Tuesday, January 24, 2017

Ia bermula dari 'Musang Berjanggut'.


Malam tadi 22 Januari 2017 Radio Televisyen Malaysia (RTM) menayangkan semula untuk keberapa kalinya filem klasik Melayu 'Musang Berjanggut'. Tiap kali ia ditayangkan semula ia memberi kenangan kepada saya kerana itulah filem penuh (full feature film) yang pertama saya tengok dalam hidup saya, walau pun sebelum itu saya selalu melihat wayang gambar Jabatan Penerangan di padang sekolah di kampung. Ini juga bermakna 'Musang Berjanggut' filem pertama saya tonton di mana-mana panggung wayang.

Tahunnya 1959 iaitu tahun filem itu dikeluarkan dan saya bersekolah di Darjah Empat. Emak (masih hidup) membawa saya dengan abang saya Shamsudin (sudah arwah) ke rumah adiknya Yusof (juga sudah arwah) yang kami panggil 'Acek' di Melaka. Acek bekerja sebagai askar di kem Tg. Keling kalau tak salah. Yang saya ingat bereknya (barrack) terletak di tepi pantai.  

Acek sudah berkahwin dan mempunyai anak bernama Zulkarnain berumur beberapa bulan di masa itu. Acek ialah kaki wayang dan ini dibuktikan oleh koleksi tiket wayang tiap-tiap filem yang ditontonnya di seluruh Malaya. Semasa bujang tiket-tiket ini dibawanya ke kampung. Hobi Acek suka tengok wayang merisaukan nenek saya dan saya pernah terdengar dia mengadu kepada seorang saudara kami. Acek pernah dihantar ke England untuk berlatih dan saya tak tahu sama ada dia tengok wayang di situ.

Acek bukan sahaja menyimpan tiket-tiket wayang. Dia juga membawa ke kampung majalah-majalah filem yang dibelinya, dalam tulisan Rumi dan Jawi. Dari itu saya tahu tentang kehebatan Allahyarham P Ramlee selain mendengar nyanyiannya di radio.   

Bila sampai ke Bandar Melaka saya lihat poster-poster filem 'Musang Berjanggut' kecil dan besar. Saya berkata sendiri alangkah baiknya jika Acek membawa kami menonton filem ini nanti. Doa saya dimakbulkan kerana malam itu atau esoknya (saya sudah lupa) Acek membawa emak, abang dan saya menonton filem 'Musang Berjanggut'. Saya lupa nama panggungnya, sama ada Federal atau Capitol. Kami datang dengan kereta prebet sapu yang bersepah di waktu itu di bandar-bandar seperti Melaka dan Seremban.  

Saya tidak menonton mana-mana filem penuh lagi sehingga saya berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong, Malim, Perak pada tahun 1962. Pihak sekolah menayangkan filem-fliem Inggeris tiap-tiap hujung minggu, pada mulanya di ruang kosong antara dua asrama. Apabila dewan yang diberi nama Dewan Rahman Talib siap, kami menontonnya di sana pula. Hero-hero di masa itu ialah Burt Lancaster, Victor Mature, Tony Curtis dan John Wayne. 

Tidak cukup dengan filem-filem yang ditayang di sekolah saya mula menjinakkan diri menonton filem di pekan Tanjong Malim. Panggung di satu bernama Rex dan kawan-kawan saya dari Kelantan memanggilnya panggung 'RE pangkoh'. Selain filem-filem Inggeris sekali lagi saya menonton filem-filem P Ramlee di sini dan membawa saya kenangan menonton filem 'Musang Berjanggut' di Melaka pada tahun 1959. Panggung Rex menayangkan filem-filem keluaran dan saluran (distribution) Shaw Brothers (SB).  

Di seberang Sungai Bernam yang memisahkan negeri-negeri Perak dan Selangor ialah pekan Ulu Bernam. Betul-betul di tebing sungai ialah panggung Majestic yang menayangkan filem-filem keluaran Cathay Keris dan saluran Cathay Organisation. Saya juga sering menonton di sini, antaranya filem 'Sangam'. 

Seterusnya bila saya bekerja saya sering menonton filem-filem Melayu, Inggeris, Cina dan Hindustan di panggung-panggung Rex, Capitol, Metropole, Odeon dan Plaza di Seremban. Kemudian bila saya berlatih di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur saya pergi ke panggung-panggung Federal, Capitol, Rialto dan satu panggung di Brickfields yang saya lupa namanya.

Bila saya dihantar ke Kelantan setelah tamat latihan saya teruskan dengan hobi saya ini di sana. Cuma di pekan Bachok saya agak kecewa kerana panggung tidak menepati masa. Mereka menunggu panggung penuh baru memulakan tayangan. 

Dengan tibanya pita video (video tapes) saya pun tidak ketinggalan dengan membeli Video Cassette Recorder (VCR) dan menyewa atau membeli pita-pita video mengandungi filem. Sayang sekali pita-pita itu sekarang dibuang begitu sahaja. 

Akhirnya dengan kedatangan Digital Video Disc atau DVD saya tidak ketinggalan. Itulah caranya saya menikmati filem-filem sekarang. Saya mempunyai koleksi beratus DVD, kebanyakannya filem-filem Inggeris yang saya beli di Seremban, Kuala Lumpur, Fukuoka, Japan semasa berlatih di sana dan melalui pos dari USA. 

Saya juga mempunyai dua 'Home Theatre', satu untuk DVD biasa dan satu lagi untuk untuk Blu-Ray. Salah satu kelebihan DVD dan Blu-Ray ialah kita boleh memilih untuk membaca sarikata atau 'subtitles'. Dengan cara ini kita boleh memahami setiap perkataan yang disebut dalam tiap-tiap filem.

Sekali sekala saya juga pergi ke panggung-panggung wayang sekarang, sebenarnya untuk menikmati sistem bunyi 'surround'nya.

Sebenarnya nenek saya itu salah bila bimbangkan anak lelakinya itu kaki wayang. Saya sendiri tidak pernah menyesal menjadi kaki wayang. Kaki wayang lebih baik dari kaki perempuan, kaki arak, kaki judi atau kaki rokok. 

Sekian.

No comments: