Sunday, March 29, 2020

Pengalaman PKP, setakat ini.


1. Hari sebelum - ke Jelebu.

Sebaik saja YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan atau PPK pada Hari Isnin 16 Mac 2020 saya pun berniat hendak balik ke kampung saya di Jelebu pada esoknya. Ini tidak bermaksud saya hendak lari ke kampung, kerana tidak ada lagi saudara rapat saya yang tinggal di situ.

Sebaik saja saya minum pagi di satu gerai di Jalan Sikamat, Seremban pada 17 Mac 2020, saya pun terus ke Jelebu sehelai sepinggang dengan isteri saya Salmah. Buat Salmah inilah kali kedua dia ke Jelebu setelah disahkan mengidap penyakit Vascular Dementia lebih tiga tahun yang lalu. Kali pertama cuma beberapa bulan yang lalu bila saya bawa dia hadir sama di mesyuarat persatuan pesara saya di Kuala Klawang. 

Kali ini saya bawa dia sampai ke kampung saya di Petaseh. Dia masih ingat rumah emak saya yang sekarang dijaga oleh adik saya Shamsiah. Shamsiah tinggal di Shah Alam dan balik kampung dihujung minggu. Tetapi dengan PKP ini tentu sukar untuknya untuk balik kampung.


2. Hari-hari seterusnya.

a) Dia tak tahu apa itu PKP.

Saya tahu isteri saya tidak akan faham apa itu PKP walau bagaimana cara pun saya menerangkan kepadanya. Dia hairan kenapa kami tidak turun makan ke restoran atau gerai seperti sebelumnya. Di kebelakangan ini dia lagi hairan kenapa saya langsung tidak membenarkannya mengikut saya pergi ke mana mana.  

b) Tidak ke pejabat. 

Sudah tentu saya tidak lagi ke pejabat walau pun saya boleh ke sana tanpa sesiapa tahu. Tetapi rakan-rakan pesara saya pun menghadapi PKP juga. Mereka yang sering ke hospital atau Institut Jantung Negara terpaksa menangguh jadual mereka hingga PKP tamat. Mereka inilah yang selalu datang ke pejabat menemui saya.

Jika selama ini saya sering menerima panggilan telefon dari pesara seluruh negara hampir setiap hari, tidak ada lagi panggilan begitu di telefon bimbit saya. Tadi saya ke pejabat untuk kali kedua sejak PKP dan mendapati cuma terdapat empat panggilan direkodkan di telefon pejabat. Dua dari pesara dan dua lagi panggilan 'scam'.  Wahai scammers, tolonglah berehat semasa PKP ini!

c) Menonton tv.

Saya fikir orang yang paling popular di Malaysia hari ini ialah Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya menunggu taklimat langsugnya mengenai Covid-19 di television pada jam 5 petang tiap-tiap hari. Sebagai seorang yang sepanjang kerjayanya bertugas di bidang kesihatan, saya turut sama berbangga. Saya harap bila episod Covid-19 ini selesai dan semua rakyat Malaysia hidup seperti biasa, Kerajaan Malaysis memberi perhargaan yang sepatutnya kepada Dr. Noor Hisham.

Selain menonton program dokumentari seperti BBC Earth, Love Nature, National Geographic dan Nat Geo Wild, saya suka menonton filem-filem lama di YouTube terutama fiem-filem koboi. Sambil itu ada juga menonton filem-filem baru melalui Astro. Tetapi ia tidak sama dengan program kesukaan saya iaitu menonton acara sukan seperti bolasepak dan tennis secara 'live'. Entah  bila saya boleh dapat tonton semula acara sukan secara 'live' ini?

d) Makanan 

Oleh kerana kami cuma tinggal berdua, makanan tidak jadi masalah. Di permulaan PKP dulu ada sedikit masalah untuk mendapatkan roti. Tetapi rupa-rupanya jiran belakang rumah saya yang rumahnya cuma 100 meter jauhnya, adalah pengedar roti satu jenama popular. Pagi tadi pertama kali dia berhenti depan rumah saya dengan stok rotinya. Saya harap ini tidak jadi kesalahan baginya.

e)  Keluarga

Siapa yang tak sayang keluarga? Gangster Mafia pun mengutamakan keluarga. Pada hujung minggu anak-anak kami dan keluarga mereka balik ke Seremban. Tetapi sekarang mereka pun terperangkap dengan PKP. Yang saya terasa hilang ialah cucu-cucu yang tujuh orang itu.

Sekian buat masa ini.

No comments: