Friday, October 30, 2009

Perkahwinan di masjid

Pernahkah pembaca menghadiri mana-mana majlis perkahwinan di masjid? Upacara nikah tu memang biasalah. Tetapi bersanding termasuk jamuan makan? Di hari Jumaat selepas solat Jumaat? Saya merasainya tengah hari tadi.

Seperti biasa saya mengerjakan solat Jumaat saya di Masjid India Muslim Ulu Temiang, Seremban. Apabila sampai saya merasa hairan juga melihat satu khemah sudah didirikan dalam kawasan masjid di sebelah bangunan utama. Di bawah khemah pula saya perhatikan ada beberapa orang perempuan.

Di pintu masuk ke masjid saya lihat kad jemputan ditampalkan di cermin. Khatib sedang membaca khutbah dalam bahasa Tamil dan saya perhatikan khatib ini belum pernah saya lihat sebelum ini.

Selesai sahaja khatib membaca khutbah dan jemaah semua berdiri untuk bersolat Jumaat seorang pegawai masjid membuat pengumuman dalam Bahasa Melayu mengajak semua jemaah untuk makan tengah hari selepas solat sambil meraikan sepasang pengantin baru yang baru sahaja diijab kabul beberapa jam tadi.

Selepas bacaan doa saya pun meluru ke meja makanan untuk mengambil makanan yang dihidang secara 'buffet'. Saya terpaksa berbuat begini kerana saya ada rancangan lain selepas makan. Selesai sahaja saya mengambil makanan hujan pun turun. Saya terus makan dengan selesa sedangkan ramai jemaah lain terkena hujan dan tempiasnya.

Selepas makan saya terus ke pelamin yang sudah disediakan di ruang legar masjid. Rupa-rupanya kedua bapa pengantin lelaki dan perempuan saya kenali. Bapa pengantin lelaki mempunyai kedai buku terbesar di Bandar Seremban. Bapa pengantin perempuan pula ialah seorang pengusaha restoran di Rasah, Seremban.

Saya bertanya bila majlis bersanding? Jawapannya upacara bersanding sudah selesai selepas upacara nikah sebelum solat Jumaat tadi.

Tanpa segan silu saya meminta kepada bapa pengantin lelaki supaya kedua pengantin disandingkan semula untuk saya mengambil gambar. Baik juga saya berbuat demikian kerana ada juga dua tiga jurukamera lain mengikuti saya mengambil gambar.

Di samping itu hujan pun mula reda dan para jemaah yang hendak pulang sempat juga melihat pengantin bersanding.

Inilah gambar-gambar yang saya ambil menggunakan kamera telefon bimbit saya. Oleh itu saya minta maaf kerana mutu gambar kurang baik. Kalau saya tahu ada upacara seperti ini saya sudah tentu membawa kamera biasa saya.



Kad Jemputan.


Saya di bawah khemah. Pengantin ialah India Muslim tetapi kebanyakan jemaah adalah Melayu.


Kedua mempelai.


Bersama ibu dan bapa pengantin lelaki.

No comments: