Thursday, January 26, 2017

Akhirnya cita-citanya tercapai juga.

Saya memakai tag HAKIM semasa program memancing ikan. Sebelah kiri saya Dato' Seri Utama Rais Yatim dan yang berbaju perang En. Tham Koon Fook ketua program. Y tidak ada dalam gambar.

Semalam 25 Januari 2017 saya berjumpa dengan seorang yang sama-sama bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu. Selepas ini saya akan memanggil dia Y sahaja mengambil dari abjad pertama nama penuhnya. Y sekarang berumur 76 tahun dan sudah bersara lebih dari 20 tahun. Pertemuan saya dengan Y di Klinik Kesihatan Desa Rhu, Sikamat, Seremban mengingatkan saya kepada dua insiden mengenainya.

1. Saya dah mohon jadi pegawai, tetapi tuan tak bagi.

Semasa saya masuk bekerja di MPS pada tahun 1973 dulu Y bertugas sebagai mandor, iaitu jawatan naik pangkat dari buruh yang sekarang dipanggil Pekerja Rendah Am atau PRA. Di MPS bila seorang buruh dinaikkan pangkat menjadi mandor dia bercita-cita untuk menjadi lebih dari itu. Ini termasuklah Y.

Di masa itu juga walau pun gerakan Komunis di Malaysia sudah diumumkan tamat, masih ada saki baki mereka yang menyimpan dendam. Ini menyebabkan pembunuhan yang dalam Bahasa Inggeris dipanggil 'assassination' terhadap pegawai-pegawai polis, terutama dari Cawangan Khas atau Special Branch (SB).

Kebanyakan yang dibunuh ialah pegawai-pegawai polis berbangsa Cina, kerana kecekapan pegawai-pegawai SB Cina itulah menjadi satu faktor kekalahan gerakan Komunis di negara kita. Tidak dengan itu, Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Abdul Rahman Hashim sendiri dibunuh oleh pihak Komunis di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1974.

Kemuncak 'assassination' tersebut ialah pembunuhan Tan Sri Khoo Chong Kong, Ketua Polis Polis Negeri Perak di tahun 1975. Saya kata kemuncak kerana berita kematiannya lebih sensasi dari pembunuhan Ketua Polis Negara di tahun sebelumnya.

Tan Sri Khoo Chong Kong yang beragama Kristian berasal dari Seremban dan MPS terlibat dalam acara pengkebumiannya di Tapak Perkuburan Kristian, Jalan Tunku Kurshiah yang dihadiri beribu orang. 

Cerita pertama saya mengenai Y berlaku cuma 1 kilometer dari tempat di mana Tan Sri Khoo disemadikan. Ada seorang pegawai polis berbangsa Cina tinggal di Jalan Dato' Klana, Seremban berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Di persimpangan jalan masuk ke rumahnya terdapat semak samun yang sebenarnya tidak mengganggu sesiapa pun. Tetapi pihak polis bimbang semak ini boleh menjadi tempat persembunyian pihak Komunis untuk membunuh pegawai polis tadi.

Mereka pun menghubungi MPS untuk mebersihkan semak itu. Saya yang menjaga kawasan itu pun mengumpulkan pekerja-pekerja saya yang diketuai oleh mandor Y untuk tugas tersebut. MPS di masa itu diketuai oleh seorang berjawatan Setiausaha bernama A. Jebaratnam, berbangsa Ceylonese. Kawan-kawan saya yang berbangsa India dan Ceylonese memanggilnya Jeba sahaja, sedangkan saya memanggilnya Mr. Jeba. Dia seorang manusia yang cukup baik bagi saya, cuma kelemahannya tidak fasih berbahasa Melayu.

Mr. Jeba yang tidak suka duduk diam di pejabatnya dan suka merayau terserempak dengan saya pada satu pagi dan bertanya bagaimana kerja-kerja pembersihan semak tersebut. Saya jawab ia sedang berjalan lancar. Mr. Jeba kemudian minta saya membawannya ke tempat itu. Di masa itu manalah ada telefon bimbit seperti sekarang untuk saya menghantar SMS kepada Y akan kedatangan kami.

Sampai saja di sana walau pun kerja-kerja sudah lebih dari setengah siap, kami dapati Y dan buruh-buruhnya sedang duduk berehat. Melihat kedatangan kami buruh-buruh tadi terus bangun dan bekerja. Mr. Jeba kemudian secara berseloroh dan dalam bahasa Melayu pelat berkata lebih kurang 'Kenapa tak buat kerja, mandor? Kalau macam ini lebih baik awak jadi pegawai sahaja'. 

Saya langsung tidak menyangka bahawa Y akan menjawab seperti yang saya ingat seperti berikut 'Saya memang sudah mohon jadi pegawai, tetapi tuan tidak bagi. Tuan ambil pegawai dari luar'. Sayalah antara yang dimaksudkannya sedangkan dia memang tidak layak di segi kelulusan untuk memegang jawatan seperti saya.

Kemudian Y tambah lagi. 'Baru-baru ini saya mohon jadi Penguatkuasa, pun tuan tak bagi'. Di masa itu Unit Penguatkuasa baru hendak ditubuhkan. Mr. Jeba menjawab 'Jawatan Penguatkuasa untuk bekas tentera sahaja'. 

Kemudian Y melepas geram kepada buruh-buruhnnya pula sambil berkata lebih kurang 'Itulah kau orang malas kerja, sekarang aku yang kena marah'. Sebenarnya Mr. Jeba tidak marah, jika dia marah pun sayalah yang patut dimarahnya. Yang si Y ni perasan apa hal?

Dalam kereta semasa balik Mr. Jeba arahkan saya tulis surat amaran kepada Y. Lepas itu katanya 'NFA' bermakna 'No Further Action' atau tiada tindakan lanjut. Itulah baiknya Mr. Jeba. Kalau orang lain yang memegang jawatan Mr. Jeba tak tahulah apa akan jadi kepada Y.


2. Boleh tak saya pakai tag PEGAWAI ini?

Cerita kedua terjadi beberapa tahun lepas itu. Ekoran lobinya dan berjumpa orang-orang tertentu Y pun dilantik menjadi Pengawas, walaupun pada pandangan saya dia layak jagi mandur sahaja. 

Dato' Seri Utama Rais Yatim (DSURY) menjadi Menteri Besar di masa itu dan Mr. Jeba tidak lagi menjadi Setiausaha tetapi diberi satu jawatan yang tidak relevan di MPS. Kerana kebaikannya Mr. Jeba dimainkan oleh kawan-kawannya sendiri di MPS yang memanggilnya Jeba sahaja itu. 

MPS menganjurkan pertandingan memancing ikan di Taman Tasik Seremban sebelah Restoran A&W itu. Ketua program bernama Tham Koon Fook yang sudah meninggal dunia. Saya dilantik menjadi HAKIM di program itu dan Y menjadi PEGAWAI. Kami diberi tag dengan tulisan-tulisan tersebut.

Tag itu hanya untuk program memancing ikan itu sahaja tetapi beberapa hari selepas itu Y berjumpa saya dan bertanya bolehkah dia terus memakai tag PEGAWAI yang ada padanya. Jawapan yang tepat dari saya sepatutnya 'Tidak boleh', tetapi saya menjawab 'Terpulanglah'. 

Di masa itu kami pegawai dan kakitangan kerajaan belum diwajibkan memakai tag nama. Tetapi si Y yang gila pangkat ini hendak sangat memakai apa-apa tag. Tiba-tiba  di MPS tersebar berita yang Y ditahan polis kerana memakai tag PEGAWAI semasa kerja. Saya tidak tahu sama ada Y mengatakan bahawa sayalah yang menyuruhnya memakai tag tersebut kerana tidak apa mana-mana pegawai Polis yang memanggil saya selepas itu.

Memang tepat pihak polis menahannya kerana disyaki menyamar. Saya langsung tidak terfikir Y gamak memakai tag PEGAWAI itu. Tetapi bila dikenangkan peristiwa dia  dengan Mr. Jeba beberapa tahun sebelum itu saya fahamlah. Jika saya memakai tag HAKIM sudah tentu MPS mengenakan tindakan tatatertib terhadap saya.

Tetapi sekurang-kurangnya cita-cita Y untuk menjadi 'pegawai' tercapai juga.

No comments: