Sunday, October 4, 2009

Gempa bumi di Padang, Indonesia

Sebagai seorang anak Negeri Sembilan sudah tentu saya merasa sedih juga mengenangkan malang yang menimpa penduduk di Padang, Sumatera Barat (SUMBAR), Indonesia. Memang diketahui umum hubungan Negeri Sembilan, Malaysia dengan tanah Minangkabau, Indonesia. Padang pula menjadi bandar utama tanah Minangkabau ini.

Orang Melayu Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih yang diwarisi dari Minangkabau, Indonesia. Kami dibahagikan di bawah suku-suku yang diwarisi dari perut ibu. Nama-nama suku pula diambil dari nama-nama tempat di Minangkabau. Suku saya ialah Paya Kumbuh yang juga nama satu tempat di Sumatera Barat.

Saya pernah singgah di Padang dalam perjalanan ke dan balik dari Bukittinggi pada tahun 1992. Bandar-bandar Seremban dan Bukittinggi telah lama diisytihar sebagai Bandar Kembar. Semasa awal tahun 90an banyak aktiviti dijalankan di bawah program Bandar Kembar ini. Tetapi nampaknya program ini telah terhenti dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Di tahun 1992 itu saya menyertai delegasi jabatan saya bermesyuarat dengan Kantor Walikota Bukittinggi. Padang terletak di tepi laut dan berada selatan dari Bukittinggi. Apabila sahaja saya keluar dari kapal terbang terasa bahang panas.

Di Padang kami singgah sebentar di Istana Gabenor Sumatera Barat untuk membuat kunjungan hormat kepadanya. Saya telah mengenali Gabenor ini kerana mengirinya melawat ke Seremban dan Negeri Sembilan beberapa tahun sebelumnya.

Cuaca menjadi bertambah sejuk apabila kami bertolak ke utara menuju Bukittinggi. Melihat kedudukan rumah-rumah yang didirikan di lereng-lereng bukit mengingatkan saya akan kedudukan rumah-rumah Melayu di kampung saya dan Negeri Sembilan amnya.

Saya terfikir agaknya apabila orang-orang dari Indonesia datang ke Tanah Melayu dulu mereka mencari kedudukan geografi yang sama dengan geografi tempat asal mereka. Orang-orang Jawa yang biasa dengan keadaan tanah yang rata memilih keadaan yang sama di Johor dan Selangor. Orang Minang pula memilih keadaan tanah berbukit seperti didapati di Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

Teori saya ini dikuatkan lagi apabila kita dapati hampir tidak ada orang keturunan Minang di Port Dickson, Negeri Sembilan. Orang keturunan Jawa pula ramai di Port Dickson. Ini dibuktikan oleh kawan-kawan sekolah saya yang mempunyai nama Zainal Azirun, Sari Jemadi dan Misa Kailani (Allahyarham). Ketiga-tiga mereka berasal dari Port Dickson.

Dalam perjalanan ke Bukittinggi saya nampak juga orang Minang memelihara anjing. Ini mengingatkan saya di masa kecil-kecil dulu di kampung saya ada jiran-jiran yang memelihara anjing. Tetapi perbuatan ini telah diberhentikan sekarang.

Saya sempat bertanya kepada seorang pengiring kami kenapa orang di Sumatera Barat yang sudah tentu beragama Islam masih memelihara anjing sedangkan di Malaysia tiada lagi. Jawapannya anjing diperlukan untuk menjaga rumah semasa tuan rumah lelaki keluar mencari makan. Mereka keluar rumah mungkin sehari suntuk atau beberapa hari. Ada juga yang keluar rumah mencari makan bertahun-tahun di Malaysia terutama di Negeri Sembilan.

Apabila tuan rumah balik ke rumah soalan pertamanya ialah "Anjing dah makan belum?". Kemudian barulah soalan-soalan lain seperti "Anak-anak sihat?". Seolah-olah mereka lebih mementingkan kebajikan anjing dari ahli keluarga mereka sendiri.

Kita mungkin hairan jika Allah maha adil mengapa Indonesia yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia sering ditimpa bencana alam. Contohnya Tsunami di Aceh dan gempa bumi di Padang baru-baru ini. Isteri saya Salmah ada jawapannya.

Salmah berkata ramai orang Indonesia tidak mengamalkan Islam yang betul. Di tempat kami tinggal ini ramai pekerja-pekerja pembinaan Indonesia termasuk yang perempuan. Salmah sekarang mengupah seorang pekerja perempuan Indonesia membersihkan rumah kami seminggu sekali.

Salmah mendapat tahu ramai pekerja-pekerja perempuan ini meninggalkan suami mereka di Indonesia untuk cari makan di Malaysia. Apa yang berlaku di sini ialah ada perempuan yang sudah berkeluarga ini tinggal bersama sebagai suami isteri dengan lelaki lain di Malaysia ini.

Lelaki berkenaan ialah kawan sekerja mereka orang Indonesia juga. Mungkin lelaki ini sudah mempunyai isteri juga di Indonesia, Mungkin ada juga lelaki Malaysia menyimpan mereka. Ada yang sampai melahirkan anak pun.

Jemaah Haji Malaysia yang pergi menunaikan Haji di Arab Saudi diberi kursus oleh Tabung Haji dan syarikat pakej Haji. Oleh itu kita perhatikan jemaah Haji Malaysia cukup berdisiplin di Tanah Suci. Tidak jemaah Indonesia. Ada jemaah wanita Indonesia yang saya perhatikan memakai seluar jeans dan bergincu memasuki Masjidil Haram.

Oleh itu mengikut Salmah Allah menurunkan mala petaka di Indonesia untuk mengajar mereka. Bila saya fikirkan baik-baik ada juga kebenarannya. Mengapa Allah menurunkan bala di kawasan yang padat dengan penduduk Islam di Indonesia seperti di Aceh dan Padang? Kenapa tidak di tempat yang ramai penduduk beragama lain seperti di Padang (Kristian) dan Bali (Hindu)?.

Apabila saya mengenangkan kembali melihat orang Islam Sumatera Barat memelihara anjing sedangkan jiran-jiran saya di kampung sudah memberhentikannya saya fikir kata-kata Salmah ini ada kebenarannya.

No comments: