Thursday, June 14, 2018

Bila OKU bermakna Orang Kuat Upaya.

Notis kata OKU, tapi yang duduk berseluar perang tu bukan saja bukan OKU tetapi beratur beli daging bila sepatutnya bekerja.


Pemandangan di lorong bukan OKU.

Pertama kali Kerajaan Negeri Sembilan mengadakan apa yang dipanggil Mantai Perdana ialah pada tahun 2008. Saya ada menulis mengenainya seperti berikut: Jangan berjanji jika tidak ditepati.

Walau pun saya hanya menulis secara suka-suka, artikel saya itu telah diambil oleh sebuah parti politik yang menjadi pembangkang di masa iu dan dimasukkan ke dalam laman web mereka. Mereka kemudian melabel saya sebagai seorang aktivist, walau pun saya tidak pernah menganggap diri saya begitu.

Sekarang parti yang saya sebut itu sudah menjadi sebahagian dari parti yang memerintah Malaysia dan Negeri Sembilan. Syukurlah mereka juga meneruskan program Mantai Perdana ini. Ikutan dari itu saya pun pergi ke tapak Mantai Perdana di bekas Kem Paroi, Seremban semalam untuk membeli sedikit daging dan daun ketupat.

Lorong pertama jualan daging mempunyai label OKU bermakna Orang Kurang Upaya di atasnya. Saya perhatikan di lorong ini disediakan kerusi supaya OKU duduk beratur di atasnya. Tetapi pada pandangan saya tidak ada pun seorang OKU yang duduk di atas kerusi gersebut. Yang duduk tegap-tegap belaka.

Saya pun duduk di kerusi kosong paling akhir. Saya tidak dibantah oleh sesiapa, termasuk oleh dua orang anggota RELA perempuan yang menjaga lorong tersebut. Kalau dihalau, saya ada jawapan tersedia. Pertama saya tidak nampak seorang pun OKU yang sama-sama beratur sebelum saya. Kedua saya seorang warga emas.

Apa yang tidak menyenangkan saya ialah terhadap dua orang yang memakai pakaian seragam atau uniform. Pertama seorang lelaki memakai uniform Southern Waste Management atau SWM dan kedua seorang perempuan memakai uniform RELA.

Tugas mereka senang sahaja. Pekerja SWM sepatutnya menjaga kebersihan tapak Mantai tersebut. Anggota RELA pula memastikan pembeli beratur dan jika tidak ada OKU yang datang membeli , sekurang-kurang membenarkan hanya warga emas seperti saya masuk ke lorong tersebut. 

Tetapi apa yang saya perhatikan lain pula. Pekerja SWM itu sama-sama beratur membeli daging. Bila masa dia bekerja saya tidak tahu. 

Seorang dari dua anggota RELA itu lain pula ceritanya. Dia sepatutnya menjaga ruang keluar (yang ditulis OUT) supaya tidak ada sesiapa yang masuk di situ. Tetapi dia tidak menjaga ruang tersebut dan sebaliknya pergi ke ruang kosong sebelah tempat pekerja-pekerja memotong daging dan membeli daging bagi pihak kawan-kawannya. Ruang itu kosong kerana lorong OKU ialah lorong pertama.

Secara tidak langsung anggota RELA tersebut telah memotong giliran kami. Ini sama dengan pepatah Melayu 'Harapkan pegar, pegar makan padi'. Syukurlah tiba-bila muncul seorang pegawai RELA dan memarahi anggota tersebut dan menyuruhnya membuat kerja sebenar. 

Setelah mendapat daging, saya terus balik..

No comments: