Thursday, August 15, 2019

Berpakaian kena pada tempatnya.



Saya berpakaian batik dan bersongkok di majlis dihadiri oleh seorang Pembesar Negeri Sembilan. Hadirin lain pun memakai songkok.


Meja utama yang hanya lebih kurang satu meter jauhnya dari meja saya. Dato' Undang Luak Jelebu yang juga bernama Maarof sedang duduk di takhta. 

Bila Yang Dipertua kepada Persatuan Pesara saya yang juga Pengerusi kepada Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Daerah Jelebu menjemput saya untuk majlis Jamuan Hari Raya Haji semalam, saya telah memutuskan untuk pergi dengan berpakaian baju batik. Itu merupakan diantara beberapa baju batik yang saya dapat percuma sejak menjadi Setiausaha kepada Persatuan.

Dua hari lepas seorang Ahli Jawatankuasa PERKIM Daerah Jelebu yang juga  kawan Facebook saya memuatkan gambar-gambar persiapan majlis tersebut. Diantaranya gambar sebuah takhta atau kerusi yang hanya boleh diduduki oleh seorang Pembesar negeri.

Saya tahu Pembesar yang dimaksudkan ialah Yang Teramat Mulia Undang Luak Jelebu yang baru dan kebetulan namanya juga Maarof seperti saya. Saya pun putuskan untuk memakai songkok sebagai tambahan kepada baju batik.

Pilihan saya tepat, kerana saya perhatikan 98% hadirin lelaki memakai songkok. Ada pula yang datang dengan Baju Melayu lengkap. Jika saya tidak bersongkok, alangkah malunya saya nanti, kerana tuan rumah meminta saya duduk di meja bulat betul-betul di hadapan meja utama yang diduduki oleh YTM Dato' Undang.

Sejak dari dulu lagi saya memang mengutamakan apa yang disebut 'Dressed for the occassion' atau berpakaian kena pada tempatnya. Cuma saya kurang selesa memakai kasut kulit. Untuk tujuan itu sekarang, saya memakai kasut getah berwarna hitam (seperti kasut yang diwajibkan untuk murid-murid sekolah oleh kerajaan Malaysia sekarang).

Beberapa tahun dulu ada pertandingan Sepak Takraw tahunan merebut apa yang dipanggil Piala Isa. Isa ialah nama Tan Sri Isa Samad yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan di masa itu. Oleh kerana pertandingan dijalankan di medan yang dipanggil Centre Court yang cuma beberapa ratus meter dari rumah saya, saya melihatnya siang dan malam.

Tan Sri Isa datang untuk pertandingan akhir di satu petang. Dia berpakain batik seperti beberapa orang di sebelahnya. Tetapi diantara mereka yang duduk di baris utama itu saya nampak seorang yang memakai t-shirt dan berpeluk tubuh. Saya tertanya-tanya kenapa dia duduk di situ. Rupa-rupanya dia banyak menyumbang untuk pertandingan itu. Itulah sebabnya dia dibenarkan duduk di baris utama.

Tetapi saya tidak berhenti berfikir betapa janggalnya dia duduk di baris utama cuma beberapa sentimeter dari Piala pertandingan dengan memakai t-shirt dan berpeluk tubuh.

Mungkin itulah perasaan saya jika saya tidak berbaju batik dan bersongkok semalam.

Sekian.

No comments: