Sunday, October 16, 2016

Biarkan telur tinggal dalam pasir....

 Seorang budak memegang dua ekor anak penyu baru menetas. Kalau penyu itu berjaya menjadi dewasa saiznya akan melebehi saiz budak ini. Di belakang ialah tempat penetasan atau 'hatchery' yang diusahakan oleh Pak Su

Kesian bila saya memikirkan dari 1,000 ekor penyu yang menetas, cuma seekor yang akan berjaya menjadi dewasa.


Pak Su menggali lubang yang sudah menetaskan anak-anak penyu. Kredit foto www.rimbundahan.org.

Masing-masing memegang anak penyu untuk dilepaskan.

Melepaskan anak penyu.

Seekor anak penyu berlari ke arah lautan luas. Jika betina dan berjaya menjadi dewasa, ia akan datang semula ke pantai ini untuk bertelur pula.

Bulan lepas saya menyertai program kembara anjuran satu kumpulan murid-murid tua sekolah saya yang dipanggil 'Sdara Seniors Club' atau SSC. Kami ke Negeri Pahang dan Terengganu. Sambil beberapa orang dari kami bermain golf di Kemaman, yang lainnya termasuk saya telah melawat satu pusat penetasan penyu atau 'turtle hatchery' di Negeri Pahang. 

'Hatchery' ini diusahakan oleh seorang yang dipanggil Pak Su yang fasih berbahasa Inggeris. Moto Pak Su ialah 'Let the eggs stay in the sand, not end up in the pot' atau 'Biarkan telur tinggal dalam pasir, bukan berakhir dalam periuk'. 

Kebetulan saya baru melihat satu program mengenai penyu di TV beberapa hari sebelum itu dan mendapat tahu dari seribu penyu yang menetas dari telurnya, cuma seekor yang berjaya menjadi dewasa. Dewasa betina pula jika hendak bertelur akan kembali ke pantai di mana dia dilahirkan, walau pun dia mungkin telah pergi ke lautan luas beribu kilometer jauhnya. Fakta ini disahkan oleh Pak Su bila seorang dari kami menanyanya.

Pak Su bukan sahaja menanti penyu-penyu betina dewasa datang ke 'hatcery'nya untuk menetas. Dia tahu ramai manusia mengambil kesempatan mencuri telur-telur penyu sebaik saja ia ditanam oleh ibu-ibu penyu setelah bertelur di pantai. Pak Su akan membeli telur-telur itu dari pencuri berkenaan dan menanamnya semula di 'hatchery'nya. 

Mungkin ada yang tidak senang bila saya memanggil mereka yang menanti penyu bertelur dan kemudian mengambil telur-telurs itu untuk dijual di pasar sebagai pencuri. Telur penyu tidak sama dengan telur ayam. Telur ayam yang biasa kita makan datangnya dari ayam yang dibela manusia dan manusia boleh mengawal populasi ayam. Sehingga ada manusia yang hilang sikap kemanusian dengan membakar hidup-hidup anak-anak ayam yang baru menetas semata-mata untuk mengawal populasi ayam. Tujuan terakhir ialah untuk mengawal harga ayam dan telur di pasaran.

Tetapi lain ceritanya dengan penyu. Setahu saya tidak ada manusia yang memelihara penyu untuk dijadikan makanan atau untuk tujuan memakan telurnya. Penyu pula tidak mengancam populasi ikan-ikan laut yang manusia tangkap untuk dimakan. Disebaliknya populasi penyu yang terancam. Contohnya penyu belimbing atau 'leatherback turtles' yang dulu banyak datang bertelur di pantai timur seperti Rantau Abang, Terengganu sudah tidak nampak lagi sekarang. Cuma replikanya terdapat di bandar Kuala Terengganu, kalau saya tak salah. 

Penyu yang ditetas di 'hatchery' Pak Su ialah penyu hijau atau 'green turtles'. Jika telurnya dibiarkan dicuri dan akhirnya masuk periuk untuk menjadi makanan, nasib mereka juga mungkin sama dengan penyu belimbing. 

Setelah tiba masa yang dijangka Pak Su akan 'merasa' lubang-lubang di mana telur penyu ditanam. Bila ada tanda-tanda telur itu telah menetas ia akan menggali lubang itu dan mengeluarkan bayi-bayi penyu yang comel. Di waktu hampir Maghrib Pak Su yang biasanya dibantu oleh peminat-peminat penyu akan melepaskan bayi-bayi penyu untuk menguja nasib mereka di lautan luas.  Walau macam mana bayi penyu diletakkan ia akan berlari ke laut.

Mengikut undang-undang, membeli apa-apa barang dari pencuri adakah satu kesalahan. Tetapi tidak dalam kes Pak Su. Sepatutnya ramai lagi orang seperti Pak Su dan usaha mereka sepatutnya diberi imbuhan oleh pihak berkuasa. 

Sekian.


No comments: