdapat budak-budak yang belum reti bahasa asyik membuat bising di hadapan (kerana saya suka bersandar di belakang), di belakang dan kiri kanan saya?  

Sekian.

1 comment:

Unknown said...

Suka saya membaca nukilan daripada seorang SDARA.

SDARA 2008.