Saturday, January 21, 2017

Mana t-shirt kami?

Mana t-shirtnya?

Di atas itu ada ditulis saiz t-shirt. Itu sebab agaknya ramai menyerbu ke sini.


Antara yang kecewa tak dapat t-shirt.

Persatuan saya, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) diminta menyertai program yang diberi nana MOMENTS OF UNITY di Taman Botani Perdana pagi tadi, 21 Januari 2017. Program dianjurkan oleh The Associated Chinese Chamber of Commerce and Industry (ACCIM). Program ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. 

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), satu jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditugaskan mengumpulkan peserta-peserta dari pihak kerajaan, kebanyakannya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT). Walau pun kami satu NGO, penyertaan kami diuruskan oleh JPNIN.

Semasa bujang dulu saya selalu pergi ke Taman Botani ini kerana ia dekat dengan Institut latihan kerja saya di Jalan Bangsar. Semasa baru-baru kahwin juga saya pernah membawa isteri saya ke Taman ini. Tetapi kedatangan semula saya pagi tadi amat mengecewakan.

Lebih seminggu dari tarikh program saya telah menghantar nama-nama peserta dari persatuan saya kepada JPNIN melalui faks. Walau pun borang tidak bertanya tentang saiz t-shirt saya diminta meletakkannya (setelah saya sendiri menalipon JPNIN) dihujung nama peserta untuk menyenangkan penganjur mengagihkannya kepada kami. Saya juga diberitahu t-shirt akan dimasukkan ke dalam beg 'goodies' yang akan diberikan kepada semua peserta.

Saya pun memberitahu ahli-ahli saya yang sanggup pergi bahawa kami akan diberi t-shirt dan hendaklah dipakai setelah mendapatkannya. Walau pun program memberi tahu kami supaya mula mendaftar pada pukul 7.00 pagi kami sanggup tiba selepas itu kerana Perdana Menteri akan tiba pada pukul 9.00 pagi. Lebih-lebih lagi saya telah menghantar pengesahan dengan nama peserta dan saiz t-shirt lebih seminggu sebelum ini. Kami 12 orang dari Negeri Sembilan tiba di sana lebih kurang puluk 8.15 pagi.

Apabila sahaja kami tiba di sana kami diminta pergi ke khemah JPNIN. Seperti dijanjikan kami diberi satu beg 'goodies' tiap-tiap seorang yang mengandungi beberapa makanan dan minuman ringan. Tetapi barang yang kami sangat-sangat inginkan tiada dalam beg. Kami diberitahu t-shirt telah habis dikebas oleh peserta-peserta yang datang awal. Bila saya tanya mana senarai-senarai nama-nama yang saya hantar dengan faks, pegawai-pegawai JPNIN di situ tidak ada yang dapat memberi jawapan yang memuaskan melainkan meminta maaf. Minta maaf, maaf tidak diterima.

Bukan kami yang sudah dewasa ini sahaja yang kecewa. Ramai penuntut dari IPT juga begitu. Ada seorang pensyarah berkata dia sendiri tidak hairan dengan t-shirt itu, tetapi dia tak tahu apa penjelasan yang hendak disampaikan kepada penuntut-penuntut yang dibawanya. 

Kami tahu t-shirt yang diberi kepada semua peserta termasuk Dato' Seri Najib bukanlah jenis yang mahal. Tetapi kami rasa dipermainkan kerana sudah memenuhi syarat-syarat penyertaan dengan menghantar senarai peserta awal-awal lagi. Seorang kawan saya berkata dia telah berjanji memberikan t-shirtnya kepad cucunya. Adakah kami pesara ini tidak perlu dihormati?

Setelah bergambar membuktikan kehadiran kami di sana kami 12 orang dari Negeri Sembilan terus meninggalkan majlis. Minta maaf, Dato' Seri Najib.

No comments: