Yang Di Pertua Persatuan saya di peringkat Negeri Sembilan, Dato' Ibrahim Che' Mat menerima hadiah sebuah komputer 'desktop' dari Presiden kami di peringakat kebangsaan, Tan Sri Wan Mahmood Pa' Wan Teh. Yang tersenyum itu Setiausaha Agung kami, Hj. Salleh Abu Taib.
Berpuluh tahun lalu semasa saya masih bertugas di Majlis Perbandaran Seremban atau MPS saya menghadapi proses temuduga naik pangkat. Hanya saya berdua dengan kawan sejawatan saya yang layak dinaikkan pangkat tersebut. Kawan saya ini setahun muda dari saya.
Beberapa hari sebelum temuduga saya menyatakan kebimbagan saya akan temuduga itu dengan seorang pemandu jabatan saya. Pemandu itu menyatakan saya mempunyai peluang lebih baik kerana semua orang tahu yang saya mahir dalam bidang komputer sedangkan kawan saya (yang sekarang menjadi lawan) tidak tahu langsung.
Saya terus menjawab sebenarnya itulah masalah yang saya hadapi. Saya terangkan bukan sahaja lawan saya itu buta komputer, boss kami pun buta komputer juga. Jadi mereka mempunya kesamaan. Walau bagaimana pun persembahan saya di temuduga nanti, sokongan boss kami kepada lawan saya itu akan menjadi rintangan besar kepada saya.
Tekaan saya tepat. Saya tidak berjaya dalam kenaikan pangkat tersebut, sedangkan lawan saya yang buta komputer itu berjaya atas sokongan boss kami yang juga buta komputer. Oleh kerana lawan saya itu muda setahun dari saya, peluang saya untuk dinaikkan pangkat terus lenyap, kerana jawatan itu hanya satu sahaja.
Mungkin kerana menyedari kesilapan mereka, jabatan saya telah merangka satu kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia atau JPA supaya diujudkan lagi jawatan naik pangkat. Tetapi itu sudah terlambat, kerana jawatan itu diluluskan hanya setelah saya bersara. Saya juga tidak menduga bahawa bila bersara nanti saya pula akan selalu berhubung dengan JPA.
Tetapi kehampaan saya sedikit terubat selepas itu. Saya ditawarkan bekerja selama empat tahun lagi setelah bersara wajib pada umur 56 tahun. Jadi saya merasa juga bekerja sehingga umur 60 tahun seperti kakitangan kerajaan sekarang, bezanya di empat tahun terakhir saya menerima kedua-dua pencen dan gaji.
Setelah bersara kali kedua, saya seperti medapat nafas baru. Saya masuk menjadi ahli kepada satu badan bukan kerajaan (NGO) mewakili pesara, sehingga saya memegang jawapan Setiausaha di peringkat Negeri Sembilan sejak enam tahun yang lalu.
Sejak menjadi Setiausaha, saya telah banyak mengadakan innovasi melibatkan pesara. Saya berani nyatakan di sini, penubuhan kaunter MyPesara di setiap Pejabat Setiausaha Kerajaan seluruh negara adalah tiruan kepada idea saya.
Selain dari mendapat nafas baru, saya dapati ramai menghargai innovasi saya. Saya masih ingat di tahun kedua saya menjadi Setiausaha, saya dipanggil oleh Pengarah Bahagian Pencen, JPA ke Putrajaya untuk berbincang dengannya. Ini setelah saya berhubung beberapa kali dengannya melalui email. Kemuncak penghargaan itu ialah pada dua hari yang lepas di Persidangan Perwakilan NGO saya di Kuala Terengganu, Terengganu.
Selain mencipta satu email untuk NGO saya untuk berhubung dengan JPA Pencen dan ibu pejabat, bila rakyat Malaysia memasuki era media sosial termasuk Facebook dan Whatsapp, saya pun tidak ketinggalan. Saya tubuhkan satu kumpulan Whatsapp untuk NGO saya.
Bila datang arahan dari Presiden kebangsaan NGO supaya setiap negeri menubuhkan pasukan Whatsapp, saya hanya tersenyum kerana saya telah awal-awal lagi menubuhkannya. Cuma seterusnya saya meminta ahli-ahli kumpulan saya supaya mematuhi syarat-syarat yang diberikan oleh Presiden kami.
Salah satu syarat itu ialah Presiden sendiri dimasukan menjadi ahli kepada tiap-tiap kumpulan Whatsapp peringkat negeri. Syarat kedua ialah isu-isu yang tidak kena mengena dengan pesara atau persaraan dilarang. Oleh itu bila ada ahli saya yang menyimpang dari landasan, saya menegur dengan berkata Presiden kita membaca apa yang dia tulis. Kemuncaknya ialah bila saya mengeluarkan seorang ahli saya kerana melanggar salah satu syarat Presiden itu.
Semasa ucapan pembukaannya di Persidangan Perwakilan kami itu, Presiden telah menyentuh mengenai kumpulan-kumpulan Whatsapp kami. Dia menyatakan mengikuti apa yang dibincang oleh kumpulan-kumpulan ini dan dengan itu juga mengumumkan akan memberi hadiah peribadi kepada kumpulan terbaik. Kriterianya senang sahaja, iaitu mematuhi syarat-syarat yang beliau sendiri tekankan.
Kami semua terkejut kerana tidak diberitahu tentang ujudnya pertandingan sedemikian. Kemudian Presiden mengumumkan kumpulan terbaik itu ialah kumpulan Whatsapp Negeri Sembilan. Sudah tentu ahli-ahli saya yang ada dalam dewan persidangan bertepuk gembira. Tetapi saya tidak bertepuk tangan. Saya mengangkat kedua-dua tangan sambil menjerit 'Yaaaah' seperti budak-budak.
Kemudian Presiden mempersilakan Yang Di Pertua saya yang sudah berada di atas pentas sebagai Ahli Majlis Tertinggi untuk menerima hadiah. Bentuk hadiah lagi mengejutkan saya. Dia bukan berbentuk hamper atau wang ringgit seperti yang biasa diberi dalam peraduan diam-diam. Tetapi berbentuk satu set komputer 'desktop'. Bila kemudian saya melayari internet untuk mengetahui tentang komputer ini, saya dapati harganya lebih kurang RM 2,200.00.
Apa yang melucukan ialah saya berkongsi bilik di Kuala Terengganu dengan Pembantu Peribadi kepada Presiden. Sebelumnya, semasa menghantar senarai penempatan bilik ke Ibu Pejabat melalui email, saya nyatakan ingin berkongsi bilik dengan seorang Perwakilan dari negeri lain. Tujuan saya ialah untuk mempelajari apa yang dibuat di negerinya.
Bila saya membawa hadiah set komputer desktop itu ke dalam bilik, Pembantu Peribadi yang bernama Megat itu menyatakan dialah yang ditugaskan membeli komputer itu dan membawanya ke Kuala Terengganu dengan Toyota Vellfire kepunyaan Presiden.
Semua ahli kumpulan saya tahu, kemenangan ini adalah kemenangan saya. Bagi saya pula, ia membuktikan boss tertinggi kami yang pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha di satu Kementerian Malaysia, menghargai komputer dan orang-orang yang arif tentangnya. Untuk pengetahuan, saya banyak menggunakan komputer untuk melayari media sosial termasuk Whatsapp dan tidak telefon bimbit.
Ini berbeza dengan boss saya dahulu yang bukan sahaja buta komputer, tetapi buta hati dengan mengutamakan orang yang buta komputer sepertinya.
Penutup: Lawan saya dalam proses kenaikan pangkat yang saya kalah itu telah meninggal dunia pada penghujung tahun 2018. Al Fatihah untuknya.
No comments:
Post a Comment