Pada 20 Mei yang lepas saya balik ke kampung saya Kg. Petaseh, Jelebu, Negeri Sembilan untuk menziarahi seorang anak buah saya yang meninggal dunia di Subang Jaya Medical Centre (SJMC). Alfatihah kepadanya. Sementara jenazah sampai saya sempat melawat tapak sekolah dimana saya menerima pelajaran rendah dari tahun 1956 hingga 1961 yang hanya terletak 200 meter dari rumah keluarga Allahyarham.
Sebenarnya sekolah rendah kampung saya sudah berpindah dari tapak asal ke satu tapak baru di tepi Laluan Persekutuan 86 beberapa tahun yang lalu. Apa yang istimewa bagi sekolah baru ini ialah ia mempunyai asrama untuk menempatkan murid-murid yang tinggal jauh. Setahu saya ada juga murid yang datang dari luar Jelebu yang bersekolah di sekolah baru ini.




Malang juga bagi saya kerana kedua-dua sekolah rendah dan menengah saya sudah berpindah ke tapak-tapak baru. Sekolah menengah saya iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR sudah berpindah dua kali dari tapak asalnya di Tanjung Malim. Mula-mula ke Sikamat, Seremban dan akhirnya ke Sg. Gadut, Seremban juga.
Yang positif ialah kedua-dua sekolah saya ini berpindah ke tapak yang mempunyai kemudahan yang lebih baik. Saya bercita-cita untuk kembali ke tapak sekolah menengah lama saya pula untuk mengambil gambar-gambar serupa seperti di atas. Dengar khabarnya kebanyakan bangunan lama juga sudah dirobohkan.
1 comment:
salam abg, kalau abg ader balik ke petaseh tu, abg amiklah gambar sekolah baru tu plak. mcm mana lah rupanyer sekolah tu sekarang. kg petaseh glamour sebab sekolah tu....ramai org tau pasal sekolah tu. dan bila kita sebut kita sekolah kat sana semua org kata...ooo sekolah budak2 pandai tu ye....
Post a Comment