Wednesday, August 28, 2019

Melanggar prinsip sendiri.


Sebahagian surat pelawaan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat dari Instana Negeri Sembilan.


KES PERTAMA

Semasa menjadi Pembantu Pilihanraya pada PRU ke 8 pada tahun 1990, saya sengaja melengahkan menampal Writ Pilihanraya. Alasan saya ialah di waktu itu siapa yang hendak bertanding menjadi Yang Berhormat sudah tahu di mana dan bila hendak mendapatkan Borang Pencalonan. Ini berbeza dengan PRU 1 dan 2 dulu di mana kemudahan komunikasi masih primitif.

Ini telah menimbulkan kemarahan boss saya yang berjawatan Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya. Untuk memuaskan hatinya, saya tampalkan juga beberapa Writ tersebut, walau pun saya tahu tidak ada orang yang membacanya.


KES KEDUA 

Semasa mengiringi seorang Menteri Kabinet Indonesia dan Governor Sumatera Barat bila mereka menerima Darjah Kebesaran dari DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti pada tahun 1991 saya terserempak dengan beberapa penyangak dari Seremban yang sama-sama menerima Pingat. Saya panggil mereka penyangak kerana sering berjumpa mereka minum arak dan berpoya-poya dengan GROs di pusat-pusat hiburan semasa saya bertugas.

Dari itu saya telah memutuskan tidak akan memohon apa-apa Pingat di peringakat Negeri Sembilan. Walau bagaimana pun beberapa tahun kemudian saya ditawarkan satu Pingat oleh Istana Negara di Kuala Lumpur dan saya menerimanya.


Sejak menjadi Setiausaha kepada NGO saya sekarang saya sering diminta untuk mendapatkan Borang Pencalonan untuk Pingat di peringkat Negeri dan Kebangsaan. Kerana prinsip dan prasangka terhadap mereka yang menerima anugerah itu masih tebal, saya tidak mengindahkan permintaan mereka itu, sehingga beberapa hari yang lepas.

Saya tidak payah pergi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan Borang-borang berkenaan kerana seorang kawan saya menyimpan satu salinan dan saya cuma perlu membuat beberapa salinan lagi. (Ini berbeza dengan permohonan Pingat di peringkat Kebangsaan di mana borang tidak boleh dibuat salinan). 

Apa yang membuatkan saya marah pada mulanya ialah apabila melihat senarai mereka yang ditawarkan untuk memenuhi Borang Pencalonan. Di baris terakhir dan ketujuh ditulis 'Semua Badan Sukarela, Sukan dan Kebudayaan di Negeri Sembilan'. NGO saya tergulung pada 'Badan Sukarela', tetapi selama ini saya tidak pernah menerima surat yang serupa.

Saya pun menalipon UNIT PENGURUSAN MAJLIS RASMI DAN PROTOKOL, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan bertanya kenapa NGO saya tidak diberi surat menawarkan Pencalonan. Jawapannya ialah oleh kerana banyak sangat NGO berkenaan, surat sebenarnya tidak dihantar kepada mereka dan kami. Surat akan diberi apabila mereka datang untuk mendapatkannya.

Jawapannya lagi kebanyakan NGO sudah tahu dimana dan bila untuk mendapatkan Borang Pencalonan tersebut. Ini samalah dengan anggapan saya iaitu siapa yang hendak menjadi YB tentu tahu bila dan di mana hendak mendapatkan Borang Pencalonan. Soalan bodoh saya telah djawab dengan jawapan bodoh.

Tetapi oleh kerana saya bukan jenis yang mahukan deretan initial pingat-pingat ditulis di belakang nama mereka, saya tidak marah dengan jawapan itu. Cukuplah saya dengan Pingat yang satu yang tidak ramai orang tahu itu. Borang yang saya salin itu saya berikan kepada seorang Ahli Jawatankuasa saya yang belum menerima apa-apa pingat.

Sekian.   

No comments: