Saya di Mesyuarat Agung N.G.O. di Port Dickson.
Apabila acara perasmian sedang berjalan, saya cemas seketika. Pertama apabila melihat acara perasmian akan tamat setengah jam lebih awal dari dijangka. Saya bimbang adakah pihak hotel sudah menyediakan jamuan? Kedua apabila melihat kehadiran tepat seperti jangkaan. Saya bimbang pihak hotel menyediakan makanan kurang dari yang ditempah memikirkan ramai ahli-ahli saya tidak datang untuk bermesyuarat kerana masih beraya.
Tekaan saya meleset kerana saya dapati makanan yang bermenu hari raya sudah disediakan dan cukup. Saya lagi bersyukur kerana mesyuarat kemudiannya berjalan dengan lancar. Mungkin setiap yang datang untuk bermesyuarat bersangka baik di bulan raya.
Esoknya saya datang ke pejabat kerana harus menyediakan beberapa surat. Saya tidak menjangka akan didatangi oleh mana-mana ahli, tetapi dikejutkan dengan kedatangan seorang ahli yang selalu mendapat pertolongan saya.
Dia seorang pesara Polis berpangkat Sarjan Detektif berbangsa India. Dia dan isterinya berdaftar sebagai pesakit luar di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur atau IJN. Saya sering membantunya membuat tuntutan perjalanan dari rumahnya di Seremban ke IJN dan balik. Setiap kali dia datang saya akan menghantar permohonannya ke Kumpulan Wang Persaraan, Cyberjaya atau KWAP beserta dengan surat iringan. Selama ini dia tidak pernah mengadu bahawa apa-apa tuntutannya ditolak.
Tetapi kali ini saya berasa cemas. Di tangannya ada surat yang diterimanya melalui Pos Laju. Dia terus menyatakan permohonan tuntutan perjalanannya kerana mengambil ubat pada bulan Mac 2018 telah ditolak oleh KWAP. Alasan yang diberi oleh KWAP ialah 'time slip' yang dikeluarkan oleh IJN bukan dokumen asal, tetapi salinan fotostat.
Dia terus nyatakan walau pun borang yang digunakan oleh IJN ialah dari salinan fotostat tetapi borang itu telah diisi dengan tangan oleh kakitangan IJN, ditandatangan dan dicop oleh Ahli Farmasi mereka. Walau pun pihak IJN menggunakan pen dan 'stamp pad' dakwat hitam adalah jelas pada pandangan saya borang yang sudah dipenuhkan itu bukan salinan fotostat.
Di bulan baik ini saya tidak mahu bersangka buruk. Kita patut memaafkan apa-apa kesalahan. Saya fikir pegawai KWAP yang menolak permohonan itu membuatnya antara dua sebab.
Pertama dia memikirkin bila arahan diberi supaya hanya dokumen asal yang boleh diterima, ini bermakna apa-apa borang kosong tidak boleh difotostat. Cuma borang yang dicetak boleh digunakan.
Kedua dia kurang teliti kerana apabila melihat borang itu diisi dan dicop dengan dakwat hitam. Pada pandangannya borang itu difotostat setelah diisi. Sarjan Detektif pencen tadi telah menghantar salinan fotostat. Tetapi kalau difikirkan dia tidak ada sebab untuk menyimpan salinan asal.
Yang menghairankan saya kenapa pegawai KWAP bertaraf Penolong Pengarah yang menandatangai surat itu tidak meneliti isi surat yang ditandatanganinya. Melainkan dia sendiri menyediakan surat itu dan menandatanganinya, seperti yang saya buat hari-hari. Tak apalah, saya dan kawan saya itu memaafkan mereka di bulan raya ini.
Tindakan segera saya ialah menalipon KWAP dan menceritakan masalah yang dihadapi oleh kawan saya itu. Jawapan KWAP ialah supaya membalas balik surat penolakan mereka dengan memberi alasan-alasan seperti yang saya jelaskan.
Saya harap masalah seperti ini tidak berulang di mana-mana.
Sekian.
No comments:
Post a Comment