Sunday, December 3, 2017

Memori Tanjong Malim - Bahagian pertama - Masjid Jamek.

Memori Tanjong Malim dibukukan.


Sehingga ke hari-hari terakhir saya belum buat keputusan untuk bersama-sama kawan-kawan, cikgu-cikgu, kakitangan dan keluarga kakitangan yang dulu sama-sama belajar, mengajar, bekerja dan tinggal di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak dan sekitarnya. Saya sebut dulu, kerana sekarang SDAR sudah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan.

Program dianjurkan oleh Persatuan Bekas Pelajar SDAR atau SDARA dan Sdara Seniors Club atau SSC. Saya menganggotai kedua-duanya. Mereka menganjurkan satu 'reunion' di Tanjong Malim pada 1 dan 2 Disember 2017. Tujuan utama ialah pelancaran buku di atas, di mana beberapa pos dari blog saya ini dijadikan bahan.

Akhirnya bila mendapat tahu kawan sekelas saya akan menjadi tetamu kehormat majlis itu, saya rasa tercabar dan mengambil keputusan pergi, walau pun untuk seketika. Saya putuskan untuk pergi dengan keretapi. Di stesen KTM Seremban saya diberitahu tiket tren laju ETS telah habis untuk hari tumpuan. Saya putuskan untuk menaiki KTM Komuter dari Seremban ke Tanjong Malim dan sebaliknya.

Saya pun menyebarkan niat dan pelan perjalanan saya di kumpulan Whatsapp kelas sekolah saya dengan harapan ramai lagi antara kami akan turut serta. Tiba-tiba kawan saya Zohary mengajak saya dan Md Shah, yang juga belum buat keputusan, untuk naik keretanya dari Kuala Lumpur.

Di pagi hari Jumaat 1 Disember 2017 saya pun menaiki tren KTM Komuter, yang sebenarnya sudah lama saya tidak naik, di stesen Seremban. Di dalamnya sudah menunggu Md Shah yang yang naik di stesen permulaan, Pulau Sebang-Tampin. Di KL Sentral kami naik LRT Rapid KL ke Gombak di mana Zohary sudah menanti.
     

Dalam KTM Komuter dengan Md Shah, berasal dari Gemencheh. Sekarang menetap di bandar Tampin.


Saya tertarik untuk mengambil gambar 3 OKU dengan kerusi roda canggih ini di KL Sentral.


Duduk seperti tuan di belakang kereta Mercedes Benz 250 Zohary.

Sampai sahaja ke Tanjong Malim, kami terus ke Masjid Jamek di mana program pertama sedang berjalan. Kami mendengar ceramah bertajuk "Pebinaan Generasi Tamadun Tinggi" oleh Tokoh Maal Hijrah 1426 Hijri, Professor Dato' Dr. Mohd. Yusof Hj. Othman dari Universiti Kebangsaan Malsysia.

Ceramah Maal Hijrah.

Saya asyik mengambil gambar dan berselfie sehingga tidak mendengar sangat ceramah.

Bila saya poskan gambar di atas di Facebook ada kawan saya tanya adakah kami kena beratur dan berjalan kaki ke masjid. Sudah tentu dia berseloroh. Jawapan saya tidak, kali ini kami berkereta ke masjid. Di lihat pada kereta-kereta yang diletak di luar masjid, bukan calang-calang orang yang punya.  Cuma saya nyaris-nyaris datang dengan keretapi. 

Masjid Jamek Tanjong Malim banyak membawa kenangan kepada saya dan kawan-kawan sekolah. Di sinilah kami solat Jumaat semasa di SDAR dulu. Kami berkumpul depan bangunan pentadbiran sekolah dan kemudian berbaris ke masjid ini melalui Jalan Maktab, Tanjong Malim. 

Ini berbeza dengan SDAR di Seremban sekarang di mana solat Jumaat diadakan di surau sekolah yang saiznya mengalahkan masjid-masjid di mana saya biasa menunaikan solat Jumaat di Ulu Temiang dan Taman Sri Pulai 3, Seremban. Di SDAR, Sungai Gadut, Seremban, bukan saja pelajar, cikgu-cikgu dan kakitangan yang solat Jumaat di situ, tetapi warga Sungai Gadut. Beberapa minggu lepas saya solat Jumaat di sana dan bila nak keluar saya dapati cermin mata yang saya letak di atas peti derma telah diusik, sudah tentu bukan oleh Sdarians, tetapi budak-budak yang belum reti bahasa. 

Saya perhatikan kawan-kawan saya tekun dan senyap mendengar ceramah. Ini berbeza semasa sekolah dulu bila kami asyik bercakap walau pun diingatkan tiap-tiap minggu oleh Imam dan Bilal supaya tidak bersuara, walau pun dengan menyebut 'diam'. 

Stesen KTM Tanjong Malim dulu terletak cuma 100 meter dari Masjid. Ada sahaja keretapi yang lalu dan berhenti semasa kami berada dalam masjid ini. Ada satu ketika itu semasa kami sedang berdiri solat, sebuah keretapi barang dengan enjin wap membunyikan 'whistle'. Kalau nak dengar macam mana bunyinya cuba tengok filem-filem koboi seperti 'The Wild Bunch' dan 'How The West Was Won' atau pun filem James Bond 'From Russia With Love'. Ramai dari kami ketawa mendengarnya walaupun sedang solat. 

Sekarang stesen KTM Tanjong Malim sudah dipindahkan 100 lagi ke utara dan keretapi wap tidak ada lagi di negara kita. Semasa ceramah dan solat beberapa tren Komuter dan ETS lalu dan berhenti dengan senyap.

Masjid Jamek Tanjong Malim, Perak.

 Mereka kusyuk mendengar ceramah, tidak seperti di zaman sekolah dulu.

 Ruang tengah masjid berhawa dingin.


Kami berempat dulu satu kelas. Dari kiri, Md. Shah, Zohary (sedang bersalam), Dr. Hilmi dan saya. Dr. Hilmi, Timbalan Menteri Kesihatan ialah tetamu kehormat majlis ini.


Selepas makan di masjid.


Selepas ceramah kami makan di ruang makan masjid dengan makanan disediakan oleh penganjur. Kemudian kami solat Jumaat bersama warga Tanjong Malim. Selesai saja makan giliran warga Tanjong Malim pula kami belanja makan.

Kemudian kami bergerak ke Universiti Pendidikan Tanjong Malim (UPSI) di mana SDAR ditempatkan dulu.

Bersambung.....

No comments: