Saturday, August 10, 2019

Bila 'The customer is not right'

Bil Cukai Taksiran MPS yang saya cetak secara 'online'.

KES PERTAMA

Beberapa minggu yang lepas, saya dihubungi oleh seorang junior saya di sekolah untuk menolongnya. Dia seorang pesara kerajaan seperi saya, tetapi telah diserang 'stoke' beberapa bulan yang lalu yang menyebabnya sukar untuk pergi ke mana-mana. Antaranya, sukar pergi ke bank untuk mengeluarkan duit pencennya.

Ini kerana pencennya dibayar melalui Skim B yang mensyaratkannya pergi menunjukkan muka di bank tiap-tiap bulan. Dia ingin menukar skim kepada Skim A di mana duit pencennya dibayar terus ke bank oleh Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP dan dia boleh mengeluarkannya bila-bila masa dengan kad ATM.

Saya memutuskan untuk pergi sendiri ke rumahnya di Labu, Seremban untuk menolongnya dalam semangat Sdarian atau bekas murid Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR. Sebelum itu, bila saya semak akaunnya, saya dapati alamat di akaun tidak sama dengan alamat semasanya.  

Saya pergi ke rumahnya membawa dua borang, iaitu borang menukar skim bayaran pencen dan borang kemaskini alamat. Oleh kerana borang kemaskini alamat boleh digunakan untuk membaharui Kad Pesara, saya mohon sekali kad baru untuknya.

Seperti biasa saya hantar borang-borang itu ke KWAP melalui pos biasa dengan surat iringan pejabat saya, walau pun kawan saya ini belum menjadi Persatuan Pesara di mana saya menjadi Setiausaha di peringkat Negeri Sembilan.

Dua hari lepas saya menerima SMS dari kawan saya ini mengatakan baru menerima Kad Pesara baru, tetapi bila dia menalipon KWAP, mereka memberitahu tidak ada rekod permohonan darinya untuk menukar skim bayaran pencen dari Skim B ke Skim A.

Bila saya ke pejabat pagi semalam, perkara pertama yang saya buat ialah menalipon KWAP dan bertanyakan mengenai permohonan tukar skim bayaran pencen kawan saya itu. KWAP memberi jawapan yang sama iaitu 'tiada rekod permohonan'. Pegawai di talian itu sempat meminta saya memberi nombor 'tracking' surat yang dihantar kepada mereka. 

Untuk soalan bodoh itu saya pun beri jawapan bodoh iaitu saya menghantar surat kepada mereka melalui pos biasa yang tidak ada nombor 'tracking'. Pegawai itu bertegas mengatakan mereka tidak menjumpai rekod permohonan, walau pun saya bertanya kenapa Kad Pesara baru boleh dikeluarkan sedang saya hantar borang untuk tujuan tersebut sekali dengan borang permohonan tukar skim bayaran pencen.

Kerputusannya ialah kawan saya ini dikehendaki menghantar borang semula. Kali ini mungkin saya akan hantar melalui 'kurier' untuk mendapatkan nombor 'tracking'. The 'customer is not right' di sini.


KES KEDUA

Pagi semalam juga Bendahari baru saya (yang cukup teliti tentang ciri-ciri kewangan walau pun menggunakan tenaga) bertanya mana bil Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kerana beliau ingin menjelaskan cukai untuk setengah tahun kedua 2019.  

Saya jawab untuk pertama kali sejak menjadi Setiausaha Persatuan, saya tidak menerima bil tersebut. Saya minta dia jangan risau kerana saya boleh bayar cukai itu secara 'online' menggunakan duit dari akuan saya dahulu dan ini telah saya lakukan untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi Bandahari ini ingin melihat bil itu sendiri dan membayarnya secara tunai. Sekali lagi saya cakap jangan risau kerana saya akan layari laman web MPS dan mencetak bil baru.

Bila saya layari laman web MPS, entah macam mana saya tidak jumpa ruang untuk mencetak bil Cukai Taksiran. Saya pun talipon MPS dan bercakap dengan dua orang kakitangan. Yang pertama seorang lelaki yang asik memberi jawapan 'tidak tahu'. Kemudian saya disambungkan dengan seorang kakitangan perempuan yang kebetulan saya kenal rapat.

Kakitangan perempuan ini dahulu menjadi Jurutaip di jabatan saya, tetapi sekarang sudah diserap menjadi Pembantu Tadbir atau lebih senang dipanggil Kerani. Saya banyak belajar bagaimana hendak menaip dokumen darinya. Ini telah menimbulkan situasi 'menang menang' bagi kami berdua.

Saya menang kerana dapat ilmu untuk menaip dokumen (yang sekarang saya gunakan sepenuhnya dalam tugas harian saya sebagai seorang Setiausaha kepada satu NGO). Dia pula menang kerana kurang seorang pegawai yang membebankannya dengan kerja-kerja menaip dokumen. Ini kerana saya sendiri menaip dokumen-dokumen saya.

Tetapi 'pertemuan' kami kali agak mengecewakan saya. Bila ditanya bagaimana saya boleh mencetak sendiri bil Cukai Taksiran MPS, jawapannya MPS tidak membenarkan lagi pemilik harta mencetak sendiri bil mereka. Dalam kes yang saya hadapi, di mana bil Cukai Taksiran tidak dirterima, saya sendiri kena pergi ke pejabat MPS di Forest Heights, Seremban dan memohon bil baru. Kerana telah kenal lama dengannya, saya anggap apa yang dicakapnya itu benar. Sekali lagi 'The customer is not right'.

Bila saya terangkan situasi ini kepada Bendahari, dia jawab tak apa. Dia minta saya berikan bil setengah tahun pertama 2019 (yang saya sudah jelaskan melalui bayaran online). Dia akan bawa bil itu ke pejabat MPS, meminta mereka mencetak bil baru dan menjelaskannya sekali di sana. Apa boleh buat, dia sanggup buat begitu.

Bila saya balik ke rumah dan meneliti laman web MPS itu, saya terjumpa pula ruang untuk mencetak bil Cukai Taksiran sendiri. Buktinya seperti di atas. Persoalannya siapa yang 'right' dalam hal ini.

Sekian.  

No comments: